Thursday, April 29, 2010

Kes Aminulrasyid: Tubuh Suruhanjaya Bebas -Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR, 29 April — PAS menggesa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat insiden remaja berusia 15 tahun mati ditembak oleh polis di Shah Alam, awal pagi Isnin lalu.

“(PAS) menuntut Yang di-Pertuan Agong membentuk satu suruhanjaya bebas untuk menyiasat kes ini yang telah mencemar nama baik Diraja yang memayungi PDRM,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) dalam satu kenyataan.

Ia salah satu daripada enam tuntutan dikemukakan oleh beliau dalam kenyataannya. Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mahu polis dan media menarik balik tanggapan bahawa remaja berkenaan Aminulrasyid Amzah sebagai seorang penjenayah. Malah kata Mahfuz, media dan polis juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas tuduhan bahawa mangsa merupakan seorang penjenayah.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, polis perlu menggantung tugas anggota-anggota yang terlibat dalam kejadian menembak remaja berkenaan dan reman anggota yang terbabit untuk mengelak dari kemungkinan kejadian mengugut saksi khususnya kawan-kawan mangsa.

“Suhakam hendaklah menjalankan siasatan sesuai dengannya sebagai badan hak asasi manusia untuk menegakkan keadilan,” kata beliau mengulas insiden seorang remaja lelaki ditembak mati oleh polis, awal pagi Isnin lepas di Seksyen 11, Shah Alam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Amirulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri apabila dikejar polis. Mahfuz berkata, tindakan menembak polis ke atas mangsa tidak dapat diterima sama sekali.

“Ini berdasarkan mangsa tidak memiliki senjata dan tidak pun mengancam dan menggugat keselamatan anggota PDRM yang bertugas.

“Apa yang memalukan ialah apabila PDRM membuat tuduhan dan mendakwa mangsa ialah penjenayah,” katanya.

Kata beliau, pembelaan untuk Aminulrasyid adalah sangat penting untuk mengelak orang lain terus menjadi mangsa kecuaian dan kebebalan polis.

“Pembelaan ini juga sangat penting untuk memperbetul kembali keadaan agar polis tidak bertindak sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu bertindak dengan penuh kebijaksanaan dan pertimbangan akal yang waras,” kata beliau. (AK)

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails