Friday, March 05, 2010

Lompat Parti: Buaya Di Sebalik Batu -Nik Aziz. Bukan Udang?



KOTA BARU, 5 Mac – Di sebalik fenomena keluar parti membabitkan wakil rakyat PKR kebelakangan ini, Mentri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan adanya agenda politik tersendiri dengan disifatkan sebagai “mungkin ada buaya di sebalik batu.”

“Bukan setakat udang, bahkan mungkin ada buaya di sebalik batu. Kerana apa, kita lihat apa yang berlaku, tidak ada ribut, tidak ada hujan, tapi tiba-tiba bah melanda.

“Ini membuatkan syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik tersendiri,” kata beliau melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai reaksinya terhadap senario tindakan keluar parti yang berlaku di kalangan wakil rakyat dan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak kebelakangan ini dan alasan yang dikemukakan berikutan tindakan tersebut.

Beliau yang pelik dengan tindakan tersebut turut merasa janggal dengan alasan dikemukakan mereka terbabit mengibaratkan seolah-olah ’gendang yang dipalu langsung tidak sama dengan tarian’.

“Tak Tau lah, mungkin tanah yang tinggi rendah atau pertimbangan yang telah dikuasai kepentingan, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

“Kadang-kadang saya sendiri rasa pelik, alasan diberinya agak janggal. Jika punca sebenarnya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan, adakah sepatutnya langkah keluar parti menjadi pilihan?

“Tidak adakah jalan lain yang dilihat sebagai lebih jujur dan harmoni? Kenapa tidak usulkan saja sidang tergempar supaya keadaan dapat dibaiki,” katanya.

Justeru Nik Aziz mengingatkan kepada mereka yang keluar parti agar berfikir jujur dalam membuat penilaian memandangkan mandat rakyat ketika memilih wakilnya adalah berasaskan kejujuran dan keikhlasan.

“Tidak bimbangkah mereka yang melompat, pengundi mereka yang merasa tertipu akan menyumpah seranah? Bukan sahaja pengundi mereka, kalau saya sendiripun ditipu oleh wakil yang dipilih seperti ini saya akan marah.

“Di dunia ini kamu berdepan dengan kemarahan pengundi, di akhirat nanti terpaksa pula menjawab di hadapan tuhan.

“Pesan saya, lakukankah tindakan yang kita yakin mempunyai jawapan di hadapan tuhan. Biar setitik kesedaran menitis di atas kegersangan hati kita untuk kita menyedari bahawa perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan disoal satu hari nanti,” katanya.

Bagi Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, logiknya pemimpin sebegini (bertindak keluar parti) perlu meletakkan jawatan sekurang-kurangnya tidak akan dilabel sebagai penipu dengan berkata “umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri.”

Sehubungan itu beliau percaya rakan-rakannya dari PKR yang bersifat jujur tidak akan mudah patah semangat dalam usahanya memperjuangkan yang haq menerusi gelanggang politik walau apa jua dugaan terpaksa dihadapi.

“PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam oleh amalan lompat parti. Di Terengganu, pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti.

“Di zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti.

“Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.

“Insya-Allah, kematangan itu juga akan menjadi milik PKR setelah usianya bertambah dewasa.

“Apa yang penting perlu diingatkan ialah setiap perbuatan dan percakapan kita akan diaudit oleh Allah SWT termasuk perbuatan melompat parti, mengkhianati amanah rakyat,” ujarnya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mengapa buaya bukan udang atau katak? (Sumber The Malaysia Insider/2MA)

1 comment:

deepthroat said...

Keluar mulut rimau masuk mulut buaya.... udang kecik tak muat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails