Wednesday, September 09, 2020

Lelaki Pakistan dihukum mati kerana hina Islam. Di M'sia?

 Askar Pakistan mengawal di luar Mahkamah Tinggi Lahore di mana Asif Pervaiz dijatuhkan hukuman mati. - Foto AFP Askar Pakistan mengawal di luar Mahkamah Tinggi Lahore di mana Asif Pervaiz dijatuhkan hukuman mati. - Foto AFP

LAHORE: Mahkamah Pakistan semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki beragama Kristian yang disabitkan kesalahan menghantar mesej memiliki 'kandungan yang menghina Islam'.

Asif Pervaiz, 37, yang ditahan sejak 2013, melawan pertuduhan menghina Islam itu yang didakwa oleh penyelia sebuah kilang tempat dia pernah bekerja sebelum ini.

Peguamnya, Saif-ul-Malook, memberitahu AFP bahawa Asif menafikan semua dakwaan terhadapnya dan hanya menghantar semula mesej yang dipersoalkan itu selepas menerimanya daripada orang lain.

"Hakim sepatutnya menolak kes ini, kami akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Lahore.

"Asif sudah pun menghabiskan tujuh tahun untuk menunggu keputusan mahkamah, siapa tahu berapa lama lagi dia perlu menunggu hingga semuanya selesai," katanya.

Menghina Islam adalah isu yang sangat sensitif di Pakistan, dengan undang-undang membenarkan hukuman mati pada individu yang disabit kesalahan terbabit.

Asif mendakwa penyelianya, yang cuba memaksanya menukar agama untuk memeluk Islam, menuduhnya menghina Islam selepas dia berhenti bekerja di kilang itu.

Agama minoriti di negara itu, termasuk Kristian, adalah antara kumpulan paling terancam dengan penyalahgunaan undang-undang menghina Islam itu.

Berdasarkan Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa Amerika Syarikat (AS), sekitar 80 peratus individu dipenjarakan di Pakistan atas pertuduhan itu dengan sebahagiannya dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dihukum mati.

Bulan lalu, seorang lelaki yang dituduh menghina tuhan mati ditembak dalam mahkamah di bandar Peshawar. - AFP

1. Di Malaysia: Penjara 26 bulan kerana hina Nabi, Islam dan Presiden Pas

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 26 bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam laman sosial Facebook pada tahun lalu.

Danny Antoni, 28, dijatuhi hukuman itu selepas Hakim M M Edwin Paramjothy mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie pada akhir pendakwaan.

Edwin memberitahu mahkamah, keputusan dibuat selepas mendapati tertuduh mendiamkan diri walaupun telah dipanggil membela diri.

Oleh demikian, Danny dijatuhi hukuman penjara 26 bulan bagi pertuduhan pertama dan dipenjara enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Hakim bagaimanapun mengarahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak dari tarikh dia tangkap pada 6 Mac 2019.

Facebook tertuduh

Mengikut fakta pertuduhan pertama, Danny yang menggunakan profil Danny A'antonio Jr pada laman Facebook didakwa telah memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Facebook tertuduh: Kejadian berlaku pada jam 1.21 pagi, 9 Januari 2019. Pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Danny didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap Abdul Hadi dengan niat sama pada tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada jam 10 pagi, 4 Mac 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Danny sebelum ini juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut dan kemudiannya menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Jun lalu.(SH:17 Julai 2020)

2. Ikut Islam hina nabi hukum mati - Mohd Amar

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat hukuman penjara 10 tahun 10 bulan yang dikenakan mahkamah terhadap pesalah yang menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini perlu dipersetujui.

"Kalau tanya saya, saya memang kata setuju. Sebab itu satu amaran yang tegas kepada semua pihak.

"Kalau kita menunjukkan sikap linear seolah-olah kita menggalakkan orang untuk buat main-main dengan perkara ini. Baik kita bagi sekali gus, sekurang-kurangnya orang berfikirlah," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya hukuman tersebut perlu disemak semula.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, menurut ajaran Islam hukuman bagi kesalahan hina nabi melibatkan hukaman mati.

"Kalau ikut hukuman sebenarnya (dalam Islam) orang yang hina nabi ini adalah hukuman mati.

"Itu kalau kita ambil hukuman paling tegas dalam agama. Tak kira nabi mana sekalipun sebab nabi ini manusia yang mulia.

"Dan agama tidak boleh dihina, walaupun kita tidak setuju, kita tidak hina agama orang lain. Kena hormati agama dan kepercayaan masing-masing," tegasnya.

Peringatan kepada semua

Gesaan pemimpin PAS ini menepati tuntutan yang dibuat anggota pertubuhan kontroversi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) supaya hukuman mati mandatori harus dikenakan ke atas mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pada 11 Mac lalu, anggota HTM, Abdul Hakim Othman berkata hukuman sedemikian bukan sahaja akan dapat menghentikan segala tindakan menghina nabi malah sekali gus menjadi peringatan kepada semua pihak yang cuba menyentuh sensitiviti agama di negara ini.


BacaHina Islam: Hukuman perlu dengan belas, untuk mendidik - mufti


HTM merupakan pertubuhan yang difatwakan jabatan agama Islam beberapa negeri sebagai menyeleweng menurut pandangan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada Mei 2017 membatalkan permohonan HTM untuk menyemak kembali fatwa yang mengisytiharkan kumpulan itu haram dan menyeleweng daripada Islam.

Mahkamah Sesyen Kuching pada 9 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan kepada Alister Cogia, 22, yang mengaku bersalah atas sepuluh pertuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad di Facebook.

Pemeriksaan mental

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun pada 11 Mac lalu, Adun Batu Lintang See Chee How dan sekumpulan peguam memohon mahkamah supaya hukuman itu disemak semula.

Dalam perkembangan itu, Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengarahkan Alister untuk menjalani pemeriksaan mental dan akan dipantau di Hospital Sentosa Kuching selama sebulan. 

Menurut The Star Online hari ini, Hakim Azahari Kamal Ramli mengeluarkan arahan itu selepas mendengar permohonan semakan yang difail pasukan peguam diketuai Adun Batu Lintang See Chee How pada 12 Mac lalu.

Pendengaran akan bersambung semula pada 16 April, selepas pemantauan tamat. -(M'kini: 13 Mar 2019,)

Hibur Hibur Sikit


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails