Saturday, July 25, 2009

Nik Aziz-Mustapa: Contoh Ke arah Kerajaan 'Perpaduan'?



Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis pra-pelancaran Fiesta Kelantan 2009. Kedua-dua parti akan bekerjasama dalam fiesta yang akan berlangsung selama empat hari bermula 28 Okt depan akan diadakan di Padang Perdana dan Perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bahru. Foto THE STAR Oleh: SHAARI CHE MAT.

Sabtu Julai 25, 2009: Fiesta Kelantan: Umno- PAS berganding bahu

KUALA LUMPUR: Fiesta Kelantan 2009 pada Oktober depan menyaksikan dua parti politik utama Umno dan PAS bermuafakat dan membawa dua pemimpin utama daripada dua parti itu berkongsi pentas yang sama.

Fiesta julung kali diadakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dianjurkan oleh Redcarpet Worldwide Sdn Bhd, dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed yang bertindak sebagai penaung.

Fiesta yang akan berlangsung selama empat hari bermula 28 Okt depan akan diadakan di Padang Perdana dan Perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bahru.

Fiesta itu akan mengadakan pelbagai aktiviti kekeluargaan, sukan rakyat dan hiburan selain mengadakan pameran mengenai pendidikan, pertanian, industri kecil dan sederhana, kesenian dan kebudayaan serta sukan dan rekreasi.

Bercakap kepada pemberita, Mustapa yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata tidak ada sebab mengapa beliau dan Nik Abdul Aziz tidak boleh berada di pentas yang sama untuk kerja-kerja kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Saya selaku rakyat Kelantan juga ingin melihat rakyat Kelantan bersatu padu, maju kehadapan dan selaku wakil rakyat, insyaAllah saya akan berusaha bersungguhsungguh untuk memastikan bahawa Kelantan akan turut menikmati perubahanperubahan yang dibawa kerajaan pusat," katanya selepas majlis prapelancaran Fiesta Kelantan 2009 di sini semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata fiesta itu akan memberikan pendedahan kepada rakyat di Kelantan mengenai perniagaan, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.

Katanya fiesta itu akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar kerajaan negeri itu."Mudah-mudahan rakyat Kelantan akan terdedah mengenai perniagaan, pelancongan, pelajaran, kebudayaan dan sebagainya.

Pelancaran ini sepatutnya dah lama diadakan, tapi terlewat sedikit kerana keadaan tak mengizinkan.

"Bagaimanapun, ini adalah satu titik tolak bagi keduadua pihak (PAS dan Umno) dalam berkongsi anugerah Allah," katanya.

Ditanya mengapa permuafakatan antara Umno dan PAS dalam fiesta itu tidak diterjemahkan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai baru-baru ini, Nik Abdul Aziz berkata:"Saya dari gerakan Islam, tak musuh dengan individu, tak musuh dengan orang tertentu. Kita bermusuh dari segi ideologi, fahaman dan akidah sahaja." BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Saya dari gerakan Islam, tak musuh dengan individu, tak musuh dengan orang tertentu. Kita bermusuh dari segi ideologi, fahaman dan akidah sahaja'. Ya, itulah 'perpaduan' yang tidak menggadaikan prinsip. Langkah awal nak ber'Perpaduan' kena begitu. Lepas itu pulangkan balik hak rakyat Kelantan, contohnya royalti minyak. Izinkan PAS laksanakan hudud, dan macam-macam lagi. Barulah tanda hulurkan tangan bersalaman untuk perpaduan. Bukan telunjuk disurung kelingking berkait... (AK)

3 comments:

Pak Nik Bekeng said...

ya tu,
1. bagi royalti minyak
2. daratkan minyak di kelantan
3. buat haiway di kelantan
4. buka banyak lagi ipta di kelantan untuk memangkin ekonomi penduduk
...
barulah boleh kalu nak kata "kita bersedia beri kerjasama demi rakyat kelantan". kalau tidak, weeek taik kucing!

A.Rahman Ali. said...

Sokong Pak Nik Belalang.

anti seleweng islam said...

islam bukan pada nama tapi pada perbuatan,walaupun pas tidak mengamalkan islam yang betul tapi tuan guru nik aziz banyak membuat benda yang baik walaupun ada beberapa perkara dan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran islam dan nabi tapi dalam hal ini sudah tentu nik aziz mengikut ajaran islam dengan mengeratkan hubungan antara muslim...hidup islam,semoga penyeleweng islam dan ajarannya banyak membaca tafsir al quran.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails