Saturday, March 20, 2021

Tambahan Kepada RM5 bilion, projek berskala kecil 2021 -Tuan Ibrahim

 

PEMERKASA: Kerajaan komited laksana projek kecil

KUALA LUMPUR: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dilihat dapat merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi melalui suntikan kewangan yang diberikan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berteraskan 20 inisiatif strategik, PEMERKASA komited memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan dengan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

Di bawah inisiatif keempat ini, kerajaan memperuntukkan jumlah tambahan daripada RM2.5 bilion kepada RM5 bilion di dalam projek berskala kecil tahun 2021.

Katanya, ini termasuklah kenaikan nilai kerja daripada RM100,000 kepada RM200,000 melalui perolehan secara undian yang akan dapat mempercepatkan lagi kerja-kerja pembaikan bencana banjir dan pemuliharaan sungai di seluruh negara.

“Keutamaan juga akan diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya di negeri dan daerah berkenaan,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden PAS turut memaklumkan, pihaknya telah mengadakan majlis undi perdana bagi kerja-kerja pemuliharaan sungai di Johor melibatkan peruntukan sebanyak RM8.3 juta pada 8 Mac 2021.

Manakala pada 14 Mac pula, majlis undi perdana telah diadakan di Terengganu melibatkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Pada 17 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PEMERKASA yang menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

Sebanyak 20 inisiatif akan dijalankan dalam PEMERKASA yang memfokuskan pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021.

Perdana Menteri, dalam pengumumannya itu turut memaklumkan kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan PKP secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.

Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja. – HARAKAHDAILY 19/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pada 17 Mac, PM lancarkan PEMERKASA sebanyak 20 inisiatif  memfokuskan pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021. Antaranya menetapkan 5 fokus utama, iaitu: 

(i).mengawal penularan Covid-19, (ii).memacu pemulihan ekonomi,(iii).memperkukuh daya saing negara, (iv). memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta (v). mentransformasi ekonomi.

Tahniah Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang menteri kerajaan PN yang kreatif. Al-hamdulillah!

Bukan seperti menteri PH sebelumnya yang pegang jawatan 22 bulan bermulut lebar, tapi bisu dari tindakan! Juga tergolong makan gaji buta?? Na'auzubillah..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails