Saturday, September 17, 2022

PH X layak rakan politik. Fitnah kahwin Ayah Chik & hukumn

 


1. Pakatan Harapan tidak layak dijadikan rakan politik 

PAS Selangor menyambut baik ketegasan yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menjelaskan kenapa PAS menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan pakatan politik perasuah dan tidak moral, PH. PAS Selangor berpandangan bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia, bahkan ia juga tidak layak dijadikan rakan politik oleh mana-mana permuafakatan politik yang ada di negara ini. 

PAS berpengalaman sebagai sekutu dan rakan  tahaluf kepada parti-parti yang menganggotai PH, termasuk PAN yang merupakan serpihan kepada PAS. Hubungan politik di antara PAS dengan DAP dan PKR telah terbentuk sejak 1998, dan PAS telah masak dengan kerenah-kerenah mereka sepanjang tempoh kerjasama politik itu, sehingga ia terputus pada 2015. Pengalaman yang dilalui oleh PAS bukanlah cerita dongeng atau khayalan politik, tetapi ia adalah politik realiti yang dilalui oleh PAS dalam mengenal hati budi PH. 

Tidak perlu kami mengulangi mengenai seluruh kelakuan dan tabiat buruk politik mereka dalam memusuhi Islam, meruntuhkan sendi-sendi utama negara serta merosakkan integriti politik dan pentadbiran awam, kerana hal-hal ini telah diperjelaskan sejelas-jelasnya oleh Presiden PAS dalam kenyataannya. Yang penting bagi rakyat Malaysia, bahawa seluruh slogan keadilan, amanah dan integriti yang mereka laungkan selama ini hanyalah pseudo semata-mata. 

Sikap ‘liar’ pemimpin PH dalam membentuk kerjasama politik dan pembohongan mereka kepada rakyat ketika menjadi kerajaan adalah dosa yang sukar dimaafkan. Pembodohan yang cuba mereka lakukan kepada rakyat sebenarnya bukan satu bentuk pemulihan terhadap keadaan politik negara, tetapi ia adalah proses meruntuhkan negara yang cuba dilakukan secara terancang. Pengalaman politik bersama PH tiada bezanya dengan pengalaman menyaksikan ‘tikus membaiki labu,’ bahkan lebih teruk daripada itu. 

Atas asas ini, PAS Selangor menyatakan sokongan dan dukungan padu di atas penegasan Tuan Guru Presiden PAS itu. PAS Selangor melihat bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dijadikan rakan politik, bahkan ia perlu ditolak oleh seluruh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. 

MOHD FADLI GHANI

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 17/9/2022


2. Ayah Chik dan fitnah kahwin: Cerita di sebalik cerita 


SEHARI dua lalu, kita dipersembahkan oleh satu naratif fitnah yang jahat, dibuat dengan begitu rupa, agar kelihatan imej seorang ulamak yang diiktiraf dunia tercalar akibat daripada sekeping gambar yang diubahsuai berlandaskan nafsu syaitan. Gambar Presiden PAS, Ayah Chik dan anak perempuannya.

Fitnah jahat sebegini kita lihat telah berjalan kira-kira seminggu yang lalu, setelah berehat panjang, akibat daripada kelesuan musuh untuk mencari jalan, bagaimana mahu kembali berkuasa setelah 22 bulan memerintah, yang mereka ketika itu, dengan mudah, diperdayakan Tun Mahathir.

Dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan orang penting berkenaan PRU, mereka seolah-olah menyambutnya bagaikan paluan gendang PRU, maka, berita itu diraikan oleh lawan dengan fitnah pembuka gelanggangnya dengan kenyataan PAS tidak mampu membuat himpunan penyokongnya dan terpaksa menggunakan jentera kerajaan, bagi membantunya.

Menteri Agama dari PAS pula diserang kerana dikatakan tiada berperanan. Ironinya yang menyerangnya, si kafir. Sementara dua lagi Menteri PAS, dituduh paling tidak berjaya dalam fungsi mereka di portfolio masing-masing. Tuduhan rasuah RM90 juta, isu pembalakan, pesta arak di Terengganu dikitar semula, mewarnai kanvas lukisan fitnah politik negara. 

Fitnah-fitnah sebegini adalah perkara biasa, bahkan mungkin wajib bagi musuh PAS, sebab jika mereka berkata benar, PAS akan menerima pujian dari rakyat. Senang cakap, macam tolong kempen untuk PAS lah. Jadi kena reka fitnah. Nanti, tidak lama, dekat dengan PRU, akan keluar pula cerita hudud, Amanat Haji Hadi, menu utama kempen PRU, zaman berzaman.

Ayah Chik bukan sekali ini sahaja difitnah berkenaan kahwin dengan perempuan muda. Saya percaya majoriti rakyat Terengganu yang sempat dengan Kerajaan PAS 1999-2004 dahulu, telah dihidangkan dengan cerita fitnah yang hampir serupa.

Sebaik sahaja menang PRU-10, antara fitnahnya ialah Ayah Chik telah berkahwin dengan seorang anak dara berumur 17 tahun. Disebarkan sebegitu rupa, sehinggakan ramai penyokong PAS sendiri percaya. Bukan senang ketika itu mahu memadamkan berita fitnah, kerana masih menggunakan teknologi lama.

Namun, walau bagaimana jahat sekalipun fitnah yang mereka buat, mereka tidak berdaya untuk membuat fitnah berkenaan Ayah Chik membuat dosa. Mereka fitnah Ayah Chik berkahwin muda, kononnya ulamak gatal, bahkan perkahwinan itu bukanlah satu dosa dalam Islam. 

Mereka tidak berani berkata Ayah Chik berzina, mencabul atau yang semakna dengannya. Tidak, mereka tidak boleh, tidak mampu. Kerana cerita itu dari mula lagi, tidak akan dipercayai orang. Malahan sesama mereka sendiri juga mungkin akan mengatakan betapa bodohnya fitnah itu, kerana pastinya tiada yang akan percaya.

Tiada juga mereka berani mendakwa Ayah Chik minum arak, berjudi, menyokong riba, kerana ia terbukti, tiada yang seperti itu diyakini pendengar. Ayah Chik sudah berada dalam keyakinan yang tinggi di hati rakyat, yang beliau tidak akan melakukan hal-hal sedemikian. Bak kata A.R Tompel, kalau nak temberangpun, biarlah yang ‘possible’, ini yang ‘impossible’.

Lainlah jika mereka cipta fitnah yang pimpinan parti lain ada membuat onar-onar sebegitu, ia akan segera dipercayai orang kerana hal sedemikian, sangat sinonim dengan parti yang bukan berasaskan Islam. PKR, DAP sebagai contoh fitnah yang mereka lakukan terhadap almarhum TS Khalid dan kes rasuah Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

Bagaimana bersungguhnya mereka menyebut mengenai integriti, ia tidak semudah lidah mengucapkannya. Ia perlukan kepada istiqamah dengan agama, tali perhubungan dengan Allah yang sentiasa dijaga, sebagaimana Ayah Chik lakukan. Ada pengukur dosa pahala dalam dirinya, yang sumbernya al-Quran dan sunnah.

Dan mengapa pula kita mahu mengagungkan kafir yang megah mendakwa konon dirinya beramanah, sedangkan kita mempunyai sepasukan Muslim yang terbukti penuh integriti seperti yang rakyat Malaysia miliki di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin oleh Ayah Chik?

Rabu lalu, kebetulannya, saya berjumpa dengan Ayah Chik untuk satu temuramah dan anaknya, YB Ustaz Khalil sendiri, iaitu sehari selepas fitnah ini berlegar di media sosial. Kelihatan jelas mereka begitu tenang dan bersahaja dengan fitnah sebegitu. Ustaz Khalil hanya tersenyum apabila hal itu dibangkitkan, sambil mengatakan beliau tidak mengenali si pemfitnah itu. Ia tidak menjejaskan maruah mereka.

Maruah pemimpin Islam yang istiqamah adalah ibarat benda yang kenyal. Sekuat mana ia ditarik, dilenyek, dihempas, ia pasti akan kembali ke bentuk asal. Ia tidak berubah, tidak hilang fokus kepada salakan-salakan sebegini, malah akan menjadi lebih berbahaya jika lantunan itu kembali kepada pelemparnya. Inilah nilai terhebat pejuang Islam yang Allah kurniakan

Kita sebagai pendukung perjuangan Islam ini, pasti akan berdiri bersama-sama, menyokong Ayah Chik, serta mempertahankan beliau daripada serangan jahat musuh PAS ini. Kita bangga dengan pimpinan jemaah Islam kita.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 17/9/2022


3. Fitnah ta’ridh boleh dikenakan hukuman 

SAYA dah bincang dengan beberapa lawyer, memang susah nak saman sebab dia hanya share gambar yang dicrop tanpa apa-apa ulasan. 

Jika hukum Islam, kategori fitnah ini diistilahkan sebagai ta’ridh (التعريض) di mana si pelakunya boleh kena hukuman. 

Ta’ridh itu adalah sesuatu perkataan yang memahamkan satu maksud disebabkan oleh suasana sekalipun lafaz atau zahirnya menunjukkan sebaliknya. 

Contoh ta’ridh ialah kata-kata Bani Israel kepada Maryam A.S, “Ibu kamu bukan seorang pengzina”. Sekalipun dia tidak kata: “kamu berzina” tetapi perkataan “Ibumu bukan seorang pengzina” adalah cukup memahamkan pendengarnya tuduhannya kepada Maryam sebagai berzina disebabkan suasana waktu itu Maryam melahirkan Nabi Isa tanpa bapa. 

Dalam undang-undang hari ini, jika kes ini dibawa ke mahkamah, maka beban bukti ke atas pendakwa, iaitu pihak kami perlu buktikan sejelas-jelasnya maksud pemfitnah.

Tetapi dalam Islam, jika mafhumnya jelas sebagai fitnah, jika dibawa ke mahkamah, maka beban bukti ke atas pemfitnah, iaitu dia perlu buktikan tujuan posting bukan bermaksud fitnah. 

Jika dia ada bukti kukuh postingnya bertujuan selain fitnah, maka dia lepas, jika tidak, dia sangkut dan tertakluk kepada hukum Qazaf jika cukup syarat atau Takzir jika syarat Qazaf tak cukup. Tanpa hukum Islam, memang negara kita huru-hara dengan fitnah. 

Dalam kesalahan fitnah, hukumannya ialah sebat dan ditolak status ‘boleh percaya’ menyebabkannya sukar berurusan rasmi kerana ia di bawah kategori hudud Qazaf.

Tetapi hari ini, hukumannya ialah saman Sivil, jika tak mampu bayar paling tinggipun muflis. Sebab itu, bila kita nak saman seseorang, perlu kaji dulu latar belakang, kesan black list dan status kewangan orang yang kita nak saman. 

Jika dia orang kaya teruskan saman kerana bila dia kalah dia akan bayar. Jika dia tak kaya tapi dia pegawai bank C level, jika muflis menyebabkan jawatannya terlucut, maka teruskan saman kerana dia akan pinjam mana-mana pun untuk bayar kita kerana nak selamatkan pekerjaannya. 

Tapi jika orang miskin, baik lupakan saja sekalipun jelas dia fitnah kerana nanti kita yang kena tanggung semua kos terutamanya lawyer kita. 

Sebab itu ada parti, strateginya upah budak-budak miskin buat fitnah, jadi pihak kena fitnah confirm tak saman terutamanya si kena fitnah tak ada duit. 

Jika dalam Islam, semua ini tak perlu takut kerana tatacaranya straight forward kerana beban penafian atas si pemfitnah, bukan atas yang kena fitnah. 

Ia tak perlukan kos yang tinggi untuk bermain hanky panky wording sebagaimana hari ini. Jika sabit, maka hukumannya sebat dan nafi status ‘boleh percaya’.

Orang kaya ke, miskin ke, akan takut dengan hukuman ini dan pembuktiannya jauh lebih adil berbanding hari ini.

Nota: Gambar ini adalah gambar Tuan Guru Presiden dan anak bongsunya dalam walimah Sabtu baru-baru ini.

USTAZ ZAHARUDIN MUHAMMAD
Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh – HARAKAHDAILY 17/9/2022

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails