Tuesday, November 24, 2015

Londeh Lagi, Yapeim Belanja RM100,000 Ke New York..


Selepas pendedahan terbaru skandal Yayasan Ekonomi Pembangunan Islam (Yapeim) di Perancis minggu lalu, Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) mendedahkan satu lagi dokumen menunjukkan yayasan itu terlibat dengan lawatan ke New York, Amerika Syarikat (AS).

Pengarah NOW Akmal Nasir berkata, program yang mencecah kos RM100,000 itu didakwa berlaku pada 17 September, 2014 sehingga 27 September, 2014 dengan sasaran penglibatan 100 peserta di New York.

"Butiran terperinci menunjukkan pecahan perbelanjaan bagi tujuan ke New York mengikut agensi berikut iaitu, Yayasan Pembangunan Anak Yatim / Miskin (Pemangkin) sebanyak RM66,960 dan Yapeim RM101,720," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Program di bawah Kelab Santun Amerika 2014 itu didakwa diadakan bersempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat.

"Apakah keperluan Yapeim bersama dalam lawatan perdana menteri ke New York sedangkan Yapeim adalah agensi berteraskan kepada amal jariah dan bukanlah jabatan kerajaan.

"Berapa banyak lawatan ke luar negara melibatkan Yapeim bagi 2013, 2014 dan 2015?" soal Akmal yang turut menggesa pihak terlibat menjawab pendedahan lain pernah dibuat NOW sebelum ini.

Pada sidang media hari ini, Akmal turut menunjukkan dokumen permohonan perbelanjaan yang diluluskan Timbalan Pengerusi Yapeim Datuk Zaleha Hussin.

Permohonan itu dibayar kepada Pemangkin sebanyak RM101,720.

Sehubungan itu, Akmal menuntut Yapeim menjawab persoalan yang dibangkitkan hari ini.

Akmal juga menggesa struktur pengurusan dan pentadbiran Yapeim dirombak termasuklah mereka dilantik sebagai lembaga pemegang amanah hanya boleh bertindak sebagai pemegang amanah dan dilarang memegang jawatan lain dalam Yapeim.

"Struktur anak syarikat dan institusi milikan Yapeim perlu disusun semula agar pertindihan peranan dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan kos pengurusan," kata Akmal. - 23 November, 2015. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails