Wednesday, March 17, 2021

Firdaus Wong Wai Hung: Dahulu ‘Oh My God’, mengapa sekarang lain?

 

Firdaus Wong Wai Hung

ISU kalimah Allah tiba-tiba muncul lagi. Apa puncanya. Tidak lain lagi kerana masih ada pihak menuntut untuk menggunakan perkataan itu bagi penganut bukan Islam.

Tentunya hairan lagi mengejutkan. Sedangkan sebelum ini hanya kedengaran penganut Kristian sering menyebut perkataan Oh My God.

Mungkinkah perkataan God apabila dialih kepada bahasa Melayu akan berbunyi Allah. Ramai berhujah tidak begitu.

God diterjemahkan sebagai Tuhan atau Tuan. Kupasan seorang pendakwah Firdaus Wong Wai Hung cukup menarik. Ada catatan dalam kolum ‘Terang Bukan Serang’ dalam sebuah akhbar hari ini.

Firdaus menjelaskan penganut Kristian sebelum ini tidak pernah menggunakan nama Allah sebagai gelaran menggantikan perkataan God dalam Bible bahasa Belanda dan Inggeris.

Amalan itu sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Kristian di barat. Namun semuanya berubah selepas Pertugis, Belanda dan Inggeris menjelajah kepulauan Melayu.

Lalu mubaligh mereka menterjemahkan perkataan God kepada Allah dengan mengambil kira budaya Melayu di rantau ini. Tentunya ia bagi mengelirukan orang Melayu di nusantara.

Malah London Missionary Society menghantar William Milne bagi menyebarkan agama Kristian mazhab Anglican pada 1815 ke Tanah Melayu.

Berdasar kajian sarjana penduduk ada tempatan yang membantu menterjemahkan Bible iaitu Munshi Abdullah. Berikutan kegiatan penterjemahan itu St Methew Gospal diterbitkan pada 1629 dengan usaha dirintis penjajah Belanda.

Mencari penganut baru

Muhammad Yusuf Marlon Abdullah dan Abdul Hamid Moiden dalam buku ‘Dakwah Masyarakat Majmuk’ menjelaskan mazhab-mazhab Kristian berlumba-lumba menyebarkan ajaran mereka bagi mencari penganut baru di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Di Sabah ditubuh Borneo Evengelical Mission pada 1928 bagi mencapai matlamat 3G iaitu GospelGold dan Glory.

Gerakan misionari Kristian disifatkan penulis sebagai satu proses pembudayan agama Kristian terhadap orang bukan Kristian.

Machael Amalados (1989) dalam buku Catholic Asian News menyebut Kristian tidak membatas identitinya dengan mana-mana budaya.

Biarpun gerakan misionari Kristian berputik sejak zaman penjajah namun ia dianggap gagal.

Biarpun begitu gerakan secara sembunyi masih berterusan sehingga sekarang. Antaranya melalui sistem pendidikan, penyebaran risalah, kegiatan ko-korikulum dan dialog.

Tidak kurang penting kajian dilakukan sarjana mendapati aspek kebajikan menjadi pancingan utama gerakan misionari Kristian.

Inilah persoalan yang berlingkar sekarang. Usaha menuntut penggunaan kalimah Allah dikhuatiri tersembunyi agenda yang sudah diketahui umum. Ia berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Tiba-tiba isu terbabit berputar semula selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain itu perkataan tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan ia perlu disertakan dengan penafian ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Larang guna kalimah Allah

Polemik penggunaan kalimah Allah ternyata bukan perkara baru. Pada 31 Disember 2007 wujud pertikaian antara akhbar Herald-The Catholic Weekly dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Kes itu akhirnya dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014. Mahkamah menolak permohonan pihak gereja dan mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Sarjana dari Universiti Teknologi MARA, Khairul Azhar Meerangani secara jelas menyebut kalimah Allah sememangnya sinonim digunakan umat Islam di Malaysia.

Ia digunakan secara meluas dalam urusan ibadah dan kehidupan seharian. Sebaliknya penganut Kristian pula sinonim dengan istilah God dan Lord sebagai merujuk kepada tuhan.

Hujah Khairul penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible di Malaysia turut mengundang bantahan daripada sebahagian sarjana dalam ajaran Kristian sendiri.

Di mana mereka menolak penggunaan istilah tersebut kerana dianggap boleh menjejaskan kepercayaan triniti yang menjadi doktrin dalam ajaran Kristian.

Ia dianggap bertentangan dengan penetapan konsep the only god.

Firdaus Wong pula menghuraikan berdasar teks Ibrani Perjanjian Lama, nama khusus tuhan bagi orang Yahudi disebut dalam ayat Deuteronomy 6:4:

“Syema Isyraelu YaHuWaH eloheinu YaHuWaH ekhad’ terjemahannya ‘Wahai orang Israel, YaHuWah Tuhan kita, YaHuWaH adalah esa,’.

Katanya Perjanjian Lama merekodkan nama Tuhan yang Maha Esa ditulis sebagai YaHuWaH (YHWH).

Malah orang Yahudi menukar sebutan ‘YHWH’ kepada Adonai yang bermaksud Tuan. Dan jika diterjemah bahasa Inggeris nama YHWH diganti dengan perkataan Lord.

Hear, O Israel: The Lord our God, the Lord is one. Maka Firdaus Wong menyifatkan penterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu tersalah menggunakan nama Allah sebagai ganti kata gelaran.

“Teks asal Bible adalah bahasa Ibrani dan Greek yang jelas kalimah Allah tidak wujud dalam teks tersebut. Yang ada hanyalah perkataan YHWH, Adonai, Kurios dan Theos,” catatnya pada kolum di Utusan Malaysia. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

SUMBERM FAQIH

Banteras judi? Itu yang DAP tak suka?! Tapi...

 


Banteras judi, kaji semua keputusan buka premis   -AzharYahya (PAS WP)

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (WP) mendesak kerajaan mempertimbangkan semula langkah pembukaan premis perjudian baik secara atas talian mahupun secara fizikal.

Pesuruhjaya PAS WP Azhar Yahya berkata, langkah ini seolah-olah mengundurkan negara ke belakang kerana konsepnya mendorong seseorang melakukan jenayah rasuah yang menjadi musuh negara.

“Kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan kerajaan Kelantan yang tidak membenarkan pembaharuan lesen Sports Toto dan Magnum4D sejak tahun 1990.

“Peningkatan bilangan cabutan khas bermula pada tahun 2021 jelas tidak menampakkan kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan aktiviti perjudian di negara ini.

Alasan untuk menambah pendapatan negara dengan peningkatan bilangan cabutan khas merujuk kepada tragedi wabak nipah pada tahun 1999 sangatlah tidak berasas,” ujar Azhar dalam nota bantahan isu pembukaan premis judi.

Beliau berkata lagi, aktiviti perjudian sama ada perjudian berlesen dan tanpa berlesen serta perjudian yang terdapat di dalam talian atau tidak, sangat berleluasa kini perlu dihapuskan secara berperingkat.

Tambahan pula, komitmen kerajaan yang pernah disebutkan oleh Kementerian Kewangan di Parlimen tahun lalu wajar ditunjukkan dengan kehendak politik (political will) yang tinggi.

“Kerajaan juga disarankan agar mengambil pendekatan intervensi polisi kesihatan awam seperti yang telah dilaksanakan di New Zealand bagi membanteras ketagihan perjudian di negara tersebut,” katanya.

“Kerajaan New Zealand telah memperkenalkan The Strategy to Prevent and Minimise Gambling Harm 2019/20 to 2021/22 sebagai suatu langkah bersepadu bagi mengurangkan masalah perjudian,” katanya.

Justeru, pendekatan proaktif yang dilaksanakan oleh New Zealand tersebut wajar dicontohi dan diintegrasi dengan baik khususnya melalui aspek kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang.

Namun demikian, kesemua ini adalah sia-sia jika premis perjudian baik secara atas talian mahupun secara fizikal (premis) masih diberikan kebenaran untuk meneruskan operasi.

Oleh itu, kerajaan haruslah prihatin dalam mendidik rakyatnya supaya menjauhi perkara yang tidak mendatangkan faedah dan boleh mengundang kesan yang lebih buruk kepada sosial. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

Komen Weblog Ibnu HasyimBanteras judi? Itu yang DAP tak suka?! Tapi yang dok komen bodoh dalam blog ni tak boleh kira. Itu pecacai atau baruanya saja. Kadang, lebih pecacai dari tuannya. Tak boleh buat keputusan sendiri pun, 'hanya makan upah saja'... isy! isy! isy!

Siapapun melompat, PAS tetap selamat

 


SEJAK ditubuhkan PAS merupakan sebuah parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi perangai politik melompat parti. Sehingga sudah menjadi perkara biasa, khususnya dalam sistem demokrasi yang menjadikan politik terlalu dinamik.

Maka, terdapat makhluk manusia yang berakal berubah fikirannya dengan kematangan, bahkan terdapat juga yang hanyut kerana gelombang yang memabukkan fikirannya. Sama ada disebabkan oleh tekanan hidup yang mencabar atau tekanan perjuangan yang menyusahkan.

Khusus bagi PAS yang meletakkan Islam menjadi dasar perjuangan, pergerakan dan aktivitinya, maka PAS wajib berpandukan kepada Islam dalam perjalanan serta hala tujunya. Bahkan, wajib beristiqamah untuk menegakkan Islam, sehingga banyak cabaran yang akan ditempuhi dan jauh perjalanannya yang akan dilalui.

Hanya mereka yang berjati diri dan berjiwa kental bersama aqidah Islam sahaja yang akan terus beristiqamah melangsungkan perjuangannya. Mereka yang rapuh akan melompat keluar parti, namun PAS terus menerima pendatang baharu dan menambahkan jumlah ahli yang akan terus mengalami proses tarbiah.

PAS membuka pintu dan menerima semua yang datang kepadanya. Pintunya sentiasa dibuka kepada sesiapa yang mahu masuk dan mahu keluar, sama ada secara berjalan atau berlari, termasuk yang melompat.

Pentas PAS sentiasa dibuka kepada semua, termasuk mereka yang dipecat daripada parti masing-masing, antaranya Dr Mahathir 1969, Tengku Razaleigh 1990, dan Anwar Ibrahim 1998. Kenangan lama yang masih terpahat di fikiran orang lama PAS yang tidak mudah lupa. Maka, PAS sering kali menjadi tempat persinggahan pemimpin parti yang telah dipecat, bukan sekadar menerima penyertaan ahli biasa.

Memang sukar bagi sesiapa yang mahu menerima PAS yang jauh perjalanan perjuangannya. Kadang-kadang PAS hanya dijadikan tempat persinggahan sementara waktu sahaja. Mukjizat ilmu wahyu daripada al-Quran menjadi petunjuk sepanjang zaman. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ٤٢ عَفَا اللَّهُ عَنْكَ لِمَ أَذِنْتَ لَهُمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ٤٣﴾

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad SAW) sesuatu yang berfaedah (pada pandangan mereka) yang sudah didapati (dengan mudah), dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: ‘Sekiranya kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kalian.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri sendiri, sedangkan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutimu). (42); Allah memaafkan dirimu (wahai Muhammad), mengapa engkau mengizinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta? (43).” (Surah al-Taubah: 42-43)

Adakalanya melompat-lompat boleh memperkemaskan tanah tempat berpijak, begitulah lompatan kepada PAS juga akan memperkemaskan lagi asas perjuangannya. Begitulah juga sekiranya dirompak dengan ahlinya dicantas, maka laksana pokok yang satu dahannya dipotong, kemudian akan banyak tunas baru yang tumbuh dan lebih subur.

PAS mengalami kemerosotan apabila ahlinya keluar atau melompat sehingga mengeluarkan dirinya sendiri. Perkara itu berlaku di semua peringkat, bermula daripada ahli biasa sehinggalah melibatkan pemimpin utama dan tertinggi yang juga pernah melompat keluar parti. Ini menunjukkan mereka yang tidak mempunyai manfaat kepada PAS akan dikeluarkan daripada PAS, lalu akan menyembuhkan penyakit yang terdapat dalam jemaah PAS.

Tiada siapa yang mengetahui orang yang tidak ikhlas niat perjuangannya, atau orang yang tidak sabar dan menginginkan kemenangan yang gopoh, melainkan Allah SWT.

Sikap tersebut menjadi penyakit yang mesti dikeluarkan daripada PAS. Semua penyakit yang tidak dapat dilihat dengan mata yang kasar itu, laksana makhluk ghaib. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, sebagaimana firman-Nya:

﴿أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ٢ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ٣﴾

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2); Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (3).” (Surah al-‘Ankabut: 2-3)

Adapun mereka yang melompat datang kepada PAS akan menambahkan keahlian baharu yang sentiasa dibuka pintu masuk dan dialu-alukan kedatangannya ke dalam PAS.

PAS terus berusaha menambah keahlian baharu kerana menjadi pulangan kepada mesej dakwah yang disampaikan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui siapakah yang ikhlas, hatta diri kita sendiri tidak mengetahui siapakah yang ikhlas, walaupun kita sudah lama bersama-sama dalam PAS. Kita diperintahkan supaya dikuatkan sifat istiqamah masing-masing dalam setiap rakaat solat yang ditunaikan.

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW:

﴿فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا  إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ١١٢﴾

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh berada atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang merujuk kembali kepada kebenaran mengikutimu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hakam Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud: 112)

PAS sendiri laksana bahtera yang kukuh sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951. Sebuah parti yang menjadi kesinambungan kepada mata rantai perjuangan Islam sebelumnya dengan melibatkan diri dalam politik.

PAS bukanlah satu-satunya kumpulan Islam, kerana terdapat banyak kumpulan Islam lain di tengah-tengah jumlah umat Islam yang besar ini. Terdapat kumpulan yang bersama dan seiringan dengan PAS, walaupun bergerak di lapangan masing-masing yang tidak berpolitik. Namun, kumpulan tersebut memudahkan perjalanan PAS dalam menegakkan politik Islam.

Terdapat juga kumpulan yang tidak bersama PAS, sekalipun pada namanya kumpulan Islam. Akan tetapi, ia digunakan untuk melawan PAS oleh musuh yang mempergunakannya. Kononnya mereka berkata tidak mahu berpolitik, tiba-tiba mereka dipergunakan oleh politik yang berbeza tujuannya, bukan bertujuan menegakkan Islam yang berdaulat.

Sejarah telah membuktikan PAS tidak tenggelam, sebaliknya kumpulan itu yang telah tenggelam, hampir tenggelam atau akan mengalami kebocoran yang menempah maut di tengah perjalanan. Mereka pasti mabuk dalam gelombang laut perjuangan yang sangat luas dan jauh perjalanannya.

PAS juga adalah satu makhluk yang tidak akan kekal selama-lamanya, sepertimana mana kumpulan islah dan tajdid sebelumnya. Apa yang kekal meneguhkan PAS adalah Islam yang menjadi aqidah dan matlamat perjuangannya serta kemampuan PAS untuk bergerak secara dinamik dan fleksibel dalam mengalami perubahan. Walaupun terdapat kelemahan pada manusia yang menjadi ahlinya dari aspek ilmu, tarbiah dan amal dalam diri masing-masing, termasuklah kemampuan untuk berada di lapangan yang sentiasa berubah sehingga menjadikannya sangat mencabar.

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَا ‌مِنْ ‌نَبِيٍّ ‌بَعَثَهُ ‌اللهُ ‌فِي ‌أُمَّةٍ ‌قَبْلِي ‌إِلَّا ‌كَانَ ‌لَهُ ‌مِنْ ‌أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tiadalah seseorang nabi yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya, melainkan bersamanya pembantu dan sahabat yang setia mengambil ajaran dan mengikutinya dengan patuh. Kemudian (apabila nabi itu telah wafat), selepasnya terdapat mereka yang menyeleweng dan hanya pandai bercakap apa yang tidak diamalkan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan (mengikut ajaran petunjuknya sehingga melakukan kemungkaran). Maka sesiapa yang berjihad dengan tangannya (sehingga berkuasa mencegahnya), nescaya dia beriman, sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, nescaya dia beriman dan tiada lagi iman selepas itu (sekiranya redha kepada kemungkaran itu), walaupun sebesar biji yang paling halus.” (Riwayat Muslim 50)

PAS diwujudkan sebagai kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan Islam bagi menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam. Oleh yang demikian, PAS mengambil pendekatan damai melalui strategi mengadakan tahaluf dan kerjasama dengan semua pihak, khususnya dengan kumpulan Islam. Bahkan termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi memperkenalkan Islam secara langsung.

Kumpulan Islam sebelum PAS ditubuhkan pernah bekerjasama menentang penjajah bersama kumpulan kanan dan kiri. Sehingga Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmi (Yang Dipertua PAS ke-3) pernah diangkat menjadi Ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Namun, apabila terdapat dalam kalangan mereka yang mengambil pendekatannya sendiri dan paling ekstrem apabila memilih untuk bersama Komunis, maka Dr. Burhanuddin al-Helmi memisahkan diri daripada kumpulan tersebut.

Hanya segelintir daripada mereka yang tidak faham sahaja telah melompat ke dalam hutan bersama puak Komunis. Mereka telah dikuburkan bersama Komunis, adapun Dr. Burhanuddin al-Helmi terus bersama PAS semenjak ia ditubuhkan dan terus berada dalam gelanggang perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya.   

PAS pernah bertahaluf bersama Parti Negara pimpinan Almarhum Dato’ Onn Jaafar sehingga PAS sanggup memberikan kerusi yang memenangkan tokoh itu di Kuala Terengganu, setelah rakyat Johor tidak mendukungnya lagi. Kini Parti Negara sudah mati selepas Almarhum Dato’ Onn meninggal dunia, malahan wakil rakyatnya melompat keluar sehingga menjatuhkan kerajaan PAS di Terengganu bersama beberapa wakil rakyat PAS yang turut melompat keluar. Walau bagaimanapun, PAS tetap bangkit semula sebanyak dua kali selepas itu bagi menawan semula Terengganu.

PAS pernah bertahaluf bersama Parti Melayu Semangat 46 dan menawan Kelantan sehingga ke hari ini. Akan tetapi, hari ini Parti Semangat 46 sudah mati kerana pemimpinnya juga telah melompat keluar, dan ia bukan salah PAS.

Akhirnya, PAS bertahaluf dengan PKR, DAP dan rakan-rakannya tanpa menggadaikan prinsip Islam yang dipegang erat. Sehinggalah PAS dipecat kerana teguh berprinsip dan dinamik dalam berpolitik. Mereka menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) yang dipimpin oleh bekas pemimpin PAS yang melompat keluar kerana mahu menang dengan cepat. Sekarang mereka sudah bercakaran antara satu sama lain berebut ahli sesama mereka, dan sekali lagi itu juga bukan salah PAS.

Maka, janganlah menghukum PAS apabila ada golongan yang melompat keluar meninggalkan PAS atau menyertai PAS, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk PAS semula. Hukumlah diri sendiri, PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat melompat. Hanya mereka yang melompat dengan niat yang tidak ikhlas bersama PAS sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli PAS yang setia tetap tidak akan patah semangat.

Sebelum ini PAS pernah bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan ummah, kini sekali lagi bersama UMNO, BERSATU dan parti-parti lain. Sebelum itu juga, PAS pernah bersama UMNO dalam Kerajaan Campuran dan bersama menubuhkan Barisan Nasional (BN).

Walaupun PAS dipecat kerana krisis yang berlaku sehingga menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kelantan, apabila terdapat golongan yang melompat keluar lalu menubuhkan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), namun PAS semakin kuat. Adapun BERJASA terumbang-ambing dalam gelombang politik negara, sedangkan PAS bangkit semula menawan Kelantan dan memerintah negerinya sehingga kini.

Inilah sedikit pengalaman PAS dalam berpolitik, terus beristiqamah berlandaskan prinsipnya yang tidak boleh diubah. Namun begitu, politik akan tetap berubah bersama alam yang turut berubah. Perubahannya wajib ditangani dengan berpandukan hidayah (petunjuk Allah SWT), bukannya jibayah (kebendaan).

Allah SWT yang Maha Mengetahui berfirman:

﴿سَوَاءٌ مِنْكُمْ مَنْ أَسَرَّ الْقَوْلَ وَمَنْ جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍ بِاللَّيْلِ وَسَارِبٌ بِالنَّهَارِ١٠ لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ١١﴾

“Sama sahaja kepada-Nya: Sesiapa antara kalian yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang. (10); Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan ke atas sesuatu kaum dengan bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tiada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya. (11).” (Surah al-Ra‘d: 10-11)

PAS terus menegakkan integriti, bukan sekadar menyebutkan slogan bagi memancing undi rakyat untuk menubuhkan kerajaan. Bahkan integriti dalam PAS ialah bersedia mengadap Tuhan. Tegasnya kita mendukung prinsip tiada pemisahan politik daripada agama. Maka, PAS tidak menjadikan lompat parti sebagai suatu perkara yang boleh menghalang perjalanannya.

Hal yang demikian kerana, mereka yang melompat keluar itu gagal berintegriti, manakala pendatang baharu pula dapat menyesuaikan diri bersama PAS. Namun, mereka yang gagal proses tarbiahnya selepas itu, biarkan dirinya melompat keluar lagi sehingga patah kaki.

PAS akan tetap selamat, selagi Islam menjadi jasad dan rohnya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Sya‘ban 1442 / 17 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 17/3/2021

Pemimpin Islam Sri Lanka ditahan

 

Pemimpin Islam Sri Lanka yang juga bekas gabenor Wilayah Barat, Azath Salley. - Foto AGENSI

COLOMBO: Polis Sri Lanka menahan pemimpin Islam tertinggi negara itu atas tuduhan menyokong pelampau agama Islam, beberapa hari selepas kerajaan meluluskan undang-undang baharu memerangi radikalisasi.

Jurucakap polis, Ajith Rohana, berkata Azath Salley, 57, ditahan berhubung serangan pengebom berani mati pada Hari Easter 2019, yang didakwa dilakukan kumpulan jihad tempatan.

"Dia ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) kerana pembabitannya dalam serangan pada 21 April 2019," katanya merujuk kepada tragedi yang mengorbankan 279 nyawa itu.

Salley, yang juga bekas gabenor Wilayah Barat, minggu lalu mencetuskan kemarahan kerajaan apabila membuat kenyataan hanya akan mematuhi undang-undang Syariah dan bukannya undang-undang Sri Lanka.

Penahanannya dilakukan beberapa hari selepas Colombo menggunakan akta kontroversi POTA bagi memperluaskan kuasa menahan suspek sehingga dua tahun bagi tujuan 'deradikalisasi'.

Sabtu lalu, kerajaan Sri Lanka mengumumkan pengharaman pemakaian burqa dan niqab, yang sebelum ini hanya diharamkan sementara selepas serangan bom pada 2019.

Pada hari sama, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, yang memenangi pilihan raya atas janji memerangi ekstremis Islam, mengumumkan kebenaran penahanan sesiapa yang disyaki terbabit dalam kegiatan ekstrim.

Ia termasuk tindakan ganas berlandaskan agama atau kaum, menjejaskan keharmonian kaum atau masyarakat dan mencetuskan permusuhan antara kaum. - AFP

Sri Lanka larang pemakaian burqa, tutup lebih 1,000 sekolah Islam

Mac 14, 2021 
Pemakaian burqa di negara beragama Buddha itu dilarang untuk sementara waktu pada 2019 setelah berlaku pengeboman gereja dan hotel oleh kumpulan militan. - REUTERS

COLOMBO: Sri Lanka akan melarang pemakaian burqa dan menutup lebih daripada 1,000 sekolah aliran agama Islam. Tindakan itu sekaligus menjejaskan golongan minoriti Muslim di negara itu.
Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera berkata, beliau tandatangan surat kelulusan kabinet melarang pemakaian burqa oleh wanita Islam dengan alasan keselamatan negara.Dakwanya tindakan memakai burqa dianggap ekstremisme agama.
Pemakaian burqa di negara beragama Buddha itu dilarang untuk sementara waktu pada 2019 setelah berlaku pengeboman gereja dan hotel oleh kumpulan militan yang meragut lebih daripada 250 nyawa. Pada akhir tahun itu, Gotabaya Rajapaksa, terpilih sebagai presiden setelah menjanjikan tindakan keras terhadap ekstremisme.
Weerasekera menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk melarang lebih daripada 1,000 sekolah pondok dan madrasah, yang menurutnya, melanggar dasar pendidikan kebangsaan. Tindakan pemerintah terhadap burqa dan sekolah aliran agama Islam ini tidak berbeza dengan perintah dikeluarkan tahun lalu.
Antara lain, pada 2020, kerajaan mewajibkan pembakaran mayat mangsa COVID-19 sekaligus bertentangan dengan Islam yang menguburkan jenazah mereka yang meninggal dunia. Perintah itu dibatalkan awal tahun ini selepas dikritik Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.
Lihat sebelum ini..

Friday, September 17, 2010

'Habbatussauda’ , penawar segala penyakit? -Pejabat Mufti WP.


Pemahaman lafaz hadis habbatussauda’ penawar segala penyakit

Mukadimah

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Soalan

Adakah benar mengenai hadis habbatussauda’ itu penyembuh segala penyakit, pada lafaz kullu “كل” (setiap) itu hanya menunjukkan sebahagian penyakit?

Ringkasan jawapan

Berdasarkan penjelasan ulama terhadap hadis ini dapat difahami bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” itu merujuk kepada penyakit-penyakit tertentu sahaja. Perkara tersebut bersesuaian dengan keadaan dan suasana ketika itu. Oleh itu, adalah tidak tepat jika difahami lafaz “كل” (setiap) tersebut secara literal kerana boleh menyebabkan kekeliruan.

Huraian jawapan

Persoalan ini timbul berdasarkan beberapa riwayat hadis berkaitan Habbatussauda’. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah R.A,

إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ

Maksudnya: Sesungguhnya Habbatussauda’ adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda SAW menjawab: “Kematian”. [Riwayat al-Bukhari (5687)]

Jika, hadis ini difahami secara literal maka semua penyakit yang wujud boleh diubati dengan hanya menggunakan habbatussauda’. Tetapi, harus diketahui bahawa tidak semua hadis boleh difahami secara literal. Apabila hadis ini tidak difahami menggunakan kaedah yang betul, maka boleh menyebabkan salah faham dan kekeliruan. Kebiasaannya, salah faham terhadap hadis ini berlaku pada perkataan “penawar bagi segala penyakit”, sehinggakan masyarakat beranggapan bahawa habbatussauda’ ini mampu menyembuhkan setiap penyakit kecuali mati.

Penjelasan ulama

Menurut Ibn Hajar al-ʻAsqalani, habbatussauda’ dapat mencegah penyakit-penyakit yang disebabkan oleh kesejukan. Antaranya, apabila biji habbatussauda’ dihancurkan dan dibalutkan dengan kain sehingga mengeluarkan aroma, maka aromanya boleh membantu menyembuhkan orang yang menghidapi selsema akibat cuaca yang sejuk. Selain itu, habbatussauda’ yang telah dimasak bersama cuka dan berkumur dengannya maka ia mampu meredakan sakit gigi. [1]

Begitu banyak manfaat daripada habbatussauda’ yang boleh digunakan oleh manusia. Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab syarah hadis. Walaupun begitu, perkara ini bukanlah membawa maksud habbatussauda’ ini boleh menyembuhkan kesemua penyakit yang terdapat di bumi.

Dalam menjelaskan lafaz ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan al-Khattabi yang menyatakan bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” adalah lafaz yang bersifat umum tetapi membawa maksud yang khusus. Hal ini kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan. [2]

Ibn al-Qayyim pula menyebutkan bahawa habbatussauda’ sangat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk. Selain itu, ia juga boleh merawat penyakit yang bersifat panas lagi kering disebabkan faktor tertentu. Bahkan, tidak mustahil bagi ubat yang bersifat panas untuk digunakan pada penyakit yang juga bersifat panas secara khusus. Kerana telah banyak bukti ubat-ubatan yang bersifat panas mampu mengubati penyakit yang juga bersifat panas. Contohnya, al-kibriit (belerang) yang bersifat panas mampu merawat penyakit panau ataupun kegatalan. [3]

Ibn Battal dan Abu Jamrah pula berpandangan dengan keumuman lafaz hadis tersebut, namun kaedah perawatan menggunakan habbatussauda’ adalah berbeza mengikut kesesuaian penyakit. [4]

Namun begitu, para ulama berbeza pandangan dalam menyebutkan fungsi habbatussauda’. Sebahagian menyatakan hanya boleh menggunakannya bagi rawatan terhadap penyakit-penyakit yang disebabkan sejuk. Sebahagian yang lain pula mengatakan boleh digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan faktor kesejukan ataupun panas. Terdapat sebahagian lagi yang berpandangan dengan keumuman lafaz hadis tersebut tetapi tertakluk kepada perincian-perincian tertentu. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pandangan dalam satu sudut tetapi setiap pandangan tersebut mempunyai satu titik temu iaitu habbatussauda’ yang dimaksudkan dalam hadis ini tidak sesuai sebagai penawar segala penyakit.

Bahkan, di dalam al-Quran juga terdapat bentuk-bentuk lafaz “كل” (setiap) yang tidak menunjukkan kepada makna setiap, semua atau segala. Allah SWT berfirman:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Maksudnya: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. (Surah al-Kahfi 18: 79)

Al-Wāḥidī dalam karyanya al-Tafsīr al-Basīṭ menyebutkan bahawa merampas tiap-tiap kapal dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada kapal yang elok sahaja. [5] Oleh itu, lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa tidak semua kapal yang akan dirampas oleh seorang raja tersebut tetapi hanya kapal-kapal yang elok sahaja akan dirampas olehnya. Selain itu, dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah berikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. (Surah al-Naml 27: 23)

Dalam tafsir yang sama, al-Wāḥidī menyebutkan bahawa Ibn ʻAbbās dan Maqātil berkata: “diberikan kepadanya dari tiap-tiap sesuatu” di dalam ayat tersebut adalah diberikan kepadanya daripada perbendaharaan dunia terdiri dari harta, tentera dan ilmu pengetahuan. [6] Hal ini menunjukkan lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan makna yang khusus bukannya umum iaitu mengkhususkan kepada tiga perbendaharaan tersebut.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa habbatussauda’ mempunyai banyak manfaatnya dalam hal perubatan. Para ulama telah memberikan penjelasan yang menggambarkan bahawa banyak manfaat habbatussauda’ kepada manusia. Bahkan, kajian-kajian saintifik masa kini juga telah banyak membuktikan kegunaan habbatussauda’ dalam perubatan. Meskipun begitu, masyarakat tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatussauda’ merupakan penawar ataupun ubat yang mampu merawat segala penyakit di dunia ini secara literal kerana kefahaman seperti itu tidak tepat. Seeloknya, terlebih dahulu kita merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang berautoriti berkenaan hal ehwal penyakit dan rawatan. Wallahua’lam– HARAKAHDAILY 15/3/2021

Rujukan

[1] Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, 1379), 10/144-145.
[2] Ibid., 10/145.
[3] Muḥammad bin Abī Bakr bin Ayyūb Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Ṭibb al-Nabawī (Bayrūt: Dār al-Hilāl, t.t), 1/223.
[4] Ibn Baṭṭāl Abū al-Ḥasan ʻAlī bin Khalaf, Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭṭāl, ed. Abū Tamīm Yāsir bin Ibrāhīm (al-Riyāḍ: Maktabah al-Rusyd, 2003), 9/397. Lihat juga Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī, 10/145.
[5] ʻAlī bin Aḥmad al-Wāḥidī, al-Tafsīr al-Basīṭi (Jāmiʻah al-Imām Muḥammad bin Saʻūd al-Islāmiyyah, 1430), 14: 117.
[6] Ibid., 17/206-207.

(Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Hadith yang diterbitkan 12 Mac 2021.)

Indonesia &Jerman Henti Guna Vaksin AstraZeneca. Mengapa?

 

Jerman menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca yang dikembangkan terhadap jenis baru coronavirus (Covid-19) kerana risiko menyebabkan pembekuan darah.

Kementerian Kesihatan Jerman melaporkan bahawa keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga atas saranan pengatur vaksin nasional Paul Ehrlich Institute.

Kementerian memaklumkan bahawa Agensi Ubat Eropah akan memutuskan sama ada maklumat baharu yang diperoleh akan mempengaruhi pelesenan vaksin.

Indonesia juga menghentikan buat sementara waktu penggunaan vaksin jenis baru coronavirus (Covid-19) yang dikembangkan oleh Universiti Oxford dan syarikat farmasi AstraZeneca.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengatakan bahwa mereka menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana proses penyelidikan yang sedang berjalan untuk kesan sampingannya. Menyatakan bahawa mereka sedang menunggu hasil penyelidikan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kesan sampingan vaksin tersebut, Sadikin berkongsi maklumat bahawa vaksin AstraZeneca yang diterima setakat ini belum ditawarkan untuk diedarkan.

Kerana kemungkinan kesan sampingan seperti pembekuan darah, Ireland, Norway, Denmark, Iceland, Romania, Itali, Bulgaria, Belanda dan Indonesia juga berhenti menggunakan vaksin AstraZeneca.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyatakan bahawa mereka menyedari beberapa negara menangguhkan penggunaan vaksin Oxford-AstraZeneca, dan penyelidikan mengenai vaksin ini sedang berjalan.

(TRT)

RUU 355: Selangkah lagi ke hadapan -Ahmad Marzuk Shaary, T/Menteri JPM

 

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, ini susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu.

“Dengan berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac yang lepas, insya-Allah kita sudah bersedia untuk membawa cadangan dua RUU iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa sempat hadir sebentar untuk mengikuti perkembangan perbincangan ahli jawatankuasa berkenaan.

Ahmad Marzuk yakin mereka telah mencurahkan sepenuh usaha bagi memastikan RUU itu lengkap dan bersedia untuk dibawa ke peringkat seterusnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada tiga lagi lantikan ahli jawatankuasa yang baharu iaitu Nik Bahrum Nik Abdullah, Dr Nurhafilah Musa dan Ahmad Jailani Abdul Ghani.

“Semoga dengan kehadiran mereka akan melancarkan lagi proses penggubalan perundangan Syariah utama mengikut Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah 2020-2025 yang kita sasarkan,” ujarnya.

Kelmarin, beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada negeri-negeri termasuklah Wilayah Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Tambahnya, kuasa itu telah diberikan di bawah Perkara 11(4) iaitu setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tidak boleh mengembangkan atau mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

Oleh itu, kata beliau penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di negeri-negeri yang sudah pun menggubal Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam.

“Manakala, kita dalam usaha untuk menggubal enakmen/akta ini di negeri-negeri yang masih belum ada termasuklah Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang saya pernah maklumkan di Parlimen pada 26 November 2020,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2021

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails