Saturday, October 18, 2014

Banyak Lagi Ruang Jihad Di Malaysia - Ustaz Ahmad Yakob



KOTA BHARU: Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob mengingatkan masyarakat Islam di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan seruan jihad oleh kumpulan tertentu sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Kita tidak tahu matlamat sebenar kumpulan ini dan kita perlu berhati-hati dengan perkataan atau kalimah yang digunakan mereka.
"Ibu bapa mesti tanya khabar anak di luar negara dan perlu mengetahui bidang apa yang mereka pelajari dan siapa kawan mereka. Ini semua perlu ditanya kerana bimbang anak-anak mereka akan terpengaruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Buku Khalifah: Kita Pilihan ALLAH di Medan Ilmu, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jihad bukan sahaja dengan mengangkat senjata, malah banyak lagi aspek lain yang turut dikategorikan sebagai jihad.

Menurut beliau, ianya termasuk jihad dari sudut ekonomi dan juga pendidikan yang memerlukan umat Islam menguasai kedua-dua aspek penting ini.

Semantara itu, buku 'Khalifah: Kita Pilihan Allah' karya Ustaz Ahmad didiskusikan oleh beliau di Dataran Ilmu pagi tadi dan majlis pra-pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato Dr Johari Mat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap ahli Dewan Negara.

Majlis tersebut turut dihadiri exco kerajaan negeri Datu Abdul Fattah Mahmood, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Dr Hj Ramli Mamat serta beberapa yang lain.

Majlis pelancaran penuh nanti akan disempurnakan oleh mantan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam tempoh terdekat. - HARAKAHDAILY 18/10/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails