Wednesday, September 14, 2022

Berarak protes gay di Belgrade & hijab di Denmark.

 

Beribu-ribu golongan anti perarakan gay, EuroPride menyertai perarakan tunjuk perasaan di Belgrade, Serbia pada 11 September 2022. (FOTO: EURACTIV.com)

1. Ribuan berarak protes acara perarakan gay di Belgrade

BELGRADESerbia: Beribu-ribu aktivis agama berarak di ibu negara Serbia menggesa pihak berkuasa melarang acara perarakan gay yang dirancang bakal diadakan di negara itu menjelang minggu ini.

Kumpulan penunjuk perasaan yang berarak pada Ahad (waktu tempatan) membawa bendera Serbia bersaiz mega itu termasuk beberapa kumpulan yang turut melaungkan slogan menyokong sekutu jangka panjang Serbia, Rusia, lapor US News.

Sekumpulan penunggang motosikal yang menyokong dasar Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menghidupkan enjin kenderaan mereka itu sebagai menyokong orang ramai yang berarak ke katedral St. Sava di Belgrade 

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, berkata terdapat ancaman terhadap perarakan gay dikenali sebagai EuroPride itu, dan terpulang kepada polis sama ada ia perlu dihentikan atau tidak.

Kerajaan Serbia telah melarang perarakan gay pada masa lalu, dan beberapa acara yang berlangsung pada awal 2000an telah dicemari oleh keganasan. 

Kumpulan yang memprotes perarakan gay, Europride daripada diadakan di Belgrade, Serbia yang menyertai perarakan tunjuk perasaan pada 15 Ogos 2022. (FOTO: Balkan Insight)

Sementara, ABC News melaporkan Ketua Gereja Ortodoks Serbia, Patriarch Porfirije yang berkuasa menyokong larangan ke atas acara pengamal lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik (LGBTQ+) pan-Eropah di Belgrade mengatakan bahawa perarakan gay yang dijadualkan kembali berlangsung di negara itu bakal menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat negara itu kerana ia bertentangan dengan nilai tradisional masyarakat di situ sejak berabad-abad lamanya.

Kenyataan video khas Porfirije bersiaran di tengah-tengah perdebatan hangat di Serbia dan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung pengumuman pihak berkuasa Serbia pada 27 Ogos lalu, menurut laporan The Observer bahawa acara perarakan gay, EuroPride dari 12 hingga 18 September ini dibatalkan kerana ancaman keganasan daripada puak pelampau sayap kanan negara itu.

Kumpulan anti gay Serbia berhadapan dengan pihak polis ketika membuat perarakan tunjuk perasaan di Belgrade pada 10 Oktober 2010. (FOTO: CNN)

Pertubuhan LGBTQ+, European Pride Organisers Association (EOPA) memilih ibu negara Serbia tiga tahun lalu itu untuk menganjurkan acara perarakan gay tahunan itu, dan ia dilihat sebagai satu kejayaan besar golongan tersebut bagi negara Slavic yang secara tradisinya konservatif dan di bawah pengaruh kuat dari gereja ortodoks.

Serbia telah berjanji untuk meningkatkan hak LGBTQ+ di negara itu atas alasan agar diterima sebagai ahli dalam Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun perarakan gay yang telah diadakan di negara itu sebelum ini adalah di bawah kawalan keselamatan yang ketat sejak beberapa tahun lalu, namun perancangan untuk acara berkenaan pada tahun ini mencetuskan bantahan besar-besaran oleh kumpulan kanan pro-Rusia yang semakin lantang.

Kumpulan pembangkang dan aktivis hak asasi berkata membatalkan perarakan gay berkenaan atas ancaman pelampau puak kanan Serbia adalah satu tamparan kepada demokrasi, namun disangkal oleh Porfirije yang menegaskan sekatan dan larangan terhadap acara pengamal LGBTQ+ itu itu adalah sesuatu yang amat ‘perlu dan wajar’.

Sejarah pertentangan antara golongan gay dan anti gay di Serbia sudah lama berlangsung, khususnya apabila keganasan tercetus susulan tunjuk perasaan puak anti gay di tengah Belgrade pada 10 Oktober 2010. – HARAKAHDAILY 13/9/2022

2. Cadangan larangan hijab di sekolah cetuskan protes di Denmark 

Denmark pernah mencetuskan kontroversi apabila protes jalanan terhadap larangan memakai burqa berlangsung di Denmark pada tahun 2018. (FOTO: EPA)

COPENHAGEN: Cadangan sebuah institusi yang diasaskan oleh Parti Demokratik Sosial yang memerintah Denmark, mengesyorkan agar kerajaan Denmark memperkenalkan larangan atau sekatan pemakaian hijab di sekolah rendah Denmark telah menimbulkan protes dalam kalangan Muslim di negara itu.

Institusi berkenaan, Suruhanjaya Denmark Perjuangan Wanita yang Dilupakan telah mengemukakan cadangan tersebut melalui apa yang dikenali sebagai Cadangan 24 Ogos, selain lapan cadangan lain yang bertujuan menghalang kawalan sosial berkaitan kehormatan wanita dari latar belakang minoriti, lapor Al Jazeera.  

Cadangan lain termasuk menyediakan kursus bahasa Denmark, mempromosikan amalan keibubapaan moden dalam keluarga golongan minoriti berkenaan dan mengukuhkan pendidikan seks di sekolah rendah.

Huda Makai Asghar, pelajar berusia lima belas tahun merasakan bahawa idea larangan berhijab melanggar hak gadis Muslim sepertinya, dan adalah salah untuk memaksanya menanggalkan tudungnya ketika di sekolah.

“Saya sentiasa tahu bahawa Denmark mempunyai kebebasan beragama. Anda boleh memakai apa yang anda mahu dan percaya apa yang anda mahu,” ujarnya kepada Al Jazeera melalui perbualan telefon.

“Saya tidak boleh berbuat demikian. Ia sebahagian daripada diri saya,” tegasnya yang berkata dia bakal dipaksa menanggalkan hijabnya di sekolah jika sekatan itu berkuat kuasa. 

Warga Islam di Denmark kini mengadakan protes terhadap cadangan larangan berhijab di sekolah rendah negara itu. (FOTO: Al Jazeera)

Murid-murid gred sembilan di Kokkedal Skole, sebuah sekolah dengan hampir 800 pelajar di pinggir ibu kota Denmark, Copenhagen, telah memakai hijab semasa belajar selama dua tahun.

Sementara itu, seorang profesor bersekutu di Sekolah Pendidikan Denmark di Aarhus University, Iram Khawaja lantang menentang cadangan itu.

Penyelidikannya memfokuskan kepada cara kanak-kanak dari golongan minoriti dan etnik mengemudi masyarakat di Denmark, dan beliau adalah pengasas bersama Rangkaian Psikologi Profesional Menentang Diskriminasi.

Khawaja berkata, cadangan sekatan berhijab di sekolah rendah di Denmark tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan gadis di bawah kawalan sosial.

“Sebaliknya, sekatan itu boleh menambah masalah yang lebih besar. Gadis-gadis yang sudah tertakluk kepada kawalan sosial negatif akan mengalami tekanan yang semakin meningkat.

“Adalah bermasalah untuk menyamakan pemakaian tudung dengan kawalan sosial yang negatif. Gadis yang tidak memakai tudung juga tertakluk kepada kawalan sosial yang negatif,” ujar Kawaja. 

Cadangan melarang pelajar sekolah rendah Muslim daripada berhijab di Denmark menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk Islam di negara itu. (FOTO: Sputnik News)

Dalam pada itu, Worldakkam melaporkan, berdasarkan  laporan suruhanjaya berkenaan, penggunaan hijab dalam kalangan golongan minoriti di sekolah rendah di Denmark dikhuatiri boleh membahagikan kanak-kanak kepada dua kumpulan – ‘kita’ dan ‘mereka’.

Tinjauan itu dijalankan oleh firma penyelidikan Als Research and Epinion bagi pihak Kementerian Pendidikan Denmark. Ia berdasarkan tinjauan terhadap 1,441 pelajar dalam gred 6 hingga 8 dari 19 buah sekolah rendah dan lapan sekolah swasta, serta 22 temu bual dalam kalangan pelajar dan 17 orang guru.

Sementara menurut Khawaja, kajian pada 2018 mengenai sejauh mana kawalan sosial negatif menunjukkan bahawa segelintir murid sekolah di Denmark sebenarnya terdedah kepada kawalan sosial (8 peratus peserta tinjauan).

“Kebanyakan gadis yang memakai tudung melakukannya secara sukarela,” kata Kawaja.

Menurutnya, hanya membuat cadangan diikuti dengan perbincangan boleh membawa kesan negatif.

“Sudah tentu ada akibat jika sekatan berhijab itu dilaksanakan, tetapi saya percaya sudah ada akibat negatif sekarang ini. Ia sudah distigma, dipersoalkan dan menimbulkan keraguan terhadap kumpulan etnik besar.

“Niatnya baik, tetapi ia akan menstigma dan melumpuhkan mereka yang anda cuba bantu (golongan minoriti),” katanya. 

Golongan wanita Muslim warga Denmark kian dihimpit tekanan dan diskriminasi akibat larangan untuk menutup aurat sebagaimana dituntut agama suci Islam. (FOTO: AL JAZEERA)

Pengetua sekolah rendah Jutland Tilst Skole, Lone Jørgensen, yang mempunyai kira-kira 700 murid, juga tidak menyokong larangan yang disyorkan itu.

“Larangan ini akan mewujudkan undang-undang antara kanak-kanak dan ibu bapa mereka, dan kanak-kanak akan terperangkap di antara mereka,” kata Jorgensen kepada Al Jazeera.

“Tugas saya adalah untuk menguruskan sekolah yang baik untuk semua, yang mana terdapat ruang untuk semua orang dan mereka mempunyai nilai yang sama,” katanya. 

Pada 26 Ogos lalu, beribu-ribu orang telah turun ke jalan-jalan di Copenhagen untuk membantah larangan hijab yang dicadangkan itu.

Menurut akhbar Denmark, Albejderen dan B.T., beribu-ribu orang telah turun ke jalan raya membantah larangan tersebut. 

Lamia Ibnsain, 37, seorang bidan dan aktivis, menganjurkan acara khusus dengan tema, ‘Jangan tarik hijab kami’.

“Kami menyedari bahawa suara kami tidak kelihatan dalam masyarakat. Hasrat asal demonstrasi adalah untuk keluar ke jalan raya dan membuatkan suara kami didengari,” katanya kepada Al Jazeera.

Ibnhsain menegaskan, dia dihimpit kegusaran berikutan sekatan berhijab yang dicadangkan itu.

Sebagai seorang ibu, dia berasa bimbang sekatan berhijab itu akan meningkatkan bilangan kanak-kanak perempuan yang berasa ‘salah’ berbanding gadis lain.

“Wanita Islam berhijab ada di mana-mana dalam masyarakat di Denmark. Mereka termasuk doktor, ahli psikologi, pemandu bas, selebriti. Mereka adalah sebahagian daripada Denmark,” katanya. ibu kepada dua anak perempuan berusia 8 dan 16 tahun itu.

Ibnhsain yang mempunyai dua anak perempuan, masing-masing berusia 16 tahun dan 8 tahun itu menjelaskan betapa sukarnya untuk berbincang dengan kedua-dua anaknya itu tentang kemungkinan larangan berhijab di sekolah rendah di Denmark.

Anak perempuan sulungnya itu kini berhijab, manakala yang bongsu kadang-kadang sahaja mengenakan tudung.

“Anak-anak perempuan saya memakai tudung dengan penuh gembira dan rela hati. Tudung adalah soal hati dan tidak boleh dibawa ke dalam perdebatan politik,” katanya. Ia melanggar hak asasi anak perempuan kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Berarak protes gay di Belgrade & hijab di Denmark. Al-hamdulillah akan ada golongan penegak keadilan dan kebenaran di mana-mana.

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails