KAJANG, 25 Mac: Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.
Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi. Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.
Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010. Beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.
Semasa dalam Umno, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999. Kerusinya jadi rebutan. Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.
Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gembira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai. Sejak bekas menteri besar Selangor itu dilaporkan uzur, khabar angin bertiup kencang bahawa Umno cuba mendapatkan kerusi itu semula yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC. Pertarungan dijangka panas. (AK)
DYMM AL Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra
Updated: Khamis Mac 25, 2010 MYT 5:30:11 PM
Krisis Istana Kelantan Terus Meruncing
KOTA BHARU: Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Tengku Abdul Aziz Hamzah sebagai Pemangku Raja Kelantan yang baru adalah tidak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Ketika dihubungi BERNAMA hari ini, beliau berkata Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.
"Pelantikan Tengku Abdul Aziz tidak ikut Perlembagaan negeri kerana untuk sebarang pelantikan dan pemecatan ianya memerlukan dua pertiga persetujuan daripada ahli Majlis Perajaan Negeri dan bukannya daripada seseorang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Yahya Petra yang didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Muhammad Faris Petra, sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.
Titah mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz, 76, abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah, itu dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di sini hari ini.
Mengenai keadaan Sultan Kelantan, Wan Hashim berkata: "Dia boleh bertitah, boleh bercakap dan ingatannya bagus."
Katanya Tengku Abdul Aziz berpendapat bahawa tidak perlu dipanggil ahli MPN untuk diadakan mesyuarat bagi berhubung keputusan pemecatan Tengku Muhammad Faris kerana Sultan Kelantan sudah boleh bertitah dan sihat serta tindakan itu tidak salah.
Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Tengku Muhammad Faris dan kerajaan negeri berhubung pengumuman itu.
Semalam Tengku Muhammad Faris bertitah ayahandanya, Sultan Kelantan masih gering dan beliau kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan untuk menjalankan tugas hal ehwal negeri sejak beliau dilantik pada 29 Mei tahun lalu disebabkan Sultan Kelantan gering dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.
Baginda bertitah kesemua laporan mengenai kesihatan Ayahandanya selain daripada pakar doktor-doktor yang dilantik adalah tidak tepat.
Abdul Halim berkata satu sidang akhbar akan diadakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias, yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. (mStar Online/AK)
MAC 25, 2010: GARA-GARA laporan Harakahdaily - laman web berita rasmi PAS - mengenai hasil mesyuarat pertama majlis syura ulamanya malam kelmarin, tercetus spekulasi mendebarkan mengenai kedudukan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai mursyidul am - jawatan tertinggi dalam parti Islam itu.
Semuanya bermula apabila Harakahdaily melaporkan, mesyuarat pertama bagi sesi baru Majlis Syura Ulama PAS - badan tertinggi parti akan memilih mursyidul amnya bagi mempengerusikan majlis itu.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, laman web berkenaan melaporkan bahawa pemilihan mursyidul am tidak dibuat, sebaliknya majlis tersebut hanya melantik lima anggota tambahan. Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS tersebut mempunyai 12 anggota - iaitu empat wakil jawatankuasa pusat, empat wakil dewan ulama dan empat anggota lantikan.
Bagaimanapun, pada sesi baru ini, jumlahnya ditambah menjadi 17 menerusi pelantikan masing-masing dua wakil Dewan Pemuda dan Muslimat, serta seorang lagi anggota lantikan. Laporan tersebut telah menimbulkan tanda tanya mengapa pelantikan mursyidul am tidak dibuat. Di samping itu, Harakahdaily juga melaporkan empat lagi anggota dilantik tetapi nama mereka tidak didedahkan oleh pihak parti.
Ia juga melaporkan bahawa Nik Aziz dan timbalannya Datuk Dr Haron Din tiada masalah untuk dilantik semula bagi mengisi jawatan masing-masing. “Perlembagaan PAS tidak mempunyai sebarang halangan untuk melantik mereka semula,” laporan tersebut dipetik.
Akhbar: Kami tidak ditekan
Spekulasi itu disemarakkan lagi ekoran tindakan Nik Aziz yang sering dilihat tidak sependapat berhubung beberapa pemimpin kanan parti itu termasuklah presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terutamanya dalam isu kerajaan perpaduan PAS-Umno.
Perkembangan itu menjadi lebih menarik apabila Harakahdaily mengeluarkan laporan tersebut yang berjudul 'Majlis syura lantik empat anggota' pada sebelah petang semalam, selepas hampir separuh hari disiarkan. Ketua pengarangnya Zulkifli Sulong ketika dihubungi semalam bagaimanapun menjelaskan bahawa berita itu tidak dibuang tetapi sedang 'dikemaskini' untuk disiarkan semula.
“Kami tidak mendapat tekanan atau aduan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditanya berhubung perkara itu.
Versi kemaskininya berjudul 'Majlis syura lantik lima anggota baru' disiarkan semula selepas itu, yang turut memetik kenyataan naib presidennya Datuk Mahfuz Omar bahawa beliau difahamkan, Nik Aziz adalah antara lima orang anggota lantikan tersebut.
Ketika dihubungi sekali lagi hari ini, Zulkifli mengakui tersalah membuat jangkaan dalam laporan pertamanya kerana menyangka pelantikan mursyidul am akan dibuat dalam mesyuarat pertama sebelum itu. Bagaimanapun, tambah Zulkifli, pihaknya difahamkan bahawa ia boleh juga dilantik pada mesyuarat berikutnya. Versi kemaskini itu juga menyebut lima anggota lantikan, bukan empat orang seperti yang dilaporkan sebelumnya.
Haron Din juga sah dipilih
Sementara itu, seorang lagi naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi berkata, mesyuarat majlis tersebut sebelum ini hanya membincangkan agenda pelantikan lima anggota tambahan sahaja.
Beliau sebagai anggota majlis tersebut juga mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron mengganggotai majlis tersebut.
“Ini bukanlah rahsia. Tetapi kita tidak umumkan sebab ia belum disahkan (dalam mesyuarat),” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau juga berharap semua pihak dapat mengelakkan spekulasi dan menunggu mesyuarat tersebut membuat lantikan baru pada Isnin akan datang. Spekulasi mengenai kedudukan Nik Aziz itu menarik perhatian ramai ekoran timbul desas-desus yang tersebar di dunia siber bahawa kononnya nama beliau tidak tersenarai dalam rombakan besar exco kerajaan negeri Kelantan, yang disebut-sebut bulan depan.
Bagaimanapun beberapa exco-exco Kelantan ketika dihubungi Malaysiakini pada 16 Mac lalu menafikann khabar angin tersebut. Kedudukan Nik Aziz kini dilihat masih belum jelas dan bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut yang akan menentukan nasibnya sama ada akan dilantik semula ke jawatan itu. (Malaysiakini.com/2MA)
MAC25 2010: DEWAN Pemuda PAS akan meneruskan demonstrasi bagi membantah akhbar di Sweden yang menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad di Kuala Lumpur esok.
Setiausaha dewan itu Kamaruzaman Mohamad berkata, setelah membuat promosi melalui pelbagai cara, ribuan umat Islam akan berarak ke kedutaan Sweden di Jalan Ampang selepas solat Jumaat bagi menyatakan perasaan tidak puas hati mereka.
“Perhimpunan ini akan diketuai Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ketua Dewan Pemuda Nasrudin Hassan,” katanya kepada hari ini. Kamaruzaman berkata, dalam perhimpunan esok, mereka akan berkumpul sekitar bangunan Tabung Haji dan berarak beramai-ramai ke kedutaan berkenaan kira-kira 1 kilometer. (AK)
BUKAN nak ajar jadi pengganas, tidak. Tetapi Islam mengajarkan umatnya mesti kuat. Kuat fizikal dan spiritual. Kuat termasuk memiliki senjata tercanggih dan bijak menggunanya. Ramai orang Islam di negara ini, yang hanya pandai menonton filem bertarung, filem kung fu, perang dan macam-macam, tetapi tidak pernah belajar ilmu pertahan diri.
Jauh lagi hendak tahu mengenai senjata-senjata moden. Ada yang tak pernah pegang pistol pun, kecuali lihat gambar sahaja. Mari kita ambil tahu sikit carakerja pistol, dari jenis senjata api ringan. Ambil tahu, bukan simpan, memiliki. Berkreatif sikit dalam bermasyarakat atau berjamaah.
Senjata Api ringan, dalam hal ini revolver merupakan alat bantu mekanik yang berfungsi menembak satu atau sejumlah projektil menuju target yang diinginkan, bekerja berdasarkan prinsip fizikal dengan mengaplikasikan teori mekanikal pegas.
Komponen utama dari senjata api terdiri atas:
i..Hammer atau striker. Berfungsi sebagai pemukul. ii..Laras (barrel). Berfungsi sebagai pemandu peluru agar melesat lurus semasa menembak. iii..Pelatuk. Sebagai pengawal masa menembak.
Semua komponen tadi pada dasarnya merupakan suatu rangkaian mekanisme yang berfungsi untuk menyokong mekanisme tembakan projektil. Sedangkan projektil adalah sebahagian dari suatu sistem yang disebut cartridge, beroperasi dengan bantuan senjata api berdasarkan asas teori Kinematika dan Hidrodinamika gas.
Konstruksi cartridge terdiri atas rangkaian:
Satu: Peluru atau bullet.Dibuat dari logam solid (biasanya timah) yang berfungsi sebagai projektil penghantam target.
Kedua: Kelongsong , case atau shell. Berfungsi sebagai induk dari keseluruhan sistem cartridge.
Ketiga: Propelant. Sebagai sumber bahan bakar gas pendorong atau pendesak. Teknologi awal yang diterapkan pada senjata api, umumnya memakai serbuk hitam (black powder) yang menghasilkan sisa pembakaran 55% gas dan 45% asap.
Namun semenjak ditemui komposisi serbuk hitam yang hampir keseluruhannya adalah 'smokeless powder' (gas minus asap) oleh Paul Vieille pada tahun 1884, serbuk hitam sudah tidak digunakan lagi.
Kandungan senyawa dalam propelant yang dikenal dengan sebutan Primex ini adalah : 0-40% nitroglycerin, 0-10% dibutyl phthalate, 0-10% polyester adipate, 0-5% rosin, 0-5% ethyl acetate, 0.3-1.5% diphenylamine, 0-1.5% N-nitrosodiphenylamine, 0-1.5% 2-nitrodiphenylamine, 0-1.5% potassium nitrate, 0-1.5% potassium sulfate, 0-1.5% tin dioxide, 0.02-1% graphite, 0-1% calcium carbonate, dan sisanya adalah nitrocellulose
Keempat: Percussion cap atau umum disebut Primer. Senyawa logam yang sangat sensitif memantikkan api bila terkena hentakan. Komposisinya adalah Timah azide dan Potasium klorat yang ditanam dalam perunggu.
Semasa pelatuk ditekan, hammer akan terangkat ke belakang. Pegas yang ditanam pada gagang pistol, kemudian menolak hammer ke depan dan menghentam primer.
Hentaman dari hammer tadi memantikkan api pada primer, hingga memancing ledakan gas yang mampat akibat terbakarnya mesiu di dalam cartridge. Gas bertekanan tinggi inilah yang kemudian mendesak peluru terlepas dari kelongsong dan melesat melalui laras senjata.
Walaupun nampak sederhana, tetapi memerlukan komitmen yang tinggi dalam melihat carakerja senjata ini. Kesalahan kecil saja dapat mengakibatkan kemalangan besar. Boleh buat sendiri ke? Terletak kepada kemampuan anda.
KL25 Mac: Bekas de facto Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menempelak penulis kanan Utusan Malaysia yang menggunakan nama Awang Selamat dan menyifatkan penulis itu membuat "sindiran yang biadab dan bodoh ini" terhadap Sultan Selangor.
Zaid dalam tulisan di blognya berkata, "Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini."
Zaid mengulas tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas. Selain Zaid, turut kesal dengan tulisan itu adalah para Adun Pakatan Rakyat di Selangor.
Mereka akan mengemukakan usul khas untuk mengecam Utusan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang dijangka bersidang tidak lama lagi.
Berikut adalah tulisan penuh Zaid dalam blognya yang bertajuk "Pagar Makan Padi":
Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”. Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.
Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina. Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan.
Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun. Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita? Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.
Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu. Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, itu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka. Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?
Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu. Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia. Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?
Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul. Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham.
KUALA LUMPUR, 25 Mac: Sebelum membenarkan perjudian sukan berlesen di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mendapatkan pungutan suara rakyat di peringkat nasional.
Beliau dicabar berbuat demikian kerana kesediaan beliau mempertimbang proposal tersebut sempena musim bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi, seperti yang dilaporkan akhbar The Star kelmarin.
“Kalau (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak betul-betul pemimpin Umno yang bermaruah (dalam) memperjuangkan kononnya pejuang Melayu-Islam, Pakatan Rakyat mahu beliau dapatkan pungutan suara nasional sebelum menghalalkan perjudian sukan berdaftar di Malaysia,” tegas Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Dzulkifli yang juga Pengarah Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat berkata, rakyat khususnya ahli-ahli Umno serta kaum Melayu berhak mengetahui inisiatif terbaru kerajaan kerana amalan perjudian itu membabitkan sensitiviti beragama Islam dan adat resam mereka masing-masing.
Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pertemuan Najib dengan pihak terbabit, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Presiden Kumpulan Berjaya Corp. Bhd. di luar negara supaya masyarakat Melayu-Islam tidak mengetahui inisiatif Najib itu.
Mewakili PAS, beliau berkata, bukan sahaja Islam mengharamkan amalan judi sama ada berlesen atau haram, malah semua agama sekalipun turut mengharamkan amalat tersebut. Sehubungan itu, beliau menasihatkan Najib dan kerajaan supaya menggalakkan cara hidup yang lebih sihat dengan tidak mengiktiraf amalan judi berlesen di tanah air.
Maka, menurut beliau, tidak salah sekiranya Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Foke yang mewakili DAP menegaskan bahawa perjudian sukan berlesen tersebut mengakibatkan kebejatan sosial dalam masyarakat, khususnya di kalangan kaum Tiong Hua.
Sebelum pada itu, Loke, Pengerusi DAP Negeri Sembilan menegaskan bahawa inisiatif tersebut mengakibatkan impak sosial yang tinggi dalam masyarakat. “Kita lihat ia (perjudian sukan berlesen) dari segi isu (dan) impak yang akan melanda masyarakat kita, khususnya kaum Tionghua sendiri,” jelas beliau.
Pengalaman melihat sendiri realiti dalam keluarga masyarakat Tionghua, perjudian juga mengakibatkan rakyat terjebak dalam budaya memijam duit riba daripada along.
“Khususnya impak (ke atas) kaum muda Tiong Hua, itu masalah besar (apabila) ambil (pinjaman) ‘along’ untuk berjudi dan ada keluarga terpaksa jual rumah (atau) jual kereta untuk selamatkan anak-anak mereka,” beliau menambah.
Memetik suatu kenyataan dari akhbar tempatan beberapa hari lalu, Loke turut bertanya, adakah Najib bercadang menjadikan industri judi salah satu injin untuk memperkasa Model Ekonomi Baru (MEB). Beliau mempersoal demikian kerana Najib sendiri mengaku bahawa industri perjudian berkemungkinan akan menjadi salah satu bahagian dalam menangani defisit kewangan melalui MEB.
Bercakap dalam kenyataan yang sama di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution pula mempersoal kaedah Najib dan kerajaan untuk menjana pendapatan negara, menggunakan MEB. “Apakah kayu ukur pertimbangan kerajaan ini semata-mata untuk mengurangkan defisit kewangan dan meningkatkan pendapatan melalui cukai judi,” soal beliau.
Tegas beliau, sekiranya Najib bercadang menjana pendapatan negara melalui hasil cukai perjudian, beliau menegaskan bahawa kaedah tersebut tidak munasabah. Beliau turut sependapat dengan Dzulkefly dan Loke, inisiatif Najib tersebut seolah-olah mencerminkan beliau langsung tidak mempertimbang impak berantai seperti kebejatan sosial di kalangan rakyat, ekoran penggalakan industri perjudian berlesen tersebut.
Selasa lalu, akhbar The Star melaporkan Ascot Sports Sendirian Berhad, iaitu satu anak syarikat Kumpulan Berjaya telah diberikan konsesi lesen perjudian sukan berdaftar selama 20 tahun oleh Kementerian Kewangan pada era Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, tahun 2003 yang lalu.
Melalui industri perjudian tersebut, Malaysia sanggup menerima bayaran sebanyak RM25 juta pada setiap tahun. Pun begitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir mengetepikan proposal tersebut. (AK)