Saturday, August 25, 2012

Hudud, Dr M, UMNO & Dr Asri: Apa Komen N/Aziz?

Suasana ketika Nik Abdul Aziz dikunjungi Mohd Asri. – Foto ihsan laman sosial Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hudud yang dibentangkan Pas Kelantan sudah menjangkaui 19 tahun sedangkan Umno pula  tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi parti itu yang dikatakan adil.

“Umno khususnya bekas Presidennya (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang sudah bersara, tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi Umno, tempoh 19 tahun, satu huruf pun hudud ala Umno masih belum wujud.

“Jika manusia belajar selama 19 tahun, tetapi sedikitpun tidak mengerti, apa gelaran yang akan diberi? Mengaku sahaja Umno tidak berminat untuk melaksanakan hudud," kata beliau sambil menegaskan "apa yang dibisingkan hari ini hanya sekadar nyanyian politik semata-mata."

"Tangan menuding kepada orang lain, diri sendiri berkudis seribu,” kata beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau yang sedang berehat di HUSM atas nasihat doktor berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang dipetik sebagai berkata bahawa Pas telah memberi gambaran yang salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP dan mengelirukan orang bukan Islam.

Di akhir kenyataan yang diposkan menerusi laman sosial Facebook, Nik Aziz juga sertakan satu foto menunjukkan beliau dikunjungi Asri. Tetapi tidak pasti bila Asri mengunjungi beliau, tetapi difahamkan ia pertemuan lama.

Mengulas teguran Asri itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, digubal mengikut pakar perlembagaan dan undang-undang negara.

Katanya, antara mereka termasuk pakar undang-undang seperti Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim dan Datuk Paduka Seri Setia Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman. Kedua-dua ini pada masa itu dianggap sebagai rujukan utama di dalam undang-undang syariah.

Antara nama lain yang terlibat pula ialah Tun Salleh Abbas, Dr Abdullah Abu Bakar,  Datuk Hasbullah Mohd Hassan, H Wan Mutalib Embong, Datuk Harun Taib dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad.

"Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa enakmen tersebut telah sempurna tanpa sebarang kecacatan, namun untuk menyatakan bahawa ia digubal sambil lewa amatlah tidak benar sama sekali,” katanya.

Nik Aziz berkata, beliau berterima kasih dengan teguran Asri  dan menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan sekiranya ia mempunyai kelemahan. Dalam masa yang sama,  beliau menyokong kenyataan Asri yang menyebut bahawa ada golongan yang mengkritik hudud sudah rosak akidahnya.(SH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

1 comment:

Faqirulkhoir said...

TGNA seorang ilmuwan yg ber'amal, dan mensebarluas ilmu yg ada padanya. Kegigihan beliau terserlah diusia lanjut, walaupun dlm keuzuran, namun secara terus terusan tetap memperjuangkan yg haq. Semuga Allah S.W.T. memberkati hidupnya, mengampunkan dosanya dan meningkatkan derjatnya. Amiin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails