Thursday, December 26, 2013

Lawan Demokrasi Tak Sempurna, Bukan Guling K'jaan -Mat Sabu

Mat Sabu berkata PAS tidak pernah terfikir menukar kerajaan di luar batas pilihan raya. - Gambar The Malaysian Insider, 26 Disember, 2013. Mat Sabu berkata PAS tidak pernah terfikir menukar kerajaan di luar batas pilihan raya. - Gambar The Malaysian Insider, 26 Disember, 2013. 

PAS tidak berhasrat menggulingkan kerajaan pada malam sambutan ambang tahun baru 2014 nanti, seperti yang didakwa beberapa pihak, menurut Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.

“Kita tidak memilih jalan untuk mengguling kerajaan. Kalau parti politik macam PAS pun tidak pernah terfikir nak mengguling kerajaan luar daripada pilihan raya, apatah lagi pelajar,” kata Mohamad, yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu.

Beliau berkata parti Islam itu komited dengan amalan demokrasi walaupun ia tidak sempurna.
Beliau turut memberikan contoh demokrasi tidak sempurna yang diamalkan di Malaysia.
“Kalau 10 tahun dulu kita berkumpul sikit, polis sudah kepung. Bahkan di kawasan Kuala Kedah, pernah pihak polis melepaskan gas pemedih mata ketika ceramah dalam markas di Anak Bukit dan Kubang Rotan,” katanya.

Polis baru-baru ini menahan Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau Turun, Azan Safar, yang menghadapi siasatan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung satu rancangan perhimpunan ambang tahun baru 2014 yang dikatakan berniat menggulingkan kerajaan.

Azan ditahan reman kira-kira jam 12 tengah malam Isnin ketika makan bersama kawan-kawannya di Kampung Baru, dan dibebaskan 20 jam selepas itu. Azan, yang sebelum ini melancarkan Turun di hadapan kompleks Sogo, merancang untuk mengadakan himpunan ketika sambutan ambang tahun baru 2014 di Dataran Merdeka sebagai membantah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan tarif elektrik akan naik sebanyak 15 peratus bermula Januari 2014. Selain itu, kadar tol di 15 lebuh raya juga akan naik. Pada September, subsidi petrol RON 95 dan diesel dipotong menyebabkan kenaikan harga bahan bakar itu dan harga barang keperluan asas lain.

Semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan subsidi gula dihapuskan secara serta-merta dan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa April 2015. – 26 Disember, 2013. (IMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails