Wednesday, August 22, 2012

Beza Kerjasama Komponen BN Dg PR -Abd Hadi

Abdul Hadi disambut ketika hadir pada sesi dialog anjuran Pas Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU – Pas mendakwa kerjasama dijalinkan parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) tidak fokus terhadap dasar dan konsep Islam, berbeza dengan apa dilakukan komponen Pakatan Rakyat (PR).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, percampuran politik yang terjalin antara Umno, MCA dan MIC tiada kaitan dengan agama Islam dan tidak menekankan perkara itu sebagai asas utama dalam menjalinkan kerjasama.

“Kerjasama Pas dan DAP adalah kerjasama berasaskan agama Islam yang dinyatakan Rasulullah SAW, iaitu Islam wajib melaksanakan syarat-syarat dimeterai, kecuali syarat menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

“Walaupun fahaman berbeza, tidak sama, tetapi  ada persamaan berasaskan kemanusiaan. Disebabkan dasar kemanusiaan inilah, Islam benarkan kita bekerjasama dengan pihak lain,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai sikap terlalu tolak ansur orang Melayu sehingga ada pihak lain ambil kesempatan dan status hubungan Pas serta DAP pada sesi dialog dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Perantau anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu, semalam.

Menjawab pertanyaan berhubung dakwaan sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang melakukan diskriminasi dengan membuang pekerja Melayu, Abdul Hadi mendakwa, ia berlaku kesan pemerintahan BN di negeri itu sebelum ini.

“Lebih 90 peratus pegawai dilantik ketika mereka memerintah lebih mementingkan politik daripada tanggungjawab pentadbiran. Sebab itu tidak mustahil DAP di Pulau Pinang juga menghadapi perbuatan tidak dipilih oleh BN semasa pemerintahan mereka,” katanya.

Beliau berkata, tidak mudah untuk DAP memerintah sekiranya saki baki parasit politik masih wujud.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali berkata, beliau masih belum menerima maklumat mengenai kes itu dan akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada ia benar-benar berlaku.(SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails