Saturday, November 21, 2009

Lelaki Bionik: Tempurung Kepala Logam

KESIHATAN
LONDON: Seorang pemuda yang tinggal hanya separuh kepalanya selepas diserang secara kejam oleh dua samseng, menerima tempurung kepala baru yang diperbuat daripada titanium, semalam.

Steve Gater, 26, menjadi lelaki bionik selepas dipasang dengan kepingan titanium untuk melindungi otaknya dan menggantikan dahinya.

Ibunya, Nina, 47, menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah besar untuk membolehkan anaknya meneruskan kehidupan.

“Kepingan titanium itu akan menjadikan kehidupan Gater lebih baik.” Pemandu forklif itu mengalami kerosakan otak dan kehilangan separuh tengkorak selepas diserang dua remaja ketika berjalan pulang dari tempat kerja awal tahun ini.

Kisah sedih yang dialami pemuda itu menjadi tumpuan akhbar di seluruh dunia selepas pendakwa raya menggugurkan kes itu dan membolehkan penyerangnya bebas.

Gater menjalani pembedahan rumit di Hospital Queens, Romford Khamis lalu untuk membolehkan kepingan titanium itu dipasang pada kepalanya.

“Kepalanya bengkak ketika ini tetapi agak melegakan untuk melihat dia dengan dahi barunya.

“Kini, yang tinggal ialah untuk membina semula keyakinannya dan memastikan dia merasa lebih selamat.

“Selepas kejadian itu, dia tidak ada perlindungan langsung. Otaknya hanya dilitupi kulit,” kata Nina.

Serangan itu berlaku ketika Steve dalam perjalanan pulang pada 15 Januari lalu.

Dua samseng berusia 18 dan 17 tahun mengejeknya.

Gater kemudian mencabar mereka tetapi dia diserang dan dibelasah di muka dan jatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

Dia koma dua minggu akibat kejadian itu dan kini berdepan dengan masalah hilang ingatan. -Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails