Thursday, May 19, 2016

Mangsa 11 Sept: AS Lulus Undang-undang Jerat A/Saudi..

WASHINTON – Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan rang undang-undang membenarkan mangsa sera­ngan 11 September (9/11) dan waris mereka menyaman Arab Saudi berkaitan peranan negara itu dalam serangan pengganas ke atas AS pada 2001.
Rang undang-undang itu, Akta Keadilan Menentang Penajaan Keganasan diluluskan sebulat suara oleh Senat dan akan diusulkan ke Dewan Perwakilan untuk kelulusan.
White House sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa Presiden AS, Barack Obama menentang udang-undang itu kerana ia akan menghapuskan doktrin imuniti untuk negara berdaulat.
Obama melawat Arab Saudi pada April lalu dalam usaha memulihkan hubungan antara Washington dan Riyadh yang semakin renggang.
“Undang-undang ini akan mengubah undang-undang antarabangsa mengenai imuniti negara berdaulat. Obama bimbang undang-undang ini akan menyebabkan Washington terdedah kepada sistem kehakiman lain di seluruh dunia,” kata jurucakap White House Josh Earnest.
Undang-undang itu akan mengancam rakyat AS yang bekerja di luar negara, tambahnya.
Di bawah undang-undang baharu itu, waris mangsa sera­ngan 9/11 boleh memfailkan kes mereka di mahkamah persekutuan terhadap kerajaan asing, terutamanya Arab Saudi untuk menuntut pampasan jika negara terbabit didapati bertanggungjawab dalam serangan itu.
Seramai 15 orang daripada 19 penyerang 9/11 merupakan warganegara Arab Saudi. Namun, sehingga kini tiada bukti yang mengaitkan penglibatan Arab Saudi dalam serangan didalangi kumpulan Al-Qaeda itu.
Pada bulan lalu, akhbar New York Times melaporkan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir sebagai berkata, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, Riyadh akan menjual rizab sekuritinya aset lain di AS berjumlah AS$750 bilion (RM3 trilion) bagi mengelakkan ia dibekukan mahkamah persekutuan. – AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah liciknya AS, meluluskan rang undang-undang membenarkan mangsa sera­ngan 11 September (9/11) dan waris mereka menyaman Arab Saudi berkaitan peranan negara itu dalam serangan pengganas ke atas AS pada 2001. Itulah jerat dan jerangkap samar politik AS menindas sekutunya Arab Saudi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails