Sunday, March 21, 2021

Wisma Putra selari dengan prinsip kedaulatan negara -Pemuda PAS/PN

 

Korea Utara: Pemuda PAS sokong ketegasan Wisma Putra

DEWAN Pemuda PAS Malaysia berdiri teguh menyokong ketegasan pendirian Wisma Putra dalam kes terkini dengan Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara). 

Langkah Wisma Putra ini benar-benar selari dengan prinsip kedaulatan negara serta kedaulatan undang-undang kita susulan keputusan mahkamah Malaysia untuk mengekstradisi seorang warga Korea Utara ke Amerika Syarikat.

Secara faktanya, mahkamah kita telah membuat keputusan berdasarkan bukti bahawa warga Korea Utara yang menjadi fokus kes ini iaitu Mun Chol Myong sememangnya menyeludup barangan mewah larangan dari Singapura ke Korea Utara serta terlibat dengan penggubahan wang haram yang melanggar sekatan PBB.

Seperti mana kenyataan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pemuda PAS turut sama berasa kesal dengan keputusan Republik Demokratik Rakyat Korea untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Keputusan unilateral sebegini sememangnya tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik sesama anggota masyarakat Antarabangsa.

Kepimpinan Korea Utara jelas tidak menghargai fakta bahawa Malaysia ialah antara negara terawal yang mengiktiraf kewujudan DPRK sebagai sebuah negara berdaulat sejak tahun 1973 lagi.

Malah, tindakan tergesa-gesa Pyongyang ini membuktikan bahawa mereka tidak menghargai pendekatan diplomatik Malaysia sejak sekian lama, antaranya seperti dalam kes pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara pada 2017 di KLIA iaitu Kim Jong Nam. 

Di sebalik segala kritikan dan tindak-tanduk Korea Utara kepada Malaysia pada 2017 itu, kita masih membenarkan mereka untuk mengekalkan kedutaan di negara kita hinggalah ke semalam (19 Mac 2021).

Maka, sesungguhnya Pemuda PAS menyokong penuh keputusan tegas yang diambil Wisma Putra untuk menghalau keluar staf diplomatik Korea Utara serta ahli keluarga mereka dari Malaysia dalam tempoh 48 jam sebagai tindak balas sebuah negara yang berdaulat.

Dewan Pemuda PAS juga dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja Wisma Putra yang berdepan dengan peristiwa sebegini dalam keadaan pandemik COVID-19 masih mencabar. 

Semoga Allah peliharakan warga Wisma Putra dan negara kita yang tercinta ini.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia 
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 20/3/2021

Korea Utara Putuskan Hubungan dengan Malaysia

Korea Utara Putuskan Hubungan dengan Malaysia


1 comment:

Anonymous said...

Sebuah keputusan yang sangat TEPAT dan sangat DIALU-ALUKAN!

Negara ini bukanlah tempat untuk mereka melakukan PEMBUNUHAN!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails