Friday, July 08, 2022

Bakal haji terkandas di KLIA & Kuliah Korban dalam talian ..

 

Seramai 380 orang bakal jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas ditipu oleh sebuah agensi pelancongan.

1. 380 bakal haji terkandas di KLIA

SEPANG: Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak pagi tadi dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan berkenaan meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA hari ini kerana penerbangan dijangka berlepas pada jam 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan ditangguh ke jam 7 malam.

"Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira jam 6 petang tadi dan sehingga saat ini kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan," katanya.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya ke Jeddah pada Selasa lalu, namun ditangguhkan atas alasan ada dokumen yang masih tidak lengkap.

Beliau berkata, bakal jemaah juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.

Seorang lagi jemaah yang dikenali sebagai Jamilah, 59, berkata beliau reda dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan suami, sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.

"Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat pasport kami lagi kerana ia masih dipegang oleh pihak agensi pelancongan," katanya yang datang dari Terengganu dan membayar RM76,000 kepada agensi pelancongan untuk menunaikan haji bersama suaminya.

Jamilah berkata, kakitangan agensi pelancongan itu ada hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.

"Kami tidak pernah ditunjukkan tiket kapal terbang dan visa tetapi kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penipuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata pihak polis masih merakamkan keterangan daripada pengendali agensi pelancongan tersebut. – BERNAMA

2. 134 sertai Kuliah Fiqh Korban dalam talian  

LAHAD DATU: PAS Sabah berusaha memberi kefahaman tentang ibadah korban dengan mengadakan Kuliah Fiqh Korban anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS negeri secara dalam talian, semalam.

Menurut Pengerusinya, Abdul Muein Mohd Noor, kuliah itu memberi kefahaman kepada masyarakat secara jelas tentang ibadah korban sebelum mereka melakukan korban Ahad ini.

“Ibadah korban adalah perkara yang penting kerana ia melibatkan ibadah yang dituntut dalam Islam,” katanya pada program tersebut.

Kuliah disampaikan Ketua Urusan Ulama PAS Lahad Datu, Mohd Zaki Ibrahim. Program itu dikendalikan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu, Nizam Latuah. Turut hadir wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS Sabah, Isaac Wong.

Menurut Nizam, seramai 134 peserta yang terdiri daripada ahli Badan Perhubungan PAS Sabah, pimpinan PAS Negeri, pimpinan PAS kawasan, ahli menyertai program tersebut. Kuliah dijalankan hampir dua jam.

Peserta turut berpeluang bersoal jawab dan berkongsi pengalaman secara dalam talian. – HARAKAHDAILY 7/7/2022


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 201

1 comment:

Anonymous said...

Mai pakat pakat sokong pas. Nanti pas boleh mendidik tidak menggunakan penipuan untuk mencari nafkah hidup. Nanti pas boleh didik nafkah halal yg disenangi semua pihak.

Kalau womeniser boleh ke mahkamah kerana tipu duit, macam nak didik rakyat supaya jujur. Kalau ada kes rasuah trowong, macam mana nak didik rakyat jangan rasuah.

Mai sokong pas.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails