Friday, July 08, 2022

Lantik TPM, apa kata Presiden PAS? & Perutuan Aidiladha.

 


1. Presiden tegaskan pendirian PAS mengenai isu semasa.

KUALA LUMPUR: PAS berpendirian bahawa pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak perlu diadakan pada masa ini sebaliknya kerajaan mesti memfokuskan penyelesaian masalah-masalah rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian ketika ditanya media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, Marang pada tengah hari tadi.

“Kita masih lagi berpegang kepada awal-awal kita tubuh kerajaan, tak ada TPM. Masih lagi (dipegang keputusan itu). Perbincangan ada, tapi tak ada keputusan kerana kita masih lagi sibuk dengan urusan-urusan rakyat.

“Kita masih lagi selesaikan masalah rakyat, kita kekal tak ada TPM,” ujar beliau kepada pertanyaan media terhadap permintaan pihak BERSATU untuk pihak kerajaan mengadakan pelantikan tersebut.

Wakil Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu turut menjawab pertanyaan media berkenaan PRU15 di mana PAS jelas beliau, berpendirian ia hanya dilaksanakan setelah tamat penggal PRU14 yang akan sampai tempoh akhirnya pada Julai 2023 nanti.

“Itu saya difahamkan lihat suasana ekonomi. Suasana ekonomi dunia, bukan ekonomi Malaysia saja, ekonomi dunia. Sehingga hari ini kita masih berpegang kepada habis tempoh. 

“Tetapi (jika) keadaan terdesak, boleh buat bila-bila masa. (Tetapi) Bila-bila masapun, (kena adakan) lepas bajetlah, bajet nak bentang, bentang bajet dulu,” cadang beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ditanya mengenai penggunaan logo oleh PAS dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15, beliau memaklumkan sememangnya dihasratkan penggunaan satu bendera bersama termasuk penggunaan bendera sendiri, tetapi ia masih dalam perbincangan.

Menyentuh usaha kerajaan menangani masalah rakyat khususnya isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, beliau mengakui peruntukan subsidi hampir RM9 bilion sememangnya jumlah besar di mana tidak dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Jumlah yang banyak, jumlah yang banyak. Apa yang tak dibuat oleh PH. PH terbantut masa PH, dan bila kita ambil alih, kita laksanakan dan perbetulkan perjalanan itu. Subsidi dah ada, cuma kita perbetulkan. 

“Dulu ada berlaku salah laku, subsidi diberi mengikut pilihan-pilihan mengikut sokongan-sokongan politik. Itu perlu diubahlah. Kita ubah kepada rakyat yang perlu dapat bantuan tanpa mengira sokongan parti politik dia, kerana semua rakyat kita belaka,” ujar beliau.

Beliau turut menyanggah pihak yang mengheret himpunan berkenaan isu itu di mana tempelaknya desakan tidak perlu diadakan kerana pemberian subsidi itu sudahpun dilaksanakan oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

2. Penyatuan ummah mampu jamin kestabilan politik 

RASULULLAH SAW bersabda:

‎مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)

Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada sebuah pengorbanan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S.

Penghayatan bagi ibadah haji melalui Hari Wukuf di Arafah serta Mabit perlu dilihat dan dihayati dengan lebih mendalam dan meluas supaya hikmahnya dapat diterokai sebagai panduan bagi perjuangan dan kesatuan umat Islam.

Perpaduan dan kesatuan ummah mestilah meletakkan agenda Islam sebagai keutamaan yang dipaksikan dengan akidah keimanan. Penyatuan ummah akan membawa kesatuan umat Islam tanah air sekaligus menjamin kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Perjuangan untuk membawa kebenaran sering akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan. Namun kejayaan Nabi Ibrahim A.S ialah sikap bertawakal kepada Allah SWT yang amat tinggi. Kekuatan pegangan akidah yang tidak berbelah bagi dan menyerahkan segala urusan kehidupan kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

Sempena Hari Wukuf dan Aidiladha ini marilah kita sama-sama mendoakan semoga para jemaah haji dari seluruh dunia diberikan kesihatan dan keselamatan dan dianugerahkan dengan haji mabrur yang tiada balasan kecuali syurga.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena Hari Arafah 9 Zulhijjah.

“Merakyat Membangun Bersama Islam”
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
8 Zulhijjah 1443H/ 8 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 8/7/2022

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3

Dikir Marilah Undi Bule


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Jom pakat pakat sokong pas. Dulu projek udang kedah ranap bawah kerajaan atok di pusat. Tergadai tanah orang melayu kedah. La ni projek musang king bawah boboy anak atok kerala. Kesan jangka panjang berlaku sekarang. Nyawa melayang.

Sanggup boboy buat macam tu pada rakyat marhaen. Nyawa rakyat tiada harga banding musang king. Haloba atok menurun ke boboy.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails