Sunday, August 21, 2011

Siapa Doktor Islam Serah 5 Anak Pada Gereja?


KL, 21 Ogos 11: Ketika kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja masih belum reda, akhbar tempatan melaporkan pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan mempertikaikan tindakan seorang doktor menyerahkan lima anaknya untuk dijaga oleh sebuah gereja.

Akhbar Metro Ahad, edisi mingguan Harian Metro hari ini melaporkan, menurut kenyataan Jais doktor yang tidak dinamakan itu telah melakukan satu kesalahan. Menurut Jais, di bawah Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, menjadi satu kesalahan menyerahkan urusan menjaga anak masing-masing kepada bukan Islam.

Laporan terbaru ini muncul di sebalik siri tulisan akhbar-akhbar pro-Umno minggu lalu mengenai dakwaan Kristian mahu memurtadkan Muslim. Metro Ahad melaporkan bapa terbabit menyerahkan lima beradik terbabit kepada pengurusan gereja selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Doktor itu enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian. Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.

Akhbar itu melaporkan kes tersebut terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya awal bulan ini.

Akhbar itu memetik Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh Juhaidi Yean Abdullah berkata, pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan itu.

“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.

“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” kata Juhaidi Yean.

Menurut laporan itu, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.

“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.

“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain,” katanya lagi.

Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jais jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan. Presiden Persatuan Peguam-peguam Syarie Malaysia Mohamad Isa Ralip memberitahu, Baitul Fiqh boleh memohon hak penjagaan daripada Mahkamah Syariah.

“Dalam hal ini, saya memuji pastor yang cuba menghantar anak mereka ke Baitul Fiqh. Ini kerana beliau tahu mengenai sensitiviti agama dan Muslim perlu ada penjaga,” kata beliau. (The Malaysian Insider)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cuba siasat mengapa doktor Islam itu, begitu tidak percaya kepada pentadbiran Islam daripada gereja.. Siapa doktor itu?

2 comments:

Anonymous said...

Setuju siasat, entah-entah ada kaitan dengan UMNO?

Ahmad Irfan said...

he he he

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails