Tuesday, January 26, 2021

Bagaimana Suri rumah ditipu RM2.8 juta? Guna 'pegawai polis' bergelar 'Datuk'..

 

MELAKA: Seorang suri rumah kerugian RM2.08 juta akibat ditipu sindiket 'Macau Scam', yang menyamar sebagai pegawai polis bergelar 'Datuk' dengan mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti penjualan dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintenan E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang kononnya bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada 10 Januari lalu.

Beliau berkata, wang berkenaan adalah simpanan mangsa dan wasiat peninggalan keluarganya.

"Melalui aplikasi WhatsApp, suspek menunjukkan kepada mangsa waran tangkap dan surat pembekuan aset, selain mengarahkan wanita itu memberikan butiran akaun bank bagi tujuan siasatan. Mangsa yang keadaan ketakutan, memberikan butiran akaun bank kepada suspek.

"Mangsa turut memberikan nombor 'One Time Password' (OTP) enam digit kepada suspek, sebelum mula berasa curiga dan merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, pihak bank kemudian memaklumkan terdapat 164 kali transaksi pemindahan wang melalui 'DuitNow', berjumlah RM2.08 juta ke 16 akaun bank berbeza, sebelum membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.

Katanya, semakan polis menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule mendapati, nombor telefon yang digunakan suspek iaitu 014-7410772 terbabit dengan 13 laporan lain, membabitkan operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam perkembangan lain, Sundra Rajan berkata seorang pegawai bank berusia 57 tahun rugi RM24,500, akibat ditipu sindiket jual beli wang lama di laman sosial Facebook.

Beliau berkata pada 14 Disember tahun lalu, lelaki berkenaan menerima mesej daripada seorang lelaki mendakwa warga Amerika menggunakan nama 'Smith Dion Ryan' yang juga pengumpul wang lama dan berminat membeli wang lama mangsa yang diiklankan pada harga USD$150 (RM607).

"Mangsa kemudian bersetuju berurusan dengan suspek dan menerima pesanan WhatsApp daripada suspek di talian +1(604)7062606 mengatakan bayaran dibuat ke akaun mangsa.

"Namun disebabkan pembayaran dari luar negara suspek mendakwa mangsa perlu membuat bayaran caj yang dikenakan untuk melepaskan wang berkenaan daripada ditahan pihak bank," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran berjumlah RM24,500 ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek, namun mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu selepas wang yang dijanjikan untuk pembelian wang lama itu tidak diterima.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran jual beli wang lama dari mana-mana pihak yang diragui. - BERNAMA

IHtv

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails