Tuesday, December 03, 2013

Beri Peluang Pemimpin Dipilih Tunai Tanggungjawab




KUALA LUMPUR: Salah satu daripada disiplin berjemaah ialah wala' dan thikah kepada pimpinan bagi memastikan kemantapan jemaah dan berupaya menghadapi cabaran yang datang tanpa diganggu gugat mana-mana pihak, tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin.

Beliau mengaitkan konsep wala' dan thikah ini dengan kata-kata Saidina Umar yang menyebut, "tidak sempurna Islam melainkan dengan adanya jemaah dan tidak sempurna jemaah melainkan adanya kepimpinan dan tidak sempurna kepimpinan melainkan adanya ketaatan".

Beliau yang juga Adun Puteri Wangsa, Johor turut menyebut terdapat juga ayat dalam Al-Quran yang membawa maksud "sesungguhnya pemimpin kamu (Rasul) dan orang yang beriman yang mendirikan solat, yang mengeluarkan zakat, tunduk dan patuh serta barang siapa berwalikan Allah, golongan yang mengejar agama Allah itu yang akan mencapai kemenangan di dunia dan akhirat".

Dalam konteks kepimpinan PAS katanya, pemilihan pucuk pimpinan telah dibuat dan tidak ada sebab lagi untuk ahli-ahli PAS memanjangkan mengenai isu pemilihan.

"Kempen sudah tamat dan pemilihan sudah dibuat perwakilan. Jadi, kita berikan wala' dan hormat (thikah) kepada saf pimpinan serta memberi peluang kepada mereka menjalankan tanggung jawab dan amanah dalam tempoh dua tahun ini.

"Pemimpin bukan selama-lamanya. Seperti dalam PAS, dua tahun lagi akan ada pemilihan baru.

"Dalam tempoh itu semua ahli akan melakukan penilaian dan muhasabah. Mungkin pemimpin yang ada akan dikekalkan atau diganti dengan orang lain," katanya yang juga Adun Puteri Wangsa.

Kata Ustaz Abdullah, adalah kurang elok apabila pemilihan telah dibuat namun masih timbul suara-suara tidak puas hati dan kurang senang.

Sekiranya berlaku situasi seperti ini katanya, ia menimbulkan keadaan tidak selesa bagi meneruskan perjuangan.

Justeru katanya, amat perlu penekanan konsep wala' dan thikah ini kepada setiap ahli jemaah bagi memberi peluang pemimpin yang dipilih memberi khidmat yang terbaik. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails