Saturday, January 30, 2010

Putusan Disiplin PAS: Apa Sikap Hasan Ali & Khalid?




KL, Jan: Jawatankuasa disiplin PAS memutuskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad digantung enam bulan dari jawatan dalam Parti manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali diberi amaran bertulis berkuat kuasa hari ini.Kedua dua mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid digantung daripada menjadi Yang Dipertua Shah Alam dan Ahli Lajnah Politik PAS Pusat.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mesyuarat petang semalam.

Menurut Tuan Ibrahim, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Hassan Ali akur keputusan Jawatankuasa Disiplin

Manakala Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

“Jawatankuasa disiplin telah membuat keputusan penghakiman pada petang ini setelah mengikuti prosedur siasatan.

“Kedua-duanya didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS Pusat,” katanya.

Ekoran hukuman itu, kedua-duanya dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun kedua-duanya boleh membuat rayuan kepada ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam masa 30 hari bermula hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu dua lagi ahli jawatankuasa Datuk Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohd Baqi Osman.

Muttalib pula berkata, hukuman bagi kesalahan di bawah fasal 75 perlembagaan terbahagi kepada empat iaitu memberi amaran, melucutkan mana-mana hak dalam parti, menggantung keahlian dan dipecat daripada menjadi ahli parti.

“Kedua-duanya didapti bersalah jadi kalau lepas ini mereka buat juga,jawatankuasa disiplin boleh panggil balik dan kita boleh hukum mereka di bawah mana-mana hukuman yang ada pada kita,”katanya.

Khalid bagaimanapun hanya menghantar wakilnya pada pertemuan petang tadi kerana beliau berada di luar negara.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berharap agar keputusan yang dibuat itu menjadi satu panduan dan iktibar kepada pimpinan parti yang lain.

“Kita harap keputusan hari ini dapat menjadi panduan dan iktibar kepada pendokong parti bukan sahaja dalam konteks PAS tapi juag dalam konteks Pakatan Rakyat,”katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media yang berlainan, Hasan berkata beliau menerima keptusan itu dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai satu proses pendidikan kepada dirinya.

“Dalam pertemuan selama setengah jam tadi, saya sudah menerima hukuman daripada lembaga disiplin parti dan saya diberi amaran.

“Saya terima dengan hati yang terbuka dan anggap apa yang berlaku ini sebagai proses pendidikan bagi diri saya,”katanya.

Sementara itu di Shah Alam, hari ini, 30 Jan. Menurut The Malaysian Insider, Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua PAS Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.

“Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai,” katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.

“Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali) selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar salah dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor,” kata Khalid.

Beliau berkata Dr Hasan tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.

Semalam, Jawankuasa Disiplin PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapati kedua-duanya bersalah dan Dr Hasan turut dikenakan amaran bertulis.

Khalid mengakui walaupun jawatannya digantung tetapi itu tidak sepenting tindakan terhadap Dr Hasan yang telah diberi kata dua berhubung sikap dan tindakannya selama ini.

Beliau berkata hukuman gantung jawatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan cara beliau menegur Dr Hasan yang dianggap memudaratkan PAS.

“Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil. Budaya wala’ (taat kepada pemerintah) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli,” kata Khalid.

Khalid berkata akhirnya beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghadapi perbalahan secara terbuka.

“Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan ‘tauke’ kuli yang akan kena. Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini ‘tauke’ pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi,” kata beliau.

Beliau berkata jika Dr Hasan terus dengan cara lamanya, beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Jawatan Kuasa Disiplin PAS.

Katanya beliau juga tidak merasa kecewa di atas penggantungannya itu memandangkan keputusan sudah dibuat tetapi belum memutuskan untuk membuat rayuan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Hukuman Jawatankuasa Tatatertib PAS telah berlaku kepada tokonya, dan semua pihak terlibat telah menerima dengan redha. Ertinya semua, sudah selesai. Ya, teruskan perjuangan, alhamdulillah. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails