Friday, March 19, 2021

Seluruh England: Zii Jia bakal berdepan Momota

 

SUKAN

KUALA LUMPUR: Tugas berat menanti perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia apabila beliau bakal berdepan pemain nombor satu dunia Kento Momota untuk mengesahkan tempat pada separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England.

Pemain nombor 10 dunia itu mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Denmark Hans-Kristian Solberg Vittinghus 21-12, 21-13 pada pusingan kedua di Utilita Arena, Birmingham pada Khamis.

Sementara itu, pemain Jepun yang beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak terlibat dalam kemalangan maut selepas Masters Malaysia 2020 lebih setahun lepas, berjaya mara setelah menumpaskan H.S. Prannoy dari India 21-15, 21-14.

Momota dan tiga lagi rakan sepasukannya cedera apabila van yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam kemalangan pada Januari tahun lepas yang mengakibatkan pemandu van warga tempatan maut di lokasi kejadian.

“Saya rasa bagus dapat kembali ke perlawanan. Tahun lepas, saya berjaya ke separuh akhir, banyak kenangan di sini…dan kini saya di suku akhir. Selepas permulaan yang teruk tahun ini (selepas penangguhan akibat Covid-19), saya hilang keyakinan dan corak permainan.

“Apa yang saya cuba ialah mencari semula keyakinan dan corak permainan. Beraksi menentang Momota, saya hanya ingin berlawan, ia waktu yang bagus untuk belajar kerana beliau adalah seorang daripada pemain terbaik dan ranking teratas di dunia… Saya akan cuba yang terbaik esok,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Momota telah memenangi kesemua enam pertemuan dengan Zii Jia, dengan perlawanan terakhir pada Masters Malaysia pada Januari tahun lepas yang berakhir dengan keputusan 12-21, 21-16, 21-19.

Sementara itu, beregu wanita yang baru dinobatkan sebagai juara Terbuka Switzerland Pearly Tan-M. Thinaah mengekalkan momentum dan berjaya mengetepikan gandingan tuan rumah, Jessica Hopton-Jenny Moore 21-18, 21-7 dalam perlawanan selama 32 minit.

Pasangan nombor 22 dunia itu yang melakukan penampilan sulung dalam kejohanan berprestij itu, bakal berdepan pasangan pilihan kelima Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun yang sebelum itu menewaskan gandingan Estonia, Kati-Kreet Marran/Helina Ruutel 21-8, 21-12.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan Nipitphon Phuangphuapet-Benyapa Aimsaard dari Thailand dengan 21-9, 21-8.

Beregu campuran negara itu akan menentang pasangan pilihan ketujuh Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut berjaya ke suku akhir selepas menewaskan Seven Stallwood-Annie Lado dari England dengan 21-15, 21-15 untuk bertemu pilihan kedua Yuta Watanabe-Aris Higashino dari Jepun.

Keputusan lain:
(Nota: Pemain Malaysia melainkan dinyatakan; [ ] pemain pilihan)

Beregu lelaki:
[4] Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe (JPN) mn Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-10, 21-19
Mathias Christiansen-Niclas Nohr (DEN) mn [7] Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-19, 21-18

Beregu campuran:
Sam Magee-Chloe Magee (IRL) mn [5] Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-19, 21-16
[7] Thom Gicquel-Delphine Delrue (FRA) mn Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 21-19, 20-22, 21-14 – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails