Wednesday, August 24, 2011

MB K'tan Ziarah Mangsa Hempap Konkrit

PASIR MAS, 24 Ogos: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,menziarahi keluarga mangsa dihempap konkrit di Kampung Lati, dekat sini tengahari tadi. Turut menziarahi isteri Tuan Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak bersama Anggota Jawatankuasa Purnama.

Tuan Guru yang diiringi Adun Meranti, Datuk Nasaruddin Daud, turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga terbabit bagi meringankan bebanan penderitaan mereka khususnya menjelang Syawal ini. Tuan Guru berharap keluara simati bersabar menerima ketentuan Ilahi.

“Hanya itu rawatan yang terbaik bagi merawati duka yang sedih di atas kematian insan yang tersayang di samping berzikir dan berdoa,”ujarnya.

Menurutnya, apa yang penting umat Islam perlu berdoa agar segala musibah tidak berlaku pada anggota keluarga.

“Andainya ia benar-benar tidak berlaku, amat wajar kita bersyukur, tetapi sekiranya berlaku juga, ia di luar kemampuan kita yang perlu hanyalah bersabar,”ujarnya.

Tambahnya, begitu sekali ajaran Islam yang cukup baik untuk merawat kedukaan setiap hambaNya.

Dalam kejadian pagi Selasa lalu iaitu 23 Ramadan mangsa Ibrahim Awang Kechik, 58, yang sedang membina titian di longkang meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera kepala akibat dihempap konkrit. Mayat mangsa ditemui berada dalam keadaan tertiarap dan berkopiah hanya dapat dikeluarkan sejam selepas itu kerana pihak keselamatan terpaksa menggunakan dua jengkaut untuk menolak konkrit tersebut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Mek Sariha, 45, serta sembilan orang anak, lima perempuan dan empat lelaki yang berusia antara 30 hingga lapan tahun. Mek Sariha ketika ditemui tidak dapat menahan sebak kerana terharu menerima kunjungan pemimpin kerajaan negeri terutama Tuan Guru dan isteri.

“Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian Tuan Guru dan isteri sudi menziarahi kami sekeluarga,”ujarnya yang hanya suri rumah.

Turut hadir dalam lawatan itu, anggota exco kerajaan negeri, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad serta lain-lain pimpinan kerajaan negeri. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails