Tuesday, January 05, 2021

Tender terbuka,jika projek ini diteruskan dengan model baharu kelak.. -Menteri JPM (Ekonomi).

 

HSR: kos bayaran pampasan lebih rendah kepada Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin kos pampasan yang perlu dibayar berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah yang dinyatakan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ini kerana jumlah S$270 juta (RM821 juta) yang dinyatakan menteri terbabit merangkumi beberapa komponen antaranya konsultan, tenaga kerja dan lain-lain kos.

"Menteri Pengangkutan Singapura menyatakan pampasan itu tidak termasuk kos tanah kerana kita difahamkan kerajaan Singapura ada membeli beberapa bidang tanah untuk melaksanakan projek ini.

"Oleh itu, kita yakin jumlah pampasannya (bayaran kepada pembatalan HSR kepada Singapura) adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah S$270 juta yang dinyatakan itu," katanya dalam program temubual yang disiarkan secara langsung malam ini.

Mustapa turut menegaskan, kerajaan buat masa ini tidak boleh mendedahkan jumlah pampasan yang akan dibayar kepada Singapura kerana terikat dengan klausa kerahsiaan.

Malah, beliau berkata, jumlah pampasan yang perlu dibayar Malaysia masih belum dimuktamadkan.

"Kita ada perjanjian menjaga kerahsian, maknanya (jumlah pampasan) tidak boleh didedahkan dan itu sebabnya banyak tekanan kepada saya dan kerajaan supaya mendedahkannya.

"Sudah pasti akan didedahkan nanti cuma buat masa ini tidak wajar didedahkan kecuali dengan persetujuan kedua-dua pihak.

"Apa yang penting (jumlah pampasan perlu dibayar) masih belum dirunding. Jadi adalah tidak wajar bagi kerajaan mengumumkan satu angka yang belum muktamad dan jadi saya harap rakyat faham perkara ini," katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan sebaik sahaja nilai pampasan itu dimuktamadkan, kerajaan akan mengumumkan perkara itu kerana ia membabitkan wang rakyat.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan masih berminat melaksanakan projek terbabit namun kaedah serta model projek berkenaan perlu dikaji semula.

"Tidak dinafikan projek ini akan memberi limpahan ekonomi kepada negara sama seperti pelaksanaan Projek Lebuh Raya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) suatu ketika dahulu.

"Itu sebabnya kita masih berminat melaksanakan projek ini cuma model, cara dan kaedahnya yang kita rasa perlu dilihat semula disebabkan keadaan COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

"Kerajaan juga memberi jaminan jika projek ini diteruskan dengan model baharu kelak, ia akan dibuat secara tender terbuka," katanya.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung, pada sesi Parlimen hari ini, memaklumkan jumlah pampasan pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan merangkumi pelbagai kos, tetapi tidak membabitkan kos pembelian tanah.

Beliau berkata, Singapura sudah membelanjakan S$270 juta setakat ini membabitkan projek berkenaan iaitu merangkumi perkhidmatan konsultan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga buruh. (BH)


IHtv

1 comment:

Anonymous said...

Ya..kami puas hati!
Hampir rm1 bilion buat bayar pampasan ke kerajaan dap sgpore.
Mmg mantap kera jaan Pas/PN.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails