Wednesday, November 03, 2021

Agenda Keluarga Malaysia perlu berpaksikan Islam

 

KOTA BHARU: Agenda Keluarga Malaysia yang dicetus Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu berpaksikan kepada Islam selaras sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh, berkata konsep itu wajar disemai dengan nilai-nilai Islam di dalamnya.

Katanya, apabila Islam diletak sebagai tonggak asas, konsep dan pelaksanaannya, ia mampu bagi menjamin kesejahteraan kepada negara.

Selain itu, katanya ia memberi manfaat kepada ibu, isteri dan anak-anak perempuan termasuk golongan rentan.

“Dewan Muslimat menyambut baik konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri. Kami menyokong penuh pelaksanaan konsep tersebut,” katanya pada ucaptama sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia secara dalam talian hari ini.

Ketika ucapan sulung selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia yang merentasi kaum, agama dan ideologi politik demi kesejahteraan hidup rakyat.

Oleh itu, Nuridah mencadangkan usaha yang lebih agresif dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bagi mengekang aplikasi media yang mempunyai unsur pedofelia, seksual, iklan yang mendedahkan aurat, arak, judi dan pelacuran.

Menurutnya, budaya negatif itu tanpa sedar merosakkan Keluarga Malaysia.

Beliau juga berkata, Dewan Muslimat merancang mewujudkan satu aliran sistem pendidikan untuk golongan perempuan, ibu dan isteri, ke arah menjadi insan yang dalam ilmu dan kuat imannya.

“Pelan pembangunan sekolah Gagasan Pendidikan Saidatina Aisyah bermula daripada madrasah sehingga ke peringkat Universiti.

“Ia bertujuan untuk melahirkan puteri yang berjiwa islami, guru yang cekap, aktif, serta bertanggungjawab dan muslimah yang cinta tanah air atas dasar pengabdian kepada Allah SWT.

“Justeru, saya meminta agar kita semua menyokong usaha ini sama ada dari sudut kewangan dan tenaga bagi menjayakan idea ini apabila kita lancarkan kelak,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Dewan Muslimat PAS mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan keanggotaan wanita muda terus dipertingkatkan dalam Dewan Muslimat PAS.

Kata beliau, status keahlian muslimat muda sebagai ahli dewan terus dikekalkan dalam Dewan Muslimat PAS.

Nuridah turut mencadangkan Muslimat Muda menempatkan diri dalam semua peringkat organisasi Dewan Muslimat dengan sepenuh hati, ikhlas dan tanpa ragu-ragu.

“Jejaki sejarah pengorbanan sahabiah Asma’ Abi Bakar. Muslimat Muda boleh meneroka peluang dan ruang untuk bersinergi bersama kekanda dan bonda di dalam Dewan Muslimat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/10/21

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails