Tuesday, November 02, 2021

Kerajaan bakal tubuh Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kini dalam proses menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK).

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata penubuhan jabatan itu yang bertujuan memelihara kebajikan kanak-kanak dilakukan secara tiga fasa, iaitu mengukuhkan Bahagian Kanak-Kanak (BKK), penstrukturan semula dan penubuhan JPKK.

“Kita telah mengadakan beberapa bengkel dengan mencadangkan tiga fasa penubuhan JPKK, iaitu pertama pengukuhan BKK melibatkan pemusatan fungsi berkaitan kanak-kanak secara dalaman di JKM.

“Kedua, penstrukturan semula BKK dengan penggabungan beberapa bahagian bagi tujuan pemusatan fungsi dan pertambahan fungsi berkaitan kanak-kanak,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Sri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini usaha mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan menjadi badan bebas dan memiliki kuasa khusus bagi melindungi hak serta kebajikan kanak-kanak.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, cadangan tersebut melibatkan menaik taraf gred Pengarah BKK dan juga pelantikan beberapa tambahan pegawai.

Katanya, fasa ketiga pula adalah penubuhan JPKK sebagai agensi baru yang melibatkan pindaan akta berkaitan bagi tujuan pemusatan fungsi berkaitan kanak-kanak dari kementerian dan jabatan sedia ada.

“Proses ini memerlukan masa kerana melibatkan beberapa jabatan dan agensi lain dengan mengadakan pelbagai perbincangan bagi penubuhan jabatan baharu itu.

Sehubungan itu, katanya usaha mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak merupakan ketetapan dasar di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri supaya tidak bertindih dengan fungsi sedia ada Suhakam.

“Berdasarkan maklum balas BHEUU, ketetapan dasar ini perlu mengambil kira keberkesanan fungsi Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang telah diwujudkan untuk satu penggal serta kemampuan kewangan kerajaan ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/21

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails