Thursday, May 19, 2016

Kuat Hindu, Bukan Halangan Dalami Kepercayaan Bangsa Lain. -Dr Bala.


Merakam gambar kenangan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

KUALA TERENGGANU – Meluangkan masa menghadiri majlis pengebumian di tanah perkuburan Islam, menyertai tazkirah, usrah, ceramah agama dan majlis ilmu bukanlah sesuatu yang asing bagi Dr Bala Chandran, 56.

Biarpun berpegang kuat pada ajaran agama Hindu, ia bukan halangan buatnya, malah ia menjadi salah satu titik tolak kepada beliau untuk terus mendalami dan menghormati adat, budaya dan kepercayaan yang dianuti oleh kaum dan bangsa lain.

“Dengan menyertai majlis sebegitu, kita akan belajar dan dididik aspek kerohanian. Belajar mengenai aspek kerohanian tidak perlu tunggu selepas memeluk Islam. Sesiapa pun boleh jika ada kemahuan dan kehendak mendapatkannya,” katanya.

Menurutnya, dalam kehidupan ini, tujuan adalah sama iaitu untuk kembali kepada sang Pencipta, justeru, setiap orang seharusnya perlu menambahkan ilmu dari pelbagai sudut termasuk mengkaji ilmu dan agama yang dianuti kaum dan bangsa lain.

“Kajian mengenai perbandingan agama akan memberikan kita pengetahuan meluas mengenai agama-agam yang dianuti oleh manusia di dunia ini. Kajian mengenai agama Islam pula memerlukan kita mengkaji dengan jiwa yang ‘merdeka’ dan bebas dari belenggu momokan dan sikap prejudis.

“Seawal remaja, saya telah mula mengkaji al-Quran, sunah, ilmu fekah, tauhid dan beberapa cabang ilmu dalam agama Islam. Dari situ, saya mula memahami bahawa kita boleh jadikan Islam sebagai tunggak dalam mewujudkan perpaduan kalangan masyarakat,” katanya.

Bala dilantik sebagai Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu pada 2010, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat pada 2015.

Selain memegang jawatan dalam DHPP, Bala turut menjadi Pengerusi Pertubuhan Hindu Terengganu, Kelab Rotary, dan Persatuan Ping Pong Terengganu.

Bercerita lanjut mengenainya, Bala berkata, memahami agama Islam adalah salah satu sebab beliau bersama parti Islam, Pas dan menjadi Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu sejak 2010.

“Memang dalam Pas, saya nampak banyak cabaran sebab ia berlandaskan agama, banyak benda yang kita kena lurus dalam hidup, banyak dugaan dan cabaran. Sebagai pemimpin DHPP Terengganu, saya banyak belajar daripada pimpinan ulama, yang penting kita berbuat baik selalu, berbuat baik kepada semua orang, supaya kita dapat menikmati keberkatan rahmat kepada semua.
“Sebab itu kita mula kepada  pendekatan politik matang dan sejahtera (PMS) supaya kita dapat membuka ruang kepada orang nak tahu dan ingin sertai Pas yang mana dapat menghayati dasar sebenar perjuangan dan penubuhan parti,” katanya.

Keluarga isteri tidak pandai cakap Tamil

Bala berkahwin dengan K. Senbagavalli, 56, yang berasal dari Kampung Raja, Besut pada 1989 dan mempunyai tiga cahaya mata.

“Saya asalnya lahir di Mentakab, Pahang. Bertemu jodoh dengan isteri orang Besut. Lucunya, ketika majlis perkahwinan, saya terperanjat kerana keluarga belah isteri tidak bercakap Tamil sebaliknya bercakap dalam dialek Kelantan.

“Pada mulanya, saya sangka mereka akan bercakap dalam bahasa India, tetapi sangkaan saya meleset kerana mereka bercakap dalam dialek Kelantan. Itu mungkin perkara baharu bagi saya dan ia menggambarkan keunikan masyarakat berbilang kaum yang tinggal di Kelantan.

“Dari keadaan dan latar belakang masyarakat di Kelantan, hubungan kaum yang harmoni wujud di sana, membolehkan saya membuat kesimpulan bahawa keharmonian sesebuah kerajaan lahir daripada kepimpinan yang ditonjolkan pemimpin,” katanya.

Kagum dengan keharmonian hubungan antara kaum di Kelantan, Bala berkata, beliau ingin melihat situasi harmoni sebegitu wujud di negeri ini dan seluruh negara sekali gus menghapuskan isu perbalahan kaum.

“Sebab itulah saya memilih untuk fokus kepada parti yang dapat memberi tumpuan kepada akidah perjuangan berteraskan agama supaya tiada wujud isu perkauman. Isu perkauman akan menimbulkan banyak masalah di dalam negara.
“Apabila bersama Pas, saya lihat ia dapat membantu membina masyarakat yang matang dan sejahtera. Kita tahu agama rasmi negara ialah agama Islam, sebab itulah kita perlu hormati perlembagaan dan dapat wujudkan masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Anak kepada Gopal Krishnan dan K.Kalyani ini, adalah anak ke-10 daripada sebelas adik-beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Tanah Putih, Kuantan, sebelum melanjutkan pelajaran di Open University (OU) dalam bidang pengurusan dan menyambung sarjana dan PhD dalam bidang sumber manusia.

“Selepas menamatkan pengajian, kerja saya tertumpu pada sumber manusia dan pengurusan dalam syarikat perumahan dan hotel serta lebih kepada bidang peruncitan dan sebelum ini mengusahakan bisnes bekalan ubatan (farmasi) dalam perubatan alternatif milik keluarga,” katanya.

Kaji perbandingan agama

Bala mulai aktif dalam membuat kajian dan mendalami secara terperinci perbandingan agama sejak berusia 15 tahun.

“Saya mula kaji agama sejak berusia 15 tahun dan kajian melibatkan agama Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian dan Islam. Saya dapati semua agama mengajak kepada tuhan dan daripada belajar agama ini, kita boleh buat kesimpulan semua orang perlu hormat-menghormati.
“Sebelum mulakan pengajian perbandingan agama, saya akui benci pada Islam kerana dimomokkan dengan tanggapan negatif terhadap Islam, tetapi bila dah mula kaji, saya dapati tiada perkara seumpama itu (seperti dimomokkan),” katanya.

Bagi Bala, Islam adalah agama yang dapat menghubungkan dan mengeratkan ikatan antara kaum dan masyarakat di negara ini.

“Apabila saya banyak bersama masyarakat dalam program membangunkan kerohanian, saya dapati banyak perkara perlu diperbetulkan, dengan Islam, ia tunggak dan agama rasmi, kita boleh buat perubahan."

Bala berkata, setiap orang perlu menerima persamaan yang ada dalam setiap agama dianuti bagi mewujudkan suasana aman dan harmoni.

Tambahnya, sistem pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk mentaliti dan budi pekerti golongan belia dan muda mudi. (SH)

1 comment:

An Anonymous said...

Tahniah Dr Bala!

Takziah TGPDRamasamy!

Takziah juga Adinda TGLGE! sampuk pula Kekanda MatSabu..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails