Friday, January 08, 2021

Pejuang banjir: Terkorban dirinya, kerana berkorban untuk orang lain. As-Syahid..

 

Kita hilang insan yang sangat bernilai – MP Kuala Krai

KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang anak muda yang begitu bernilai setelah pemergian Allahyarham Mohamad Hakimin Rahim, 20, baru-baru ini yang terkorban ketika membantu mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai, Kelantan.

Tragedi itu memberi suasana sedih dan pilu buat seluruh rakyat Kuala Krai terutamanya keluarga Allahyarham yang menetap di Kampung Manjor, Kuala Krai. Malah, rumah Allahyarham juga turut terkesan dengan bencana itu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, ketika menziarahi keluarga Allahyarham, keluarganya menceritakan kepada beliau mengenai keperibadian Hakimin yang mempunyai cita-cita yang mulia.

Kata mereka, Hakimin giat membantu memindahkan mangsa banjir di Kuala Krai sejak kampung itu dilandan banjir bermula pada awal pagi, setiap hari menggunakan sampannya.

Hakimin hanya mengayuh botnya menggunakan pengayuh dan tidak menggunakan bot yang mempunyai enjin.

Malah, hari kejadian tersebut, Hakimin ada memaklumkan bahawa hari tersebut adalah hari terkahir beliau ingin membantu penduduk kampung dengan memastikan semua mangsa dapat dipindahkan sepenuhnya memandangkan paras air semakin tinggi.

Bagaimanapun, setelah berjam-jam membantu memindahkan orang kampung yang terkesan, beliau terjatuh ke dalam sungai ketika membantu memindahkan rakannya.

Dalam laporan lain, Allahyarham Hakimin dikatakan terlalu penat sebelum tiba-tiba pengsan pada jam lebih kurang 10 malam ketika berdayung perahu membawa dua penumpang ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwab Ar-Rafee Parsimin berkata, mangsa dipercayai terjatuh akibat kepenatan selain mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk ketika membantu penduduk kampung sejak awal pagi hingga malam.

Mengambil kesempatan itu, Abdul Latiff mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan supaya Allahyarham Hakimin dikurniakan pahala sebesar Syahid serta ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Beliau juga turut menghulurkan sumbangan buat keluarga Allahyarham Hakimin.

“Sesungguhnya kita kehilangan seorang insan dan anak muda yang sangat bernilai,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Turut hadir dalam ziarahi bersama Ahli Parlimen Kuala Krai itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Tuan Kamarul. – HARAKAHDAILY 8/1/2021

Mohammad Hakimin insan istimewa yang dipilih Allah

DALAM misi Banjir Kuala Krai 2021 semalam, saya sempat berkunjung ke rumah Allahyarham Mohammad Hakimin Rahim 20 tahun yang meninggal ketika sedang menyelamatkan mangsa banjir. Suasana sedih dan pilu menyelebungi keluarga Hakimin. Saya sempat bertemu dengan kakak beliau di rumah bapa saudara mereka di Kampung Manjor Baru kerana ibu dan ayahnya tiada di rumah ketika kehadiran saya. Rumah mereka sendiri di Kampung Manjor turut ditenggelami air.

Menurut kakaknya, Hakimi bermula seawal pagi membantu memindahkan mangsa banjir dengan botnya. Beliau hanya mengayuh botnya menggunakan pengayuh. Allahyarham Hakimin berkata hari ini adalah hari terakhir beliau menolong orang. Beliau akan menolong semua orang kampung berpindah kerana air semakin naik dan cita-cita beliau ialah ingin berkhidmat kepada kedua ibu-bapanya sehingga akhir hayat telah tercapai.

Malamnya, semasa sedang membantu memindahkan kawannya, beliau jatuh ke dalam sungai dan tenggelam. Mayat Hakimin dijumpai pagi kelmarin berdekatan kawasan beliau jatuh. Saya doakan semoga beliau diberi kurniaan pahala sebesar syahid dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kita kehilangan seorang insan dan anak muda yang sangat bernilai. 

Turut hadir bersama saya ialah Tuan Kamarul Zaman Harun Timbalan OCPD Kuala Krai, kami menaiki bot ke rumah keluarga arwah. Saya juga mengucapkan takziah dan menghulurkan sedikit sumbangan buat keluarga beliau.

YB ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 8/1/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mohamad Hakim seorang pejuang banjir, terkorban dirinya, kerana berkorban untuk orang lain. As-Syahid.. Amin!

IHtv

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails