Sunday, January 24, 2010

Allah: 'Terlarang' Sebenarnya Tak Dilarang -Peguam Zaid


KUALA LUMPUR, Jan 24 – Ahli politik-peguam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim berkata, penggunaan Allah dan senarai perkataan yang dikategorikan sebagai terlarang oleh 10 negeri setakat ini, sebenarnya tidak dilarang dalam konteks percakapan biasa oleh masyarakat bukan Islam negara ini.

Sambil mempertahankan pendirian Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad, bekas menteri persekutuan itu bagaimanapun berkata, larangan menggunakan perkataan yang disenaraikan termasuk nama Allah hanyalah dalam konteks apabila seseorang itu cuba mempengaruhi umat Islam.

“Sebagai contoh, jika seorang paderi atau sami yang beberapa kali bertemu dengan seorang Islam memperkatakan tentang bagaimana agama Kristian itu sesuai dengan sanubari si polan Islam itu dengan menggunakan perkataan Allah, nabi dan wahyu, maka di situlah asas larangan yang sah.

“Ini adalah kerana perkataan itu digunakan dalam konteks untuk menarik orang Islam menukar agamanya. Itu lah maksud Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988) itu.

“Tetapi penggunaan perkataan Allah, wahyu, nabi, masjid dan sebagainya dalam konteks percakapan biasa tidak boleh dilarang,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Sebagai contoh kata beliau, “kalau anak Ah Chong menyanyikan lagu negeri Selangor atau Johor yang memohon Allah melanjutkan usia Sultan atau Sami Velu bertanya jirannya ‘Ahmad, kamu nak ke masjid ke petang ini?’, maka itu tidak boleh menjadi kesalahan.”

“Mana ada undang-undang dalam dunia yang sah boleh melarang orang awam menggunakan sesuatu perkataan.

“Apa asas larangan itu? Apa rasa orang Melayu kalau orang India kata jangan gunakankan nama Iswara pada kereta Proton kerana Iswara adalah salah satu nama Tuhan Hindu? Begitu juga jika orang Melayu diminta jangan menggunakan perkataan Sanskrit seperti syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya,” kata beliau dalam entri terbaru itu yang bertajuk “Khalid Samad”.

Oleh itu, Zaid yang menyertai PKR tahun lalu memberitahu Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam memang patut dipuji kerana mahu menegakkan kebenaran dan mengesyorkan agar enakmen itu dikemaskinikan.

“Orang Islam kena faham apa tujuan larangan itu dan apa tujuan enakmen yang tidak jelas itu.

“Kumpulan NGO Islam sepatutnya menyokong usaha supaya Enakmen 1988 itu diperkemas dan diterangkan dengan jelas.

“Barulah orang kata kita orang Islam ini faham agama sendiri dan faham undang-undang negara,” katanya.

Zaid, bekas Ahli Parlimen Kota Baru menambah, jika sentimen dan emosi dengan menolak kebenaran, maka jangan salahkan orang lain jika mereka menuduh orang Islam takut kepada bayang-bayang.

“Takut kepada dialog dan diskusi, dan hanya suka hukum orang saja. Semoga Khalid menang lagi di Selangor,” katanya.

Entri Zaid itu dimuatkan sehari sebelum Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap Khalid kerana mengesyorkan agar Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam dikaji semula kerana sudah ketinggalan zaman.

Zulkifli yang juga wakil rakyat PKR meminta Khalid disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, menghina dan memudaratkan keharmonian kaum.

Selain itu kata beliau, kenyataan Khalid empat hari lalu juga telah menghina Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri dan Dewan Undangan Negeri yang telah meluluskan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada hari entri itu dikeluarkan Khalid menghadap Sultan Selangor yang turut menitahkan beliau memberikan syor pindaan, jika ada, secara bertulis untuk pertimbangan.

Zaid menyifatkan Khalid sebagai seorang yang berani apabila beliau mengatakan enakmen agama Islam Selangor 1988 yang membuat larangan penggunaan perkataan-perkataan seperti ilahi, nabi, wahyu, masjid dan sebagainya kepada orang bukan Islam adalah tidak lagi sesuai dan perlukan rombakan.

Tambah Zaid, cadangan bernas beliau sebaliknya telah memberi ruang kepada kumpulan NGO Islam untuk membuat laporan polis terhadap Khalid atas alasan kononnya menghina Islam dan Sultan.

“Inilah reaksi kumpulan yang tidak biasa dengan muzakarah dan musyawarah serta perbezaan pendapat. Mereka hanya mahu Khalid dihukum dan ditutup mulut dan mindanya.

“Usaha untuk memahami dan membincangkan pandangan beliau tidak penting langsung bagi kumpulan NGO Islam. Yang penting bagi mereka, Khalid mesti dihukum,” katanya.

Sebenarnya maksud pandangan Khalid, menurut Zaid, adalah agar larangan terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu oleh Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun mestilah difahami dalam konteks sebenar.

Apa pun prinsip atau peraturan mesti dilihat dalam konteks tertentu di mana larangan untuk orang bukan Islam dari menggunakan perkataan tertentu mesti dilihat dari konteks larangan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan orang agama lain memujuk dan berusaha untuk menukar agama Islam itu.

“Jadi tujuan enakmen itu ialah secocok dengan dan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang negeri termasuk Enakmen Islam tidak sah kalau ia melanggar undang-undang Persekutuan.

“Di bawah Perlembagaan kita memang orang dari agama lain tidak dibenarkan memujuk atau mempengaruhi orang Islam untuk peluk agama mereka.

“Ini larangan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Jadi kalau mereka berniat nak pujuk atau dakwahkan agama mereka kepada orang Islam, maka sebab itulah mereka tak boleh gunakan perkataaan yang diwartakan di bawah enakmen itu,” katanya.

Sejak tercetusnya isu kontroversi kalimah “Allah”, beberapa negeri termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menegaskan tentang kewujudan enakmen sedemikian yang melarang bukan Islam daripada menggunakan sejumlah perkataan dan ungkapan.

Misalnya, Jais menyenaraikan 25 perkataan yang dilarang digunakan oleh bukan Islam secara lisan ataupun bertulis antaranya Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, Syeikh, imam dan dakwah.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.

Sepuluh negeri mempunyai peruntukan larangan sedemikian kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Melaka pula menyenaraikan 33 perkataan termasuk kalimah Allah dan 15 ungkapan dalam Islam yang tidak boleh digunakan penganut agama lain dalam penerbitan atau percakapan mereka.

Perkataan tersebut ialah firman Allah, ulama, hadis, ibadah, kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariat, kiblat, haji, mufti, rasul, dan iman.

Selain itu ialah dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi, sheikh, akhirat, azan, al-Quran, al-Sunnah, hauliak, karamah, shahadah, masjid dan Baitullah.

Bagi ungkapan pula ialah Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, insya-Allah, Astaghfirullah Azim, Tabaraka Allah, masya-Allah, Lahaula Walaquata Illabillahil Azim, Assalamualaikum, Wallahi, Wabillahi, Watallahi dan Auzubillah. (Sumber: The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails