Wednesday, March 17, 2021

RUU 355: Selangkah lagi ke hadapan -Ahmad Marzuk Shaary, T/Menteri JPM

 

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, ini susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu.

“Dengan berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac yang lepas, insya-Allah kita sudah bersedia untuk membawa cadangan dua RUU iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa sempat hadir sebentar untuk mengikuti perkembangan perbincangan ahli jawatankuasa berkenaan.

Ahmad Marzuk yakin mereka telah mencurahkan sepenuh usaha bagi memastikan RUU itu lengkap dan bersedia untuk dibawa ke peringkat seterusnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada tiga lagi lantikan ahli jawatankuasa yang baharu iaitu Nik Bahrum Nik Abdullah, Dr Nurhafilah Musa dan Ahmad Jailani Abdul Ghani.

“Semoga dengan kehadiran mereka akan melancarkan lagi proses penggubalan perundangan Syariah utama mengikut Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah 2020-2025 yang kita sasarkan,” ujarnya.

Kelmarin, beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada negeri-negeri termasuklah Wilayah Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Tambahnya, kuasa itu telah diberikan di bawah Perkara 11(4) iaitu setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tidak boleh mengembangkan atau mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

Oleh itu, kata beliau penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di negeri-negeri yang sudah pun menggubal Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam.

“Manakala, kita dalam usaha untuk menggubal enakmen/akta ini di negeri-negeri yang masih belum ada termasuklah Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang saya pernah maklumkan di Parlimen pada 26 November 2020,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails