Wednesday, January 09, 2013

'Allah', Satu Lagi Kesempatan Dakwah. -N/Aziz

Nik Aziz bergambar bersama ahli-ahli majlis yang selepas selesai majlis penyerahan watikah pelantikan semalam. FOTO:KHIRU SHALLEH ABDULLAH

KOTA BHARU - Di sebalik percanggahan pendapat dalam kalangan pimpinan berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang digembar-gemburkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam bersetuju membuka ruang kepada orang bukan Islam menggunakan kalimah itu.

Berdasarkan pandangan peribadi itu, beliau berkata ruang bagi membolehkan kalimah ALLAH itu digunakan adalah sebagai langkah untuk berdakwah kepada golongan bukan Islam. Bagaimanapun katanya, bagi menjelaskan pendirian Pas yang dipertikaikan sebelum ini Nik Aziz menegaskan keputusan muktamad adalah ditentukan pada Sabtu ini menerusi mesyuarat Ulama Syura Pas yang adakan diadakan di Kuala Lumpur.

“Ini pandangan saya, sekiranya mesyuarat nanti tidak memberikan kebenaran saya akan ikut.
“Jadi pendapat saya sekarang ini yang penting ia perlu dibuka ruang kepada bukan Islam guna perkataan ALLAH,” katanya kepada media semalam mengulas mengenai perbezaan pendapat berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Penyampaian Watikah dan Seminar Ahli-ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar berkata, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu menerusi perbincangan.

“Kewajipan orang Islam adalah berdakwah. Bagaimana cara kita nak sebarkan Islam kepada bukan Islam kalau kita tutup 100 peratus perkataan ALLAH tidak boleh sebut oleh kumpulan itu,” katanya.

Isu penggunaan kalimah ALLAH mendapat perhatian hangat apabila ia dibangkitkan semula Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini dengan mendesak kerajaan membenarkan penggunaannya dalam Bible versi bahasa Melayu.

Sementara  itu, AFD di Te Hague,  Belanda - Seorang artis seni Belanda gagal menggunakan nama Allah sebagai jenama, kata Pejabat Benelux Untuk Harta Intelek (BIOP) kelmarin.

"Permohonan itu ditolak," menurut satu dokumen di laman web BIOP. Artis seni itu, Teun Castelein menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan nama Allah sebagai jenama pada 29 Disember tahun lalu di pejabat berkenaan. Castelein memberitahu, dia masih belum dimaklumkan tentang keputusan terperinci BIOP itu yang beribu pejabat di situ.
"Sebagai seorang artis seni, saya kerap menguji sempadan pasaran bebas," katanya. Menurutnya, nama Nabi Isa dan Tuhan telah diterima sebagai jenama berdaftar. Pihak BIOP enggan mengulas berhubung keputusan tersebut.

Weblog Ibnu Hasyim yang bermottokan 'Sampaikan walau 1 ayat' bersetuju dengan pandangan Tok Guru Nik Aziz bahawa penggunaan kalimah ALLAH itu membuka satu lagi ruang kesempatan untuk berdakwah kepada yang bukan Islam.

"Saya juga bersetuju, sekiranya mesyuarat mesyuarat Ulama Syura Pas nanti, berkeputusan tidak memberikan kebenaran, saya pun akan ikut!“ kata kata Weblog Ibnu Hasyim Hj Mohd Hasyim. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails