Tuesday, January 08, 2013

T/Rizab Melayu: Ini Bukti, PAS K'tan Pandai Jaga.



Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyelar kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menggesa agar ditubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan kononnya tanah rizab melayu di Kelantan terlepas ke tangan bukan Melayu.

Pada pandangan DPPNK, kenyataan Mustapa yang disiarkan oleh akhbar-akhbar hari ini 6 Januari 2013 sekali lagi membuktikan kelayakannya untuk menjadi Menteri Besar Kelantan sudah hilang sama sekali. Hakikatnya, Mustapa sedang terkial-kial untuk mengumpul semula kekuatan Umno Kelantan yang sedang berangan-angan untuk merampas Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dalam isu tanah rizab Melayu, DPPNK suka mengingatkan Mustapa agar merujuk kepada jawapan yang dikemukakan oleh YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan YB Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff [Balik Pulau] berkenaan jumlah keluasan tanah Rizab Melayu mengikut negeri-negeri di Malaysia.

Ia disenaraikan di dalam jawapan bagi soalan bukan lisan no. 348 pada Januari - April 2011. Di dalam jawapan tersebut, dinyatakan bahawa keluasan tanah rizab Melayu di Kelantan ialah seluas 1.3 juta hektar iaitu paling tertinggi di Malaysia.

Perbezaan ketara dapat dilihat jika dibandingkan dengan negeri Pahang yang mempunyai keluasan tanah tiga kali ganda Kelantan tetapi hanya mempunyai tanah rizab Melayu seluas 0.4 juta hektar sahaja. Fakta-fakta ini boleh dirujuk oleh Mustapa di pautan : http://www.nre.gov.my/parlimen/Lists/DispFormJawapanBL.aspx?ID=244

Ini menunjukkan bahawa PAS di Kelantan lebih pandai menjaga tanah rizab Melayu berbanding UMNO.

Sejarah menunjukkan bahawa sepanjang 12 tahun Umno memerintah Kelantan, merekalah yang bertanggungjawab melepaskan tanah rizab Melayu di Lot 305 Seksyen 1 Bandar Tumpat yang mana hari ini nama yang tertera di dalam geran ialah nama bekas pemimpin BN, Datuk Foo Chow Yong. Chow Yong calon tunggal MCA menang di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri.

Hari ini, berpuluh-puluh penduduk di atas tanah tersebut sedang diancam keluar. Di mana Mustapa dalam isu ini? Mujur juga UMNO hanya sempat mentadbir Kelantan selama 12 tahun, jika tidak barangkali masih banyak tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai!

Selain itu, DPPNK juga melihat bahawa Mustapa barangkali dihinggapi penyakit lupa terhadap fakta bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasionallah yang telah meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan tanah rizab Melayu dipajak kepada bukan Melayu untuk dimajukan.

Sedarkah Mustapha bahawa inilah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2004 setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-60? Kenyataan tersebut disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2004 di dalam bahagian Ekonomi.  Lihat http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Seterusnya, jika memajak tanah rizab Melayu untuk kemajuan negeri merupakan satu kesalahan, maka kenapakah di negeri yang diperintah oleh Umno, ia tidak menjadi satu kesalahan?

Di negeri Perlis misalnya, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 15 Mac 2012 yang lalu menyatakan bahawa kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan. Ini boleh dibaca di pautan berikut : http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/3/16/mstar_berita/20120316175658&sec=mstar_berita

DPPNK ingin menasihatkan Mustapa dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak berterusan memainkan isu tanah rizab Melayu yang dikatakan tergadai di Kelantan.

Malulah sedikit dengan negeri Johor yang diperintah oleh Umno/Barisan Nasional yang telah melepaskan begitu mudah tanah rizab Melayu seluas 16,997 hektar di dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar.

DPPNK menasihatkan Umno Kelantan khususnya Mustapa lebih berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan di masa akan datang. Dalam hal ini, DPPNK ingin menyuarakan simpati kepada Umno Kelantan kerana Ketua Penerangannya sendiri sedang diserang hebat oleh anak buahnya di Pengkalan Chepa. Barangkali kerana inilah serangan Umno Kelantan kelihatan bercelaru dan tidak tentu arah.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails