Friday, April 03, 2020

Komited bangunkan industri sawit, minimakan kos – Menteri



KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhasrat meneruskan usaha kerajaan terdahulu dalam membangunkan industri sawit.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan menghentikan segala usaha murni kerajaan lalu dan akan menambah baik dari semasa ke semasa sekiranya perlu.
Hal ini tambahnya dilakukan berdasarkan prinsip beliau yang gemar meminimakan kos dalam mengusahakan sesuatu.
“Bagi saya apa yang dibuat oleh pentadbiran dahulu sudah baik, tinggal lagi kita menambah baik, mereka telah buat apa yang mereka patut buat dan saya ambil konsep ialah kita tidak mahu bermula daripada kosong.
“Kita bergerak bermula pada titik dimana mereka berhenti, dimana titik berhenti menteri yang lalu, di situlah bermula. Sebagai contoh Kempen Sayangi Sawitku yang dimulakan oleh menteri yang lalu.
“Saya akan teruskan, kerana kalau kita tukar jenama, kita perlukan dana lagi, kita perlukan kempen yang baru, tidak. Saya bukan bekerja begitu, cara saya kita minimakan kos, apa yang baik pada kerajaan lalu, kita teruskan,” ujarnya dalam satu temubual bersama Bernama TV sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika disoal berkenaan maklum balas yang mengatakan bahawa promosi kementerian itu sebelum ini yang kurang mendapat sambutan akibat daripada kegagalan menepis serangan-serangan pihak luar.
Katanya, agak meremehkan sekiranya setiap kali bertukar tampuk pemerintahan perlu mengambil pendekatan untuk memulakan semula kempen yang baharu.
Lagipula, beliau juga tidak pasti adakah beliau akan terus memegang jawatan tersebut setelah tiga tahun.
Sementara itu, beliau dalam temubual sama turut menekankan beberapa faktor lain untuk mengukuhkan insdutri sawit di Malaysia seperti cadangan untuk melahirkan peladang yang ‘smart’ dalam penggunaan tenaga buruh seperti penggunaan mesin.
Selain itu, beliau turut merancang untuk mencari kaedah bagi memastikan pelaksaan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah dimana beliau mendapati hanya segelintir dari penoreh getah yang memohon sumbangan tersebut. – HARAKAHDAILY 2/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails