Wednesday, July 06, 2022

Lagi Haji: Dilarang letak 'VIP', suhu 42- 44 darjah Celsius, terbesar & Indo..

 

Gambar fail menunjukkan Masjidil Haram dan Menara Makkah. - Foto AGENSI

1. Syarikat khidmat haji dilarang letak 'VIP' pada bas jemaah

MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan arahan supaya syarikat perkhidmatan haji tempatan tidak meletak pelekat 'VIP' (Orang Penting atau Kenamaan) pada bas yang digunakan bagi membawa jemaah.

Ia juga mengarahkan kapasiti setiap bas tidak melebihi jumlah jemaah yang diperuntukkan, dan perlu ada sebuah bas rizab bagi setiap 500 jemaah.

Arahan itu terkandung dalam manual prosedur kawal selia yang dikeluarkan kementerian itu kepada syarikat dan pertubuhan tempatan yang menyediakan khidmat haji tahun ini, lapor media Saudi Gazette.

Penyedia perkhidmatan juga seharusnya mendapatkan permit bagi kemasukan bas berlesen ke Tanah Suci.

Bas itu dikehendaki menjalani pemeriksaan berkala. Menyewa bas dari luar Arab Saudi tidak dibenarkan sama sekali dalam apa jua keadaan.

Bas itu juga tidak boleh digunakan bagi pengangkutan domestik penumpang antara bandar atau dalam kawasan Tanah Suci, selain daripada pengangkutan jemaah yang sudah ditetapkan.

Kementerian itu menarik perhatian bahawa semua bas lama dengan kadar pelepasan ekzos tinggi akan disita di pintu masuk ke Makkah.

Polis trafik akan mengesahkan, melalui peranti mudah alih, nisbah pelepasan ekzos bas berkenaan dan berdasarkan itu, kenderaan akan disita atau didenda bagi pelanggaran yang dilakukan.

Bagi bas yang terletak di dalam kota Makkah, ia akan disimpan di satu lokasi dan tidak dibenarkan bergerak keluar bagi mengelak ia menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

Arahan dalam manual itu juga termasuk mengenal pasti jemaah haji tempatan, yang akan dibawa oleh bas berlesen, dan menulis nama mereka dalam penyata pengangkutan yang mengandungi data peribadi jemaah, serta nombor permit haji, nama syarikat yang menyediakan perkhidmatan dan nombor lesennya.

Ini demi memastikan jemaah dan bas berkenaan sahih dan dibenar menunaikan haji tahun ini.

Sekitar sejuta orang, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini - rukun Islam kelima yang wajib dilakukan semua umat Islam berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Musim haji kembali seperti biasa selepas dua tahun bilangan jemaah dikurangkan akibat pandemik COVID-19.

Sehingga Ahad lalu, sekurang-kurangnya 650,000 jemaah haji luar negara tiba di Arab Saudi, kata pihak berkuasa.

Pada 2019, sebelum COVID-19 bermula, sekitar 2.5 juta orang menunaikan ibadah haji setiap tahun, termasuk tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, berkumpul di Padang Arafah dan melontar jamrah di Mina.

Pada tahun berikutnya, rakyat asing dilarang dan jemaah haji tempatan dihadkan kepada hanya 10,000 orang akibat ancaman coronavirus.

Tahun lalu, bilangan itu meningkat kepada 60,000 rakyat dan warga asing yang menetap di Arab Saudi yang sudah divaksin sepenuhnya.

Pelitup tidak lagi diwajibkan di kebanyakan ruang tertutup di Arab Saudi, tetapi ia diwajibkan di Masjidil Haram.

Jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan hasil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) negatif. - AGENSI

2. Suhu siang hari Tanah Suci boleh cecah 42- 44 darjah Celsius semasa haji 

Jemaah haji di Gunung Arafah, juiga dikenali sebagai Jabal al-Rahma di tenggara kota suci Makkah. - Foto AFP

RIYADH: Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi sudah mengeluarkan laporan bahawa suhu maksimum di Tanah Suci semasa musim haji tahun ini dijangka mencecah antara 42-44 darjah Celsius pada siang hari.

NCM menyatakan beberapa kawasan di situ juga boleh menyaksikan kegiatan angin agak kencang pada waktu siang.

Ini sebagai tambahan pada hakikat bahawa kadar habuk juga mungkin meningkat, dengan kelajuan gerakannya sehingga 35 kilometer sejam (km/j), terutama di kawasan terbuka dan lebuh raya.

Selain itu, ada kemungkinan ribut petir terbentuk di kawasan tinggi di wilayah selatan bandar Makkah semasa tempoh haji kali ini, yang boleh menjejas kawasan Tanah Suci dengan angin berdebu, kata NCM.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pasukan Keselamatan Awam dan Komander Pasukan Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Muhammad Al-Bassami, menegaskan tiada ruang bagi slogan politik di Tanah Suci semasa musim haji.

"Kementerian Dalam Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku, apa saja yang menjejas keselamatan dan aspek keselamatan jemaah haji," katanya dalam satu sidang media kelmarin, selepas meninjau persiapan pasukan keselamatan haji bagi musim haji kali ini.

Ketika ditanya mengenai peranan wanita dalam operasi keselamatan haji, Jeneral Al-Bassami berkata: "Fasa klasifikasi antara lelaki dengan wanita kini berakhir kerana integrasi lengkap sudah berlaku".

Beliau melahirkan rasa bangga akan peranan yang dimainkan wanita dalam sektor keselamatan.

Jeneral Al-Bassami mengisytiharkan kesediaan semua sektor keselamatan dan ketenteraan memberi perkhidmatan terbaik semasa musim haji.

"Semua rancangan disediakan bagi ibadah haji yang selamat dan tanpa kerumitan," katanya.

Pada sidang media sama, komander Angkatan Jawazat (pihak berkuasa pasport) Haji, Mejar Jeneral Saleh Al-Murabba, mengumumkan selesainya fasa ketibaan jemaah dari luar Arab Saudi melalui lapangan terbang, pelabuhan dan pintu masuk darat. - AGENSI

3. Penyakit kaki dan mulut ancam sambutan Aidiladha di Indonesia 

Pegawai Keselamatan Makanan Pertanian dan Marin memeriksa lembu di sebuah pusat jualan bagi memastikan ia bebas penyakit kaki dan mulut (FMD), di Tanjung Priok, Jakarta Utara, Indonesia. - Foto REUTERS

JAKARTA: Penularan penyakit kaki dan mulut (FMD) di Indonesia berisiko menjejaskan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini, dengan peniaga haiwan ternakan merekodkan kadar jualan rendah ketika ini.

Aidiladha adalah sambutan utama dalam kalendar Islam pada 9 Julai tahun ini, yang saban tahun menyaksikan kandang sementara dibina di seluruh Indonesia bagi menampung peningkatan jual beli haiwan korban terutama lembu dan kambing.

Ibadah korban ketika Aidiladha memerlukan penganut agama Islam menyembelih haiwan dan menyumbang dagingnya kepada golongan miskin.

Namun, penularan FMD tahun ini, penyakit berjangkit membabitkan lembu, kambing, dan biri-biri, memberi kesan besar pada jualan haiwan berkenaan.

Seorang peniaga di Jawa Barat, Jamal Lulay, menyifatkan tahun ini sebagai merugikan buat kumpulan peniaga, selepas hanya dapat menjual 50 ekor lembu tahun ini.

"Sebelum COVID-19, kami dapat jual sehingga 330 lembu, dan ketika COVID-19, jumlah yang dijual sekitar 170. Tahun ini, jumlah jualan turun mendadak," katanya.

Sebelum ini, Indonesia melancarkan program vaksinasi haiwan ternakan di seluruh negara itu dalam usaha mengekang penularan wabak yang bermula pada Mei lalu itu.

Data kerajaan Indonesia menunjukkan 317,000 haiwan sudah dijangkiti di 21 wilayah, sebahagian besarnya di Jawa dan Sumatera, dengan 3,400 haiwan berpenyakit sudah dibunuh.

Meskipun penyakit itu berbahaya kepada haiwan, ia secara amnya dianggap bukan ancaman pada manusia.

Setakat Mei lalu, Indonesia bebas daripada wabak FMD sejak 1986, status yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia pada 1990. - REUTERS

4. Ibadah haji terbesar era COVID-19 bermula 

Semakin ramai jemaah haji mula tiba di Masjidil Haram di bandar suci Makkah, Arab Saudi. - Foto AFP

MAKKAH: Pelaksanaan ibadah haji terbesar sejak penularan pandemik COVID-19, bermula hari ini dengan ratusan ribu jemaah yang kebanyakannya tidak berpelitup muka, dijangka mengelilingi Makkah.

Seramai sejuta penganut Islam yang lengkap divaksin, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini, berbanding sekatan jumlah individu yang dibenarkan untuk dua tahun lalu.

Di Masjid al-Haram, Makkah, jemaah akan melaksanakan tawaf mengelilingi Kaabah yang menjadi kiblat bagi umat Islam ketika menunaikan solat.

Haji tahun ini adalah yang terbesar berbanding pada 2020 dan 2021, namun jumlah jemaah masih kecil jika dibandingkan musim haji sebelum COVID-19 melanda.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah tahunan itu, yang mewajibkan individu berkemampuan untuk melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Namun, penularan COVID-19 menyebabkan jumlah itu dikurangkan kepada hanya 60,000 penduduk Arab Saudi yang lengkap divaksin pada tahun lalu, serta hanya beberapa ribu pada 2020.

Ibadah haji tahun ini dihadkan kepada individu yang lengkap divaksin, berusia bawah 65 tahun, yang dipilih daripada jutaan pemohon lain menerusi sistem dalam talian.

Bakal haji yang tiba dari luar Arab Saudi diwajibkan menyerahkan hasil negatif bagi keputusan ujian PCR COVID-19, yang diambil dalam tempoh 72 jam sebelum perjalanan.

Mereka yang ditangkap menunaikan haji tanpa permit pula akan dikenakan denda 10,000 riyal (RM12,000).

Polis di sekitar bandar itu mewujudkan beberapa lokasi saringan serta melaksanakan pemantauan sambil memegang payung hijau bagi melindungi diri mereka daripada terik matahari.

Arab Saudi kini membenarkan jemaah wanita untuk menunaikan haji tanpa ditemani saudara lelaki. - AFP

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails