Tuesday, December 24, 2013

H/Natal, Kristian Harap Keamanan Kumpulan Agama -Presiden SSIB

 
Tahun ini penuh cabaran dan semoga Hari Natal membawa perugahan dan petrpaduan kata ketua pengarang akhbar mingguan Katolik Herald, Father Lawrence Andrew.

Keamanan dan harmoni adalah harapan pemimpin Kristian di Malaysia sempana Hari Natal kerana 2013 dirasakan mereka sebagai tahun yang penuh dengan ketegangan perkauman dan agama.

Presiden Sidang Injil Borneo (SSIB), Rev Datuk Jerry Dusing dan Pengarang akhbar mingguan Katolik Herald, Father Lawrence Andrew, berkata perkara paling mencabar buat mereka tahun ini adalah perbicaraan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah.

"Kes Herald dibawa semula ke mahkamah dan kami perlu menenangkan semua pihak terhadap keputusannya.
"Walaupun kami kecewa, kami tidak akan berputus harapan," kata Dusing kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melarang Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berbahasa Melayu mereka.

Herald memenangi hak menggunakan kalimah Arab itu itu pada 2009 melalui keputusan Mahkamah Tinggi, namun ia tergantung berikutan rayuan kerajaan. Gereja kini sedang mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dusing berkata, kes SIB turut tertunda di mahkamah apabila mereka memohon pengisytiharan berhubung penggunaan kalimah Allah, selepas penerbitan keagamaan untuk kanak-kanak menggunakan kalimah Allah yang dibawa masuk dari Indonesia ke Sabah dirampas di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Kuala Lumpur pada Ogos 2007.

Buku berkenaan dirampas atas alasan pekeliling kerajaan pada Disember 1986 melarang penggunaan beberapa perkataan termasuk kalimah Allah. Kes SIB itu akan disebut di mahkamah bulan depan.
Andrew berkata, ia juga adalah cabaran baginya apabila kes kalimah Allah dibawa semula selepas Mahkamah Tinggi pada 2009 menolak permohonan Menteri Dalam Negeri, dengan penghakiman bahawa larangan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami perlu kembali semula ke mahkamah tahun ini untuk beberapa perbicaraan, termasuk permohonan campur tangan dan rayuan oleh kerajaan.
"Terlalu banyak masa dihabiskan menguruskan kes mahkamah," kata pengarang Herald itu lagi.

Malah, Dusing berkata, ada begitu banyak kemungkinan tahun ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei, terutama apabila isu perpecahan antara komuniti Kristian berlaku.
"Pelbagai kumpulan Kristian mempunyai pendapat berbeza, termasuk ada yang mahu menukar kerajaan dan ini memberikan tekanan," katanya.

Isu kalimah Allah mencetuskan polemik dalam kepelbagaian kaum di negara ini


Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Dr Hermen Shahstri bagaimanapun enggan mengulas berhubung isu kalimah Allah, sebaliknya berkata, cabaran buat dirinya adalah berhadapan dengan beberapa kuasa dalam masyarakat yang menggunakan agama untuk memecahbelahkan masyarakat.

"Situasinya menjadi semakin rumit apabila tindakan negatif sedemikan melibatkan politik," kata Dr Hermen.
Katanya, masyarakat pada zaman kanak-kanak beliau lebih terbuka berbanding sekarang.

"Malangnya, hari ini terdapat banyak contoh individu yang teruk dan membina tembok pemisah dan mewujudkan chauvinis agama," katanya.
Oleh itu, pemimpin Kristian berharap rakyat Malaysia akan lebih aman dan harmoni selepas ini.
"Negara kita menawarkan banyak peluang untuk bergaul antara agama dan budaya.
"Kita hanya memerlukan personaliti yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai orang lain bagi berkongsi kekayaan, kepelbagaian,budaya dan agama di negara kita," katanya.

Katanya, sambutan rumah terbuka yang menjadi sebahagian budaya Malaysia perlu dijadikan medium penghubung antara setiap individu di negara ini.

"Saya mahu menegaskan bahawa kami bukan menentang kerajaan mahupun orang Islam," kata Dr Hermen.

Malah, ketika dialog pastor pada Oktober, Dusing berkata, walaupun Mahkamah Rayuan melarang Herald menggunakan perkataan Allah, mereka tetap menyeru agar hubungan dengan masyarakat Muslim diteruskan.
Andrew berharap Hari Natal kali ini, masyarakat daripada pelbagai kepercayaan dan anutan tidak akan memandang satu sama lain sebagai musuh, sebaliknya sebagai saudara mereka. – 24 Disember, 2013. (TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails