Sunday, July 03, 2022

Tubuh MPN, bangkit isu TPM, Najib bantah..

 


1.  Tubuh MPN bukan kepentingan politik

TANAH MERAH: Pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukan untuk kepentingan individu atau mana-mana parti sebaliknya ia ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyumbang idea dan saranan dalam membantu memulihkan negara demi kelangsungan hidup rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang keputusan perlu diserahkan kepada rakyat untuk menilai sama ada gagal atau tidak meskipun ada pelbagai dakwaan pihak tertentu tentang perkara itu.

Justeru katanya, keberadaan beliau dalam MPN bukan hanya untuk menyumbang idea dalam membantu kerajaan khususnya demi menstabilkan keadaan ekonomi dan kesihatan negara.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang bila orang politik buat kenyataan ada muslihat politik. Saya tidak mahu kata apa, itu terserah..

“Saya berada disini bukan sahaja untuk bantu kerajaan tetapi saya mengambil pendirian bahawa apa keputusan yang kita nak usulkan kepada kerajaan tidak semestinya mengikut dasar kerajaan sedia ada.

“Jika ada perkara baru tidak disenaraikan yang penting untuk dilakukan, sebagai contoh pembukaan sempadan, jadi apa diputuskan oleh MPN, seboleh-bolehnya seawal Januari, tetapi kerajaan tangguh sehinggan Jun. Kenapa kita nak segera?, ini kerana kalau tangguh ekonomi tidak akan pulih dalam tempoh yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terserah kepada mana-mana pihak mendakwa ia gagal atau sebaliknya, namun perlu diingati MPN merupakan sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan bertujuan memberi nasihat.

“Nak kata gagal atau tidak itu terserah kepada kerajaan, mungkin cadangan kita baik tapi kesannya tidak baik. Tapi saya faham proses pemulihan ini tidak mudah.

“Dato’ Seri Zahid Hamidi senang cakap gagal, macam dahulu dia kata kerajaan gagal tapi tak gagal. Apa pun yang cakap gagal itu adalah orang politik bukan rakyat. Tapi kalau rakyat bagitahu Muhyiddin berhenti, saya akan berhenti“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zahid mengatakan penubuhan MPN sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

2. Muhyiddin bangkit isu TPM ketika jumpa PM 

TANAH MERAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membincang beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Katanya selain itu pertemuan tersebut mempertimbangkan apa yang terkandung dalam perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.

“Beberapa hari lalu sata berjumpa dengan Perdana Menteri dan melalui pertemuan itu saya juga mencadangkan beberapa perkara penting termasuk mengenai pelantikan dalam kerajaan bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

“Kita tidak minta lebih daripada itu tetapi hanya soal pelantikan menteri, timbalan perdana menteri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan-badan berkanun dan peruntukan kerajaan.

“Perkara yang tersenrai itu saya dah maklumkan kepada PM, saya minta seberapa segera untuk buat keputusan yang saya harapkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Zuraida Kamaruddin.

Ketika ditanya mengenai agihan kerusi, beliau yang juga presiden Bersatu berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun struktur PN di Kelantan telah lengkap.

“Setakat ini sokongan daripada ahli termasuk rakyat terhadap PN amat memberangsangkan selain kita juga telah mewujudkan jawatankuasa PN di peringkat negeri yang diputuskan oleh pimpinan pusat.

“Kelantan sebuah negeri yang sejak dahulu lagi di bawah pimpinan PAS, jadi saya yakin, dengan kerjasama ini termasuk Bersatu masa depan Kelantan akan lebih cerah,” katanya.

Selain itu beliau turut mengulas mengenai segi logo katanya, semua bersetuju menggunakan logo PN. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

3. 'Tak perlu layan tuntutan Muhyiddin' 

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa tidak melayan tuntutan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menuntut lantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan tuntutan Muhyiddin itu bukan keutamaan ketika ini memandangkan pentadbiran semasa hanya boleh bertahan maksimum setahun lagi, sebelum ia perlu dibubarkan.

Sebaliknya, Najib menggesa kerajaan memberi fokus sepenuhnya pada usaha memulihkan ekonomi dan mengawal inflasi, berbanding mendahulukan pengagihan jawatan politik dan penubuhan majlis.

"Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis dan jawatankuasa?

"Saya faham kenapa dia (Muhyiddin) terdesak sehingga tahap ini. (Jawatan) dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin BERSATU lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini.

"Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis ditubuhkan," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu, khususnya Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan kepada PN.

Selain itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, menggesa Majlis Pemulihan Negeri segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bersepadu membabitkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri.

Pengerusi PN itu memaklumkan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu sudah diusulkan kepada kerajaan dan mendakwa ia dipersetujui Ismail Sabri. (BH)


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 2




PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails