Friday, January 08, 2021

Surat Terbuka Kepada PM, Tiadakan PRU-15 Ketika Ini..

 

'Tidak wajar adakan PRU-15 ketika negara berdepan ancaman COVID-19'

KUALA LUMPUR: Seramai 46 pakar kesihatan kanan, persatuan perubatan dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika negara masih diancam pandemik COVID-19.

Gesaan itu disuarakan mereka menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri sebagai maklum balas dan cadangan yang perlu kerajaan laksanakan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak itu.

Menurut surat itu, pandemik yang sedang mengancam negara ketika ini tidak harus dipolitikkan, sebaliknya satu jaminan melalui konsensus rentas parti perlu disegerakan bagi mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

"Pelaksanaan PRU-15 ketika negara masih bergelut dengan pandemik ini akan menjurus kepada bencana yang lebih teruk sama seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini," katanya.

Mereka turut mencadangkan satu pasukan khas diwakili kumpulan pakar dalam kalangan pelbagai sektor ditubuhkan bagi melancarkan lagi gerak kerja rentas kementerian dan agensi dalam menangani COVID-19.

Pasukan khas itu berupaya membantu negara menangani isu COVID-19 dengan menyampaikan cadangan dan audit mengenai impak ekonomi serta kesihatan kepada Kabinet dengan lebih kerap.

"Penggunaan Rapid Test Kid (RTK) Antigen juga perlu diperluaskan berbanding menggunakan Polymerase Chain Reaction (PCR) bagi mengurangkan jangkitan COVID-19.

"Penggunaan awal RTK Antigen terhadap kes dalam tempoh 24 jam membolehkan tindakan pantas diambil mengasingkan pesakit dan mengesan kontak rapat.

"Pengesanan kontak rapat menggunakan aplikasi digital juga mampu mempercepatkan proses pengesanan selain memanfaatkan data sains serta mengenal pasti kawasan panas penularan bagi tujuan penyaringan," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan perlu melindungi petugas kesihatan di hospital yang mengendalikan kes COVID-19 dengan menghantar pesakit yang hanya mengalami gejala ringan atau kes bukan berkaitan COVID-19 ke hospital kerajaan atau swasta yang tidak mengendalikan pesakit wabak itu.

Jelas mereka, ini membolehkan petugas terbabit memberi lebih tumpuan kepada kes COVID-19 yang lebih kronik.

"Kerajaan perlu mempercepatkan proses imunisasi sebaik sahaja menerima dos pertama vaksin COVID-19. Selain mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko, kerajaan harus memastikan pekerja asing turut divaksin dalam melindungi sektor industri negara.

"Kos vaksin yang perlu dibayar pula tidak seharusnya melebihi RM100 setiap dos bagi individu yang mendapatkan vaksin itu daripada pihak swasta," katanya.

Selain bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman, antara pakar kesihatan yang menandatangani surat terbabit adalah Profesor Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Timbalan Naib Canselor dan Konsultan Pakar Bedah Ortopedik Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Ahmad Hata Rasit serta bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee.

Hari ini, negara mencatatkan angka harian tertinggi dengan 3,027 jangkitan baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif mencecah 128,465 jangkitan dengan 25,221 kes aktif. (BH)


IHtv

1 comment:

Anonymous said...

Untuk program mengvaksin sahaja mengambil masa yang agak lama, mungkin dalam masa tempoh 6 bulan sehingga setahun untuk cover 70-80% jumlah rakyat. Itu pun kalau berkesan, kalau wujud pula virus2 baru yang masih tiada lagi punya vaksin?

Risiko ini juga harus difikirkan?



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails