Monday, March 15, 2021

Beyonce dominasi pencalonan Anugerah Grammy

 

Beyonce membolosi sembilan pencalonan dengan mempertaruhkan lagu Black Parade yang dihasilkan sempena peristiwa tunjuk perasaan selepas insiden mensasarkan golongan kulit hitam di Amerika Syarikat. - Foto AGENSI

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Saban tahun, Anugerah Grammy dianjurkan secara gilang gemilang dan menjadi tumpuan dunia dengan kehadiran bintang terkemuka antarabangsa.

Namun, berbeza tahun ini, Anugerah Grammy Ke-63 berlangsung secara virtual dari Pusat Konvensyen Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi ini.

Malam kemuncak secara virtual itu menggabungkan persembahan secara langsung dan rakaman bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 ketika ini.

Bagaimanapun, anugerah berprestij yang mengangkat karya dan bakat anak seni itu masih menjadi perhatian apabila beberapa nama penyanyi terkemuka kembali membolosi senarai pencalonan, tahun ini.

Beyonce yang tewas dalam beberapa kategori utama kembali mendahului sembilan pencalonan tahun ini, diikuti Taylor Swift, Dua Lipa dan Roddy Ricch dengan masing-masing enam pencalonan.

Penyanyi bervokal hebat itu mempertaruhkan Black Parade, karya yang dikeluarkan pada Jun lalu sempena berlakunya peristiwa tunjuk perasaan besar-besaran selepas insiden mensasarkan golongan kulit hitam di Amerika Syarikat. Lagu itu bersaing menerusi kategori Rekod dan Lagu Terbaik.

Bagaimanapun, ramai yang percaya Lipa turut mempunyai peluang besar apabila mengambil risiko tinggi dalam mengeluarkan album Future Nostalgia ketika pandemik ini.

Taylor Swift sudah lima tahun tidak membawa pulang trofi menguasai beberapa pencalonan menerusi album Folklore. - Foto AGENSI

Seterusnya, pemenang Grammy yang sudah lima tahun tidak membawa pulang trofi, Swift juga menguasai beberapa pencalonan menerusi album dihasilkan dalam tempoh kuarantin yang berjudul Folklore.

Penyanyi rap, Ricch yang pernah memenangi trofi, tahun lalu menerusi kolaborasi bersama Nipsey Hussle memberikan saingan kuat apabila mempertaruhkan lagu The Box menerusi kategori Lagu Terbaik.

Brittany Howard yang dikenali dengan kumpulan Alabama Shakes mendominasi lima pencalonan menerusi album solo pertama, Jaime. Howard antara calon kategori rock yang kali pertama didominasi oleh wanita.

Pemenang tahun lalu, Billie Eilish pastinya meraih perhatian, tahun ini, selain Post Malone, Justin Bieber dan penyanyi rap, DaBaby.

Tidak ketinggalan, Megan Thee Stallion yang dicalonkan menerusi empat kategori termasuk Artis Baharu Terbaik.

Lagu remix popularnya, Savage yang menampilkan Beyonce juga dicalonkan menerusi beberapa kategori termasuk Rekod Terbaik.

Seorang lagi calon Artis Baharu Terbaik yang tidak boleh diketepikan adalah Phoebe Bridgers. Artis indie dari California itu menguasai beberapa pencalonan dalam kategori rock.

Kumpulan K-Pop sensasi, BTS akan menghangatkan pentas Anugerah Grammy Ke-63 dengan persembahan yang memukau. - Foto AGENSI

Bagaimanapun, bukanlah Anugerah Grammy sekiranya tanpa kontroversi.

The Weeknd berjanji berhenti menghantar karya untuk bertanding dalam anugerah berkenaan selepas terkejut tidak menerima sebarang pencalonan, meskipun berjaya secara komersial.

Bintang dari Kanada penyanyi seperti Frank Ocean dan Drake juga mengikuti langkah yang sama.

Anugerah Grammy dimeriahkan dengan persembahan secara rakaman daripada Lady Gaga, Paul McCartney dan Bruce Springsteen. Manakala, John Legend dan calon Album Terbaik, Haim dan Jhene Aiko akan mengadakan persembahan secara langsung.

Selain itu, selebriti lain yang akan memeriahkan pentas Anugerah Grammy Ke-63 adalah Cardi B, Swift, Eilish, Lipa, Harry Styles, kumpulan K-Pop sensasi, BTS dan penyanyi rap, DaBabyz. Bintang Latin, Bad Bunny akan tampil bersama Brandi Carlile, Maren Morris dan Mickey Guyton.

Bintang komedi, Trevor Noah pula akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Seperti biasa kita umat Islam dan rakyat Malaysia merasa perlu 'pesan memesan dalam perkara kebenaran' sesama kita. Perlukah difikir balik apa manfaatnya program hiburan seperti di atas di arah supaya patuh mengikut syariah atau tidak di negara ini? 

Apa manfaatnya untuk pembangunan moral dan spiritual generasi baru negara? Juga kepada kepelbagaian media yang turut kerjasama menyumbang keruntuhan tersebut..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails