Wednesday, August 24, 2011

Ahli Falak Ramal Aidilfitri Jatuh Selasa Depan..



AHLI falak yakin anak bulan akan cukup syarat pada 29 Ogos ini untuk memulakan bulan baharu iaitu Syawal pada 30 Ogos ini. - Gambar hiasan

KL: Beberapa orang ahli falak yakin umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini berdasarkan kajian dan perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan Syawal.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan Syed Kamaruzaman Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1432H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

“Berdasarkan perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat untuk memulakan bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja. Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

Di Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr. Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari raya diramalkan jatuh pada Selasa kerana berdasarkan hisab, kedudukan bulan pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur Rukyah (kebolehnampakan).

“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.

“Anak bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas ijtimak iaitu kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan,” katanya ketika dihubungi di Melaka semalam.

Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.

Sementara itu, pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam mengumumkan sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos ini bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini. Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di sini, kawasan yang ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara, Melaka; Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Pulau Angsa dan Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Manjong; Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; dan Kampung Pulau Sayak, Pemandangan Indah Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah.

Di Terengganu ialah di Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian dan Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi Pasir Putih, Bukit Kampung Tembeling Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC Kota Baharu di Kelantan; dan Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

Tempat melihat anak bulan Syawal di Perlis ialah di Kuala Sungai Baru; Menara Kuala Lumpur di ibu negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil dan Menara Universiti Malaysia Sabah di Sabah. (IH, sumber Kosmo Online)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails