Friday, October 01, 2021

Rusuhan Salak Selatan bukan isu rasis -Dr Halimah.

 

KUALA LUMPUR: Isu rusuhan di Salak Selatan, Jalan Sungai Besi, Cheras berhampiran lokasi sebuah tokong Cina pada Selasa lepas tidak harus dilihat sebagai suatu isu rasis.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Halimah Ali berkata, beliau ingin menegur sesetengah pihak yang menganggap insiden melibatkan kira-kira 30 lelaki dan wanita Cina menyerang anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian itu sebagai isu rasis.

Menurutnya, semua perkara yang berlaku di negara ini tidak perlu dilonggokkan sebagai isu rasis, kerana dikhuatiri ia akan menimbul masalah baharu iaitu sentimen perkauman pula. 

“Semua pihak dinasihatkan supaya bertindak secara profesional, rasional dan tidak beremosi dalam isu rusuhan di tokong Salak Selatan ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily

Sehubungan itu, Halimah berkata, pihak kerajaan perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan isu kelompok masyarakat berbilang kaum di negara ini,

“Pihak yang bertelagah atau merusuh itu juga perlu berlapang dada dan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Berbincanglah dengan baik, tidak perlu sehingga menyerang pihak berkuasa,” katanya. 

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar, menafikan insiden rusuhan di Salak Selatan  tersebut berpunca daripada tindakan untuk merobohkan tokong yang terletak berhampiran lokasi kejadian. 

Insiden yang berlaku itu menurutnya, ketika Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) membuat operasi bagi membina pagar penghadang untuk membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah yang terletak berhampiran tempat kejadian. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

Thursday, September 30, 2021

Anwar, tarik balik kenyataan.. -AP Kuala Krai.

 

"..sampai masa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai pengajian agama dan saya mencadangkan Kuala Krai.."

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, memohon Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menarik balik kenyataan yang mendakwa kerajaan menggunakan RM2 bilion untuk membayar konsultan luar bagi menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, dakwaan Anwar (PKR-Port Dickson) telah menyinggung perasaan dan merendahkan pegawai kakitangan awam, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) yang bertungkus lumus menyiapkan RMK12.

“Saya mohon agar Ketua Pembangkang menarik balik tuduhan ini. Ini (RMK12) adalah hasil libat urus dan kebijaksanaan pegawai kita yang diterajui oleh Jeli (Dato’ Sri Mustapa Mohamed) selaku menteri bertanggungjawab dalam bidang ekonomi.

“Mereka memberikan jiwa raga untuk membina kembali negara kita dalam keadaan yang mencabar akibat pandemik Covid-19 dan berjaya menyiapkan rancangan yang akan menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff juga memohon penjelasan daripada Mustapa berhubung perkara tersebut supaya dakwaan Anwar dapat dihentikan.

Sementara itu, Abdul Latiff ketika perbahasan, mencadangkan kerajaan membangunkan cawangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kuala Krai.

Katanya, Kelantan sebagai sebuah negeri yang digelar Serambi Mekah perlu mempunyai sebuah pusat pengajian Islam bertaraf universiti.

“Sudah sampai masa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mempunyai pengajian agama dan saya mencadangkan Kuala Krai dipilih untuk tujuan itu,” katanya.

Malah, beliau berkata terdapat sebidang tanah di Kuala Krai yang sesuai untuk pembinaan pusat pengajian tinggi. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

KUALA KRAI: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman meraikan 209 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui program khas ‘Lalu Ambil’ yang telah diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kuala Krai, kelmarin.

IH sokong. Cabutan judi 22 kali terbalik bukan terbaik!

 

"..Kerajaan wajib menarik balik langkah itu sebelum berdepan dengan tentangan yang lebih hebat, sama ada dalam dewan atau di luar dewan." AP Pasir Mas".

KUALA LUMPUR: Pertambahan cabutan khas judi daripada 8 kali setahun kepada 22 kali setahun adalah satu langkah ke belakang.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kerajaan tidak perlu mengambil tindakan demikian untuk menambah pendapatan negara.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan cukai untuk pemegang saham sebagai inisiatif baharu menambah pendapatan negara.

“Kita mahu memperkenalkan keharmonian kepada kehidupan rakyat, tiba-tiba kita menaikkkan kadar cabutan khas judi, daripada 8 kali cabutan kepada 22 kali cabutan.

“Walaupun ada hujah mengatakan bahawa pendapatan daripada judi ini digunakan untuk kegunaan tertentu sahaja, saya tetap berpendirian bahawa judi tidak boleh dinaikkan kadar cabutan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kerajaan wajib menarik balik langkah itu sebelum berdepan dengan tentangan yang lebih hebat, sama ada dalam dewan atau di luar dewan.

Katanya, hal ini kerana aktiviti judi akan menyebabkan kesan jangka masa pendek dan jangka masa panjang terhadap keberkatan hidup rakyat.

Beliau yakin, terdapat pelbagai langkah lain untuk kerajaan menambah pendapatan negara seperti memperluaskan jaringan cukai, termasuk meningkatkan cukai pendapatan korporat sebanyak satu peratus dan cukai pegangan saham. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: IH sokong. Cabutan judi 22 kali, sudah terbalik bukan terbaik! Bahkan  terdapat pelbagai langkah lain untuk kerajaan menambah pendapatan negara seperti memperluaskan jaringan cukai, termasuk meningkatkan cukai pendapatan korporat sebanyak satu peratus dan cukai pegangan saham. 

Firma Turki bantu pendigitalan lapangan terbang Malaysia

 

Firma Turki, Haritaevi Aviation Engineering bantu pacu proses pendigitalan lapangan terbang di Malaysia. FOTO NSTP

ANKARA: Sebuah firma kejuruteraan penerbangan di Turki yang menyediakan penyelesaian teknologi akan membantu mempercepat transformasi digital di 21 lapangan terbang di Malaysia, lapor Anadolu.

Haritaevi Aviation Engineering (Haritavei) berkata, syarikat itu akan melakukan analisis data rintangan, data medan elektronik dan rintangan (ETOD) serta perkhidmatan pangkalan data pemetaan lapangan terbang (AMDB) untuk 21 lapangan terbang di Malaysia dan Airport Surface Routing Network (ASRN) untuk enam lapangan terbang.

Pegawai pemasaran digital Haritaevi, Cezmi Aslan berkata, ia sekali gus memperakui kecekapan syarikat itu di peringkat antarabangsa dari segi kaedah dan teknik bagi mengendalikan projek seperti itu.

"Kami akan menggunakan kaedah campuran berdasarkan satelit fotogrametri dan integrasi 'terestrial' dalam kajian kami.

"Semua perkhidmatan akan diberikan untuk Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mematuhi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Piawaian Organisasi Antarabangsa (ISO), seperti dalam projek yang sudah kami jalankan sebelum ini.

"Selari dengan pendigitalan yang disasarkan dalam penerbangan awam, kami menawarkan infrastruktur maklumat yang sangat kukuh kepada pelanggan dengan tawaran harga kompetitif," katanya.

Haritaevi Aviation Engineering ditubuhkan pada tahun 2006 dengan fokus kepada sistem maklumat geografi, menawarkan penyelesaian inovatif untuk lapangan terbang, penerbangan awam dan kepada pihak berkuasa penerbangan dalam bidang keselamatan penerbangan, keselamatan lapangan terbang dan kajian aeronautik. – BERNAMA

Sifat asal TH kekal walau dikawal selia BNM

 

Kawal selia TH oleh BNM adalah solusi interim hingga dapatan RCI dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Pengawalseliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah satu penyelesaian interim yang tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata TH tetap kekal melaksanakan fungsi Lembaga Tabung Haji sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995. Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat semalam.

Tengku Zafrul berkata, usaha kawal selia TH dari sudut pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan hingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan selanjutnya.

Katanya, Penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat Kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya. Kementerian Kewangan (MOF) sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

Justeru, MOF ingin menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini, sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan Syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali.

Semua usaha ini adalah bertujuan untuk terus melindungi hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan yang dibuat oleh TH adalah berlandaskan prinsip Syariah.

Kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang, serta tadbir urus yang berhemah, selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah diguna pakai secara meluas di Malaysia. Contohnya, Bank Simpanan Nasional dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang mempunyai akta tubuh masing-masing, serta anak syarikat TH sendiri iaitu Bank Islam, yang kesemuanya masih di bawah kawal selia BNM berdasarkan kepentingan sistemik mereka. (BH)

Cubaan warga India seludup 1 kg emas dalam dubur gagal

 

Bungkusan berisi pes emas yang ditemui disorok dalam dubur penyeludup di Imphal, Manipur di India. - Foto AFP

NEW DELHI: Seorang penyeludup warga India yang menyumbat hampir satu kilogram (kg) emas berbentuk pes ke dalam duburnya berjaya dikesan pihak Kastam India.

India adalah pengguna emas kedua terbesar di dunia dan pakar berkata penyeludupan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk dengan menukar logam berharga itu menjadi bentuk pes.

'Keldai emas' itu ditahan Isnin lalu, selepas seorang pegawai keselamatan melihat 'objek mirip logam dalam rongga badan' suspek di lapangan terbang Imphal di timur laut Manipur.

Lelaki berkenaan, yang mahu ke New Delhi, ditahan untuk soal siasat dan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, kata Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat dalam satu kenyataan.

Pegawai kemudian membawanya ke bilik pemeriksaan perubatan, di mana keputusan imbasan X-ray di bahagian bawah badannya menunjukkan empat kapsul berisi pes emas seberat lebih 900 gram, bernilai kira-kira Rp4.2 juta (RM2.4 juta).

Permintaan terhadap emas memuncak dalam tempoh beberapa bulan menjelang hujung tahun di India, berikutan musim perkahwinan dan persiapan untuk perayaan kaum Hindu yang terbesar iaitu Deepavali dan Dussehra.

Pakar berkata, Manipur yang bersempadan dengan Bangladesh menjadi laluan utama penyeludupan jongkong emas ke India.

Penyeludup menjadi lebih kreatif sejak kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa menemukan jongkong emas yang dijahit pada pakaian atau tersembunyi di rongga mulut, selain ada yang menggunakan kerusi roda untuk menyembunyikannya.

Pada Ogos lalu, Pusat Dasar Emas India berkata dianggarkan 300 tan emas diseludup ke negara itu setiap tahun, yang membawa kerugian besar dari segi hasil pendapatan cukai kepada kerajaan. - AFP

Perhatian:

RM2.92 bilion dalam Rolling Plan pertama RMK-12 untuk lestari alam sekitar

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.92 bilion diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk kelestarian alam sekitar dan air, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, daripada peruntukan itu, 351 projek akan dilaksanakan membabitkan 277 projek sambungan dan 74 projek baharu dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM44.6 bilion.

"Strategi digariskan dalam RMK-12 dilihat mampu membina semula ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Pendekatan model ekonomi hijau juga amat bertepatan untuk melengkapkan perancangan ekonomi makro dan analisis impak ke atas kelestarian alam sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman komitmen sasaran karbon negara iaitu sasaran pelepasan bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050 juga antara pemacu kepada pendekatan ekonomi hijau.

"Perincian langkah bagi mencapai sasaran ini berdasarkan kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon ( LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022," katanya.

Memperincikan perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, LT-LEDS akan menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bagi sektor ekonomi utama negara yang akan menjadi asas menentukan hala tuju dan tahun sasaran pelepasan bersih sifar negara.

"Saya yakin komitmen sasaran pelepasan bersih sifar akan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan dengan memacu kecekapan sumber dan mengekalkan daya tahan ekosistem alam sekitar.

"Saya akan memastikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan peranannya dengan berkesan di bawah tema ketiga RMK-12 iaitu 'Melonjakkan Kemampanan' yang memberi tumpuan kepada mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air serta pengukuhan tadbir urus alam sekitar," katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails