Thursday, January 08, 2015

Harakah Minta K/Pengarangnya Ahmad Lutfi Letak Jawatan.


Tindakan lidah rasmi PAS Harakah meminta ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua pengarang kanannya mencetuskan kemarahan akar umbi PAS.

Perkembangan itu mengundang PAS Batu mengadakan sidang media di Kuala Lumpur bagi menyatakan setiakawan mereka terhadap Lufti dan dua lagi bekas pengarang kanan Harakah – Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid.

Yang Dipertua PAS kawasan Batu, Ishak Surin juga melontarkan kemarahannya kepada Pengerusi Harakah Datuk Mustafa Ali dan menyifatkan langkah itu tidak wajar dan tidak mencerminkan amalan dalam sebuah parti Islam.

“Mereka ini diminta berhenti tanpa sebab munasabah. Tak tahu apa sebab pun. Saya rasa ini tindakan yang tidak wajar.

“Tak patut dia (Mustafa) buat begitu. Dia dakwa sebagai pemimpin Islam, PAS. Tetapi perbuatan itu boleh mengaibkan Islam itu sendiri.

“Jadi kerana itulah PAS (kawasan) Batu bersama (kumpulan budayawan) Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) mengadakan sidang akhbar bersama tadi untuk mengutuk kerasnya tindakan yang dibuat Mustafa,” kata Ishak ketika dihubungi Malaysiakini.

Ishak yang juga antara pengasas Harakah juga mengambil langkah drastik menggesa supaya Mustafa yang juga setiausaha agung PAS berundur daripada menjadi pengerusi Harakah.

“Saya minta dia berundur. Berundurlah. Dia (Mustafa) suka-suka saja nak berhentikan orang. Saya sebagai manusia saya rasa tak patut kita buang orang yang selama ini berkhidmat dengan Harakah bertahun-tahun.

“Saya sangat sedih. Saya merupakan pengurus Harakah yang pertama. Dulu duit pemimpin PAS pun satu sen pun kami tak ambil. Saya bukan nak ungkit.

“Tetapi, oleh kerana perkara ini sangat menyedihkan. Tak sepatutnya benda ini jadi begini,” katanya lagi sambil menangis.

Ishak berkata, tindakan PAS itu, terutamanya kepada Lutfi “tidak berperi kemanusiaan” memandangkan keadaan kesihatannya. (MK)

1 comment:

XUMNO said...

Adakah ini merupakan tindakan untuk memecahbelahkan kepimpinan Pas? Jika itu tujuannya, sediakah Mustafa berdepan dengan boikot terhadap Harakah yg boleh membawa kepada lenyapnya satu2nya lidah rasmi Pas? Rasanya Mustafa sudah terlalu lama dilantik dan sepatutnya diganti dengan pemimpin Pas yg lebih berkaliber.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails