Tuesday, May 27, 2014

Piala Thomas: Tahniah Skuad Badminton Negara!


 


SUKAN
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan setinggi tahniah kepada skuad badminton negara kerana telah mempamerkan semangat juang yang tinggi semasa menentang pasukan Jepun malam tadi.

Sekalipun terpaksa berputih mata untuk menamatkan kemarau 22 tahun tanpa Piala Thomas, namun semangat tidak mudah kalah ini sememangnya harus dipuji, kata Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

"Skuad yang dibarisi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei, Hoo Thien How, Tan Wee Kiong, Chong Wei Feng, Daren Liew, Lim Khim Wah dan Goh V Shem sewajarnya mendapat penghormatan yang tinggi.
"Mereka bukan sahaja bermain dengan bersungguh-sungguh malah mampu menewaskan beberapa negara yang menjadi pencabar utama Malaysia iaitu Denmark dan Indonesia," ujarnya.

Namun kekalahan negara kepada Jepun yang turun sebagai pasukan 'underdog', ujarnya amat perit diterima yang  sekaligus memecah dominasi diungguli Malaysia, Indonesia dan China. Menurutnya, pasukan perseorangan negara masih lagi bergantung kepada kemampuan Datuk Lee Chong Wei manakala Daren Liew dan Chong Wei Feng seakan gugup mengharungi perlawanan akhir.

"Kemenangan mudah yang dikecapi oleh Datuk Lee Chong Wei seakan tidak mampu diulangi mereka sedangkan usia Datuk Lee Chong Wei adalah 31 tahun berbanding mereka yang berumur 26 tahun," katanya.

Sehubungan itu beliau menyarankan  Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggembleng tenaga baru seperti Zulfadli Zulkifli dan Misbun Ramdan untuk bersama pasukan senior kebangsaan. Sebagai contoh, tambah beliau pasukan Jepun mempunyai pemain berumur di bawah 25 tahun termasuk Kento Momota yang berumur 20 tahun.

Ir Khairil turut memuji persembahan beregu negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong serta Lim Khim Wah dan Goh V Shem yang nyata tidak mengecewakan.

"Saya berkeyakinan penuh sekiranya skuad Malaysia mengekalkan momentum seperti kejohanan tahun ini, Piala Thomas pasti menjadi milik rakyat Malaysia sekali lagi," ujarnya.- HARAKAHDAILY, 26/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails