Tuesday, January 13, 2015

Sirul Azhar Di Australia. Waran Tangkap, Gagal Hadir Mahkamah.

Sirul Azhar dipercayai berada di Australia, gagal hadir di mahkamah
Menurut sumber, Azhar tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia

KL: Tertuduh kedua kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, Koperal Sirul Azhar Umar tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan hari ini kerana berada di luar negara, dipercayai di Australia.

Menurut sumber beliau telah mengetahui tarikh penghakiman mahkamah ditetapkan hari ini namun tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia. Beliau telah berada di luar negara kira-kira dua bulan lepas dan ketika ditanya Bernama adakah Sirul Azhar tidak pulang kerana telah menjangka keputusan yang tidak berpihak kepadanya, sumber tersebut berkata: 
"Ia (keputusan) tidak boleh dijangka namun Sirul masih perlu berada di luar negara."

Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu. Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas membenarkan rayuan mereka.

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya. Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua-dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Berikutan ketidakhadiran Sirul Azhar, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan Azilah dibawa ke penjara.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu. Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan pukul 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Demikian Bernama.

Sementara itu, kegagalan Koperal Sirul Azhar Umar menghadiri mahkamah untuk menerima penghakiman keputusan rayuan membawa padah apabila waran tangkap dikeluarkan terhadap anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu. Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anak guamnya itu kira-kira seminggu selepas selesai pendengaran kes pada Jun lalu.  (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails