Monday, October 14, 2013

Kami Calon Suhaizan Kaiat Lawan K/Pemuda PAS Pusat

Oleh MOHD SALLEH BIN TAMJIS
Ketua Pemuda PAS Batu Pahat, Johor


Kami dari pemuda PAS kawasan Batu Pahat dengan sebulat suara telah bersetuju untuk mencalonkan Sdr. Suhaizan Kaiat sebagai Ketua Pemuda (KP) bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dalam pemilihan PAS yang bakal berlangsung pada bulan November ini.

Keputusan ini telah dicapai dalam mesyuarat kali pertama kepimpinan Dewan Pemuda PAS kawasan Batu Pahat bagi sesi ini yang telah dijalankan pada 23 September 2013 yang lalu.

Kami sebulat suara mencalonkan beliau setelah dibincangkan secara masak termasuk beberapa nama tokoh-tokoh pemimpin pemuda PAS yang lain.

Kami berpandangan, Suhaizan yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Johor memiliki kewibawaan serta kemampuan untuk membawa Pemuda PAS ke pentas nasional dalam memperjuangkan pelbagai isu yang timbul hari ini.

Ini bukan cakap kosong, kita boleh saksikan sendiri beberapa isu besar diperingkat nasional sebelum ini yang berjaya diketengahkan oleh beliau dan mendapat perhatian rakyat Malaysia keseluruhannya. Bahkan ia mampu menggugat pesaing utama PAS iaitu UMNO dan Barisan Nasional.

Contohnya, lihat sahaja keterlibatan beliau dalam isu bantahan terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2009 yang lalu.

Akhirnya kerajaan terpaksa akur untuk tidak melaksanakan PPSMI akibat wujudnya desakan yang kuat hasil mobilisasi massa serta peningkatan kesedaran rakyat Malaysia yang telah diusahakan oleh para aktivis, pejuang bahasa, pimpinan politik dan NGO termasuklah Suhaizan sendiri yang merupakan setiausaha sekretariat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ketika itu.

Begitu juga dengan beberapa isu lain yang berjaya beliau ketengahkan seperti isu pengundi klon/hantu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, isu perjuangan kampung setinggan di Johor, dan sebagainya.

Jika mood seperti ini dapat diteruskan, pamuda Batu Pahat amat yakin DPPM akan mampu membina momentum yang besar menuju Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

Oleh itu, Pemuda PAS kawasan Batu Pahat, sekali lagi mangumumkan pencalonan Sdr. Suhaizan Kaiat sebagai Ketua Pemuda bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam pemilihan PAS pada kali ini. (Detikdaily)

Lihat sebelum ini..
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011  
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

1 comment:

Anonymous said...

Cuba baca kritikan membina untuk PAS disini http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2013/10/teguran-buat-pas-dari-penyokong-pas.html

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails