Monday, October 01, 2012

Boikot Perlawanan Barcelona-Real Madrid -Hamas


Mahmoud al-Sarsak menolak jemputan untuk menghadiri perlawanan el clasico selepas Hamas menyeru memboikot perlawanan tersebut.

SUKAN 
GAZA: Bekas pemain bola sepak Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel baru-baru ini telah menolak jemputan oleh kelab bola sepak, FC Barcelona untuk perlawanan menentang Real Madrid.

Mahmoud al-Sarsak menolak jemputan tersebut Ahad lalu selepas Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, menyeru supaya memboikot perlawanan Barcelona-Real Madrid jika kelab Catalan itu meneruskan rancangan untuk menjemput Gilad Shalit, seorang bekas tentera Israel ke perlawanan tersebut.

Shalit, yang dibebaskan Hamas Oktober lalu dalam satu perjanjian pertukaran banduan dengan Israel, telah ditahan oleh Hamas lebih daripada lima tahun selepas dia ditangkap pada tahun 2006. Barcelona menjemput tiga warganegara Palestin ke perlawanan tersebut selepas menerima kritikan atas jemputan mereka kepada Shalit, yang dikenali sebagai peminat bola sepak di negara asalnya.

Hamas berkata kehadiran Shalit ke perlawanan pada 7 Oktober itu akan menyinggung perasaan banyak pihak. "Kita menyeru kepada semua media Islam, Arab dan Palestin untuk tidak menyiarkan perlawanan ini jika Shalit menghadirinya," Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata.

Sarsak memberitahu agensi berita AFP Jumaat lalu bahawa jemputan untuk menghadiri pertembungan gergasi Sepanyol itu sangat  bermakna kepada beliau dan rakyat Palestin, tetapi dia tetap tidak akan hadir jika dia terpaksa berkongsinya dengan Shalit.

"Jemputan ini sangat penting bagi saya dan bagi rakyat Palestin tetapi saya tidak akan dapat menerimanya melainkan Pihak Berkuasa Palestin memberikan saya kebenaran," ujar Sarsak.

Sarsak telah ditangkap pada Julai 2009 semasa dalam perjalanan dari Gaza untuk menyertai sebuah kelab di Tebing Barat dan telah ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang Israel "pejuang yang menyalahi undang-undang".

Rabu lalu, FC Barcelona berkata mereka telah bersetuju untuk menjemput Shalit ke perlawanan el clasico, yang menyebabkan kemarahan Hamas. Keesokan harinya, kelab Catalan berkata mereka juga telah menjemput presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin,Jibril Rajub,  duta Palestin ke Sepanyol dan Sarsak untuk perlawanan tersebut.

Rajoub dan Duta Palestin ke Sepanyol telah mengesahkan kehadiran. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails