Friday, July 22, 2022

DAP 'politik' lagi - nasihat CUEPACS. Curi 2 paket Milo,14 bulan penjara?

 

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (enam kiri) bergambar bersama penjawat awam pada Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

1. Usah politikkan perkhidmatan awam, nasihat CUEPACS kepada Teresa

KUALA LUMPUR: CUEPACS membidas tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang cuba mempolitikkan perkhidmatan awam apabila menyentuh komposisi kaum dalam saiz perkhidmatan awam.

Presiden, Datuk Adnan Mat, berkata tuduhan mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam itu adalah satu tuduhan berat dan tidak berasas.

Katanya, perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.

"CUEPACS ingin menegaskan pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). 

"SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menjawab dakwaan Teresa yang menyatakan pelantikan dalam perkhidmatan awam tidak seimbang mengikut kaum.

Teresa dilaporkan berkata, perkhidmatan awam kini didominasi oleh orang Melayu sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baharu pada 1970 dan faktor bangsa tidak harus menjadi penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.

Beliau dilaporkan berkata, perlu ada kemahuan politik daripada kerajaan untuk menarik lebih ramai bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam.

Adnan berkata, penyertaan dalam perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu.

Katanya, permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama.

"Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

"Sambutan daripada kaum bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta atau berniaga," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sebelum ini ramai yang tidak berminat menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain.

"Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

"Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan menjauhkan politik dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

"Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat," katanya.

Beliau menjelaskan kenyataan Teresa mengenai struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya yang menghalang bukan Bumiputera menyertai perkhidmatan awam adalah tidak tepat.

Ini kerana katanya perkara itu membabitkan semua warga perkhidmatan awam tanpa mengira bangsa.

"Bahkan jika dilihat rekod perkhidmatan 'YB Seputeh' ketika berada dalam kerajaan sebelum ini pun tiada usaha daripada beliau untuk 'menasihati' kerajaan bagi mengangkat profesion dalam sektor perkhidmatan awam ke suatu tahap yang sewajarnya.

"Malah, ramai penjawat awam yang menerima tekanan, ugutan serta ditamatkan kontrak perkhidmatan dan ada rakan YB Seputeh yang mendesak kerajaan mengurangkan bilangan penjawat awam sambil menyifatkan kami semua sebagai bebanan kepada kerajaan," katanya.

Justeru itu, CUEPACS ingin menasihatkan semua pihak terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

"Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep neutral dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan," katanya.


2. Hukuman penjara wanita curi Milo diketepikan 

Tertuduh Suhaini Mohd yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 bulan kerana mencuri dua paket minuman coklat dituduh semula di Mahkamah Majistret Marang - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan sabitan hukuman penjara 14 bulan terhadap seorang wanita yang mengaku salah mencuri dua paket minuman perisa coklat di sebuah pasar raya di Marang.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memanggil kedua-dua pihak, pembela dan pendakwa untuk semakan bagi kes tertuduh, Suhaini Mohd, 43, sebelum memutuskan sabitan di bawah kes berkenaan diketepikan dan disebut semula di Mahkamah Majistret Marang hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan peguam tertuduh, Datuk Naran Singh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, Suhaini mengaku tidak bersalah mencuri dua paket minuman coklat itu di sebuah pasar raya di Marang jam 11.20 pagi pada 25 Mei lalu. 

Tertuduh yang didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menetapkan 6 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000.

Selain itu, Engku Nurul Ain turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara bagi dua pertuduhan penyalahgunaan dadah selepas mendengar permohonan peguam kepada Suhaini sehingga rayuan selesai.

Bagi dua pertuduhan penyalahgunaan dadah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sepanjang prosiding berlangsung dan tidak melakukan sebarang jenayah sepanjang tempoh jaminan.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 14 bulan di Mahkamah Majistret Marang selepas mengaku bersalah mencuri dua paket coklat di sebuah pasar raya di Marang.

(BH)


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails