Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz
SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan undur diri daripada Dewan Pemuda Pas dalam pemilihan barisan kepimpinan parti, bulan hadapan. Pengunduran itu, katanya, bagi memberi ruang kepada pemimpin lebih muda, berkaliber dan berkelayakan mengisi kekosongan tempat ditinggalkan beliau kelak.

“Tahun ini, genap 10 tahun penglibatan saya dalam Dewan Pemuda Pas. Dengan umur saya jauh melewati rakan-rakan lain dalam sayap parti yang gagah, saya fikir sudah tiba masanya untuk berundur.
“Saya sudah maklumkan (pengunduran) ini menerusi Facebook saya dan dalam satu program Pemuda Pas di Johor baru-baru ini,” katanya ketika diminta mengulas sama ada beliau bakal mempertahan jawatan disandangnya kini.

Sebelum ini, beberapa blog hangat memperkatakan isu pengunduran Nik Abduh berdasarkan Facebook milik beliau. Nik Abduh, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau ‘meninggalkan’ Pemuda Pas dalam keadaan baik.

“Saya yakin, ramai (ahli dalam Pemuda Pas) layak dan boleh memimpin. Saya yakin perwakilan akan pilih yang terbaik dan berharap semoga kepimpinan baru nanti akan lebih cemerlang,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai masalah sekiranya menerima pencalonan daripada perwakilan untuk jawatan lain dalam parti dan menyerahkan masa depannya kepada ahli Pas.

“Kalau ada pencalonan lain, saya akan lihat dan berbincang dengan rakan dulu sebelum buat keputusan. Namun sekiranya tiada pencalonan, saya tiada masalah dan tetap teruskan perjuangan,” katanya.

Berdasarkan rekod, Nik Abduh pernah menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pas Cawangan Pulau Melaka, Ketua Pemuda Pas Kawasan Pengkalan Chepa, AJK Dewan Ulama Pas Kelantan, Setiausaha Lajnah Tarbiah Pas Pusat dan AJK Dewan Pemuda Pas Pusat. Jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat mula disandang beliau sejak 2011.

Muktamar Dewan Pemuda Pas akan berlangsung pada 20 dan 21 November ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). (SH)

Lihat sebelum ini..
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011  
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013