Thursday, January 28, 2021

Filem Tamil tanpa dialog raih trofi Zee Reel. Tahniah.

 

Pengarah muda, Nanthakumaran Rajavijayan tidak menyangka penyertaan secara ‘suka-suka’ akhirnya membawa kejayaan apabila filem pendek, Kaki Bangku menggondol hadiah utama dalam Zee Reel. - Foto Ihsan R Nanthakumaran

HALAMAN HIBURAN

KUALA LUMPUR: Biarpun tanpa dialog, buah tangan pembikin filem Tamil muda, Nanthakumaran Rajavijayan, 25, berjudul Kaki Bangku mengharumkan nama negara dengan mengungguli pertandingan filem pendek Tamil antarabangsa, Zee Reel, baru-baru ini.

Filem pendek karya penuntut ijazah sarjana komunikasi massa dari Kolej Damansara Utama (KDU) itu menewaskan lebih 100 penyertaan lain termasuk dari Singapura dalam pertandingan anjuran stesen penyiaran global, Zee Tamil Asia Pasifik.

Zee Reel dianjurkan dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Kali pertama menyertai pertandingan itu, pengarah muda berasal dari Rawang, Selangor itu amat terharu apabila karyanya menambat hati juri antarabangsa.

Nanthakumaran berkata, dia mendapat tahu mengenai Zee Reel melalui entri Facebook dan tidak menyangka penyertaan secara 'suka-suka' akhirnya membawa kejayaan.

"Saya tidak mengambil masa lama untuk tampil dengan idea filem Kaki Bangku. Idea serta jalan filem itu terhasil dalam sehari.

"Penggambaran pula hanya mengambil masa kira-kira tiga hari dan semuanya dilakukan di rumah termasuk proses suntingan," katanya kepada BH Online.

Filem pendek Kaki Bangku mengisahkan seorang pemuda yang meminati sukan bola sepak tetapi mengalami kecacatan pada kaki. Pemuda ini merasa sangat rendah diri untuk menyepak bola.

Bagi mempelajari teknik bermain bola, pemuda ini banyak menonton perlawanan dan apa sahaja program berkaitan bola sepak termasuk tutorial.

Nanthakumaran berkata, proses suntingan mengambil tempoh dua bulan membabitkan lima tenaga produksi.

"Saya sangat terharu dan terkejut apabila karya saya diumumkan juara dan mengetepikan lebih 100 calon lain.

"Saya harap kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pengarahan.

"Saya meminati bidang perfileman namun tidak pernah terlintas menyertai pertandingan seumpama ini," katanya.

Filem pendek Kaki Bangku mengangkat kisah seorang pemuda yang meminati sukan bola sepak, tetapi mengalami kecacatan pada kaki. - Foto Ihsan R Nanthakumaran

Ditanya mengapa subjek 'kaki bangku' menjadi pilihannya, Nanthakumaran berkata, niatnya memberi motivasi kepada individu yang rendah diri.

Selepas kemenangan diraih, Nanthakumaran mahu merealisasikan impian menghasilkan filem berunsur semangat muhibah di Malaysia.

Penyertaan untuk pertandingan filem pendek, Zee Reel dibuka pada 28 Oktober hingga 20 Disember lalu.

Selain Kaki Bangku, karya tempatan lain yang bersaing adalah Paasam arahan Vengatesh Ramachandran; Trending Pistha (Lavinia Ann); Cubic Room (Kumaaran Vijayan) dan Deepawali (Aaron Nagaiah dan Dinakaran Chandrasegaran).

Kelima-lima filem pendek itu akan ditayangkan di saluran Zee Tamil Asia Pasifik dan seluruh dunia melalui Zee Thira. (BH)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tahniah  Nanthakumaran, suatu idea kreatif yang menarik.


IHtv

1 comment:

Anonymous said...

From covid-19, accidents, politics to entertainment.
visit: jatimTIMES or malangTIMES

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails